Kaji kurikulum pendidikan Islam

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta supaya kurikulum mata pelajaran Pendidikan Moral dan Agama Islam di sekolah dikaji semula bagi memastikan kedua-dua subjek itu sesuai dengan tuntutan semasa.

Dr. Mahathir juga berpendapat, buku teks baharu kedua-dua mata pelajaran itu wajar diterbit serta diguna pakai di sekolah-sekolah untuk mendapatkan hasil terbaik dalam membentuk modal insan berguna kepada negara.

Beliau turut mencadangkan supaya waktu pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek itu di sekolah dipanjangkan.

“Keutamaan kurang diberikan, adakah pelajar hanya diajar cara beribadat sahaja? Sedangkan ajaran Islam adalah ad-din yang meliputi cara hidup. Kalau cuma belajar buat ibadah tertentu tetapi tidak menguasai ilmu, itu tidak menepati kehendak agama.

“Ada baik semak semula kurikulum kita. Adakah hanya belajar ibadat atau mengajar menjadi manusia yang baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Kebangsaan Pendidikan Guru Dalam Negara Islam 2013 (ICTEM) di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Pengerusi ICTEM, Prof. Dr. Siraje Abdallah Ssekamanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menekankan kepentingan bahasa Inggeris, khususnya dalam pengajaran Sains dan Matematik memandangkan kedua-dua mata pelajaran itu mewakili bidang yang penting ketika ini.

“Adakah saya meminta supaya pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris? Kita perlu realistik, bahasa Melayu masih lagi belum menjadi pengantara kepada mata pelajaran tersebut sedangkan kedua-duanya ketika ini merupakan pengetahuan paling penting perlu dikuasai sekiranya mahu menjadi sebuah negara membangun.

“Bidang sains dan matematik sering kali menemukan kajian baharu yang laporannya adalah 98 peratus di dalam bahasa Inggeris. Sekiranya kita tidak belajar, kedua-duanya dalam bahasa Inggeris, dikhuatiri kita tidak dapat ikut perkembangan semasa,” jelas beliau.

Menurut Dr. Mahathir, nasionalis bahasa sering kali tersilap apabila berpendapat bahawa nasionalisme adalah tentang kebolehan bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik.

“Kita semua bangga dengan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita. Tetapi realitinya ialah sekiranya kita tidak menguasai bahasa Inggeris, negara kita tidak dapat bersaing dengan baik.

“Kita perlu pragmatik. Nasionalisme bermaksud berjaya dalam semua bidang dalam kehidupan, terlibat dalam pembangunan negara dan bangsa, dihormati dan disegani oleh kaum lain, menjadi pemimpin dalam apa sahaja bidang yang diceburi, itu merupakan nasionalisme sebenar,” ujar beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131113/dn_02/Kaji-kurikulum-pendidikan-Islam#ixzz2kTt5FYXX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s