UiTM dipastikan terus relevan

Pelbagai usaha diambil jadikannya universiti berdaya saing, pilihan lanjut pengajian

KOTA SAMARAHAN: Pelbagai usaha akan terus dilakukan bagi memastikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak terus relevan sebagai salah sebuah universiti yang berdaya saing sekali gus menjadi pilihan masyarakat untuk melanjutkan pengajian.
Misalnya, jelas Pro Cancelor UiTM Tan Sri Datuk Seri Arshad Ayub ialah pengenalan program baharu seperti Diploma Pengurusan Halal di Kampus Samarahan 2, yang merupakan satu usaha relevan kerana dapat membantu melonjakkan lagi nama UiTM Sarawak sebagai pilihan pelajar memandangkan industri halal kian berkembang kukuh di negara ini.
“Malah, saya difahamkan kerajaan negeri sudah bersetuju untuk menempatkan sebuah makmal halal yang bakal menjadi pusat saringan produk halal pertama di negeri ini iaitu di UiTM Sarawak Kampus Samarahan 2,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-79 di UiTM Sarawak Kampus Samarahan di sini, semalam.
Menurut Arshad, UiTM Sarawak telah mengukir sejarah tersendiri apabila menjadi kampus negeri yang pertama menerima projek pembinaan kampus baharu iaitu Kampus Samarahan 2 yang diserahkan oleh pihak kontraktor pada 1 Oktober lalu.
Katanya projek pembinaan kampus yang mengguna pakai konsep Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bakal memberi kemudahan tambahan kepada kampus sedia ada kerana ia mampu menampung kira-kira 4,000 pelajar.
Tambah beliau, keadaan ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang akan melanjutkan pengajian di UiTM Sarawak adalah seramai 10,000 orang.
Malah, katanya jumlah tersebut juga tidak termasuk pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di Kampus Mukah iaitu seramai 2,000 orang apabila kampus tetapnya siap menjelang 2015 nanti.
“Segala usaha ini adalah sejajar dengan matlamat penubuhan UiTM iaitu menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar khususnya pelajar miskin, anak yatim dan pelajar luar bandar untuk melanjutkan pengajian mereka.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua masyarakat supaya merebut peluang yang disediakan ini agar lebih ramai tenaga mahir yang diperlukan oleh negeri dan negara dapat disediakan tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar,” katanya.
Sementara itu, Arshad menyeru kepada semua graduan supaya mempunyai keberanian dan inisiatif untuk melakukan inovasi serta kreativiti dalam menghadapi persekitran ekonomi global yang mencabar.
Jelas beliau, model baharu ekonomi dan transformasi ekonomi memerlukan graduan yang mempunyai kemahiran ilmu dalam pelbagai bidang dan kreatif supaya mereka dapat melangkah keluar dari zon selesa.
“Sekiranya para graduan dapat menguasai model baharu ekonomi ini, saya yakin mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan atau lebih baik mampu mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.
“Graduan tidak perlu hanya bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan sebaliknya boleh mencipta peluang pekerjaan dengan berniaga, menceburi aktiviti pertanian dan sebagainya,” katanya.
Justeru, beliau menyaran-kan para graduan agar merebut peluang pinjaman mudah alih sehingga RM500,000 yang ditawarkan kepada kalangan siswazah, seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2014 yang memperuntuk- kan sebanyak RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah.
Hadir sama Rektor UiTM Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Sarawak Profesor Madya Dr Rosita Suhaimi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Sarawak Profesor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Sarawak Prof Madya Dr Rasidah Mahdi dan Penolong Rektor UiTM Sarawak Kampus Samarahan 2 Profesor Madya Dr Firdaus Abdullah

Read more: http://www.theborneopost.com/2013/11/13/uitm-dipastikan-terus-relevan/#ixzz2kTwNCOTU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s