Guna bahasa Melayu di IPT

KANGAR 8 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan kursus-kursus yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menggunakan bahasa Melayu secara lebih meluas memandangkan pelaksanaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT belum berhasil sejak dilancarkan tiga tahun lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu untuk memastikan pelaksanaan pelan yang pada ketika itu diwujudkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tempoh lima tahun bermula dari 2011 hingga 2015 dapat memartabat dan mengukuhkan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta penerbitan di IPT.

“Saya sedar kursus-kursus kritikal seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan sebahagian besar menggunakan bahasa Inggeris, namun sepatutnya dari tahun ke tahun terdapat usaha mengubah peratusan pengajaran daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

“Jika tidak dilaksanakan sekarang, bila lagi akan dilaksanakan?” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 di Dewan 2020, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Azlan Man; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, dalam mengejar ilmu pengetahuan, rakyat tidak seharusnya berfikiran sempit menolak bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa tetapi perlu ada usaha meletakkan bahasa Melayu pada tempat sama.

“Bagi tujuan ini, seharusnya bermula di negara sendiri selari dengan perkembangan ilmu pengetahuan di seluruh dunia.

“Ambil contoh negara seperti China, Jepun dan Korea yang masih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing dalam soal pemerolehan ilmu pengetahuan di samping menguasai bahasa-bahasa utama dunia yang lain,” katanya.

Muhyiddin juga berharap golongan cendekiawan yang aktif menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu khususnya dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan diberi pengiktirafan dan penganugerahan.

Kata beliau, pendekatan itu dapat menggalakkan pensyarah di IPT awam dan swasta menghasilkan karya dalam bahasa kebangsaan.

“Kerajaan menyarankan salah satu syarat kenaikan pangkat pensyarah ialah menulis buku ilmiah atau makalah dalam bahasa Melayu.

“Inilah bidang keberhasilan berimpak tinggi yang harus digerakkan oleh IPT dalam melaksanakan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT,” katanya.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, semua IPTA di seluruh negara perlu merujuk pelan tindakan tersebut serta melaksana program melalui strategi yang digariskan supaya terdapat perubahan ketara dalam usaha memartabat bahasa Melayu di IPTA dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagi IPTS pula, tambah beliau, kursus-kursus penting perlu diajar dalam bahasa Melayu selari dengan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

“Saya juga menyarankan semua pelajar asing diwajibkan mempelajari bahasa kebangsaan komunikasi selain aspek kebudayaan masyarakat Malaysia,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131009/dn_02/Guna-bahasa-Melayu-di-IPT#ixzz2hBI4rPTj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s