SK Kandis tempat kelima pertandingan robotik dunia

BACHOK 25 Nov. – Tiga anak petani yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kandis dekat sini, berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila merangkul tempat kelima dalam Pertandingan Inovasi Robotik Dunia 2013 di Jakarta, Indonesia pada 14 hingga 17 November lalu.

Mereka ialah Mohd. Safuan Abdul Rahim, 12; Mohd. Muaz Mat Lazim, 12, dan Mohd. Haziq Nordin, 11.

Mereka telah menunjukkan keupayaan dan ketangkasan membina robot untuk bersaing dengan peserta dari 26 buah negara di seluruh dunia.

Guru pengiring, Khairul Azman Awang Hamat berkata, tiga anak petani itu adalah murid pintar sekolah luar bandar yang menjuarai pertandingan robotik peringkat sekolah rendah negeri ini.

Beliau berkata, mereka dipilih mewakili negara setelah dinobatkan sebagai juara pemasangan komponen robotik peringkat kebangsaan yang di Melaka pada 24 hingga 26 September lalu.

“Hanya mereka anak Melayu tunggal dari kawasan luar bandar yang berpeluang menunjukkan keupayaan di pentas pertandingan tersebut.

“Walaupun gagal menewaskan murid dari Rusia dan Taiwan, namun penglibatan mereka cukup membanggakan kerana berjaya mengharumkan Malaysia,” katanya ditemui di SK Kandis hari ini.

Pertandingan Inovasi Robotik Dunia 2013 anjuran World Robotic Oliympiad Association Ltd., yang berdaftar di Singapura menyaksikan murid berusia 12 tahun ke bawah dari Kumpulan Newton dan Betta yang mewakil Rusia mendapat tempat pertama.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan Hao-Bang-Bang dari Taiwan dan tempat ketiga (Kumpulan CJ7), manakala dua pasukan negara iaitu SK Kandis Robotics Team (kelima) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min A (keenam), seterusnya menewaskan pasukan tuan rumah, China, Jepun dan Greece.

Khairul Azman berkata, bakat murid itu dicungkil bersandarkan kepada kecemerlangan mereka dalam mata pelajaran Sains, selain memiliki aspek kepemimpinan di sekolah berkenaan.

“Dengan kejayaan tersebut, SK Kandis dinobatkan sebagai penerima anugerah Kecemerlangan Sains dan Teknologi dalam aktiviti kokurikulum peringkat negeri Kelantan tahun ini,” katanya.

“Kejayaan ini juga hasil dorongan semua pihak termasuk guru besar, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok dan Jabatan Pelajaran negeri,” katanya.

Sementara itu, ketua peserta SK Kandis Robotics Team, Mohd. Safuan berkata, kejayaan itu membuktikan murid sekolah luar bandar berupaya bersaing dengan sekolah-sekolah bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan pembelajaran.

“Saya bangga kerana berpeluang untuk ke peringkat antarabangsa dan ini adalah kali pertama saya ke luar negara. Kami sudah berusaha untuk meletakkan Malaysia di tempat pertama, namun tewas dari segi tempoh ketangkasan waktu ditetapkan.

“Sepanjang tempoh di luar negara, saya turut dihadiahkan dengan khabar gembira iaitu mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Ayah yang mengambil keputusan ketika saya berada di Indonesia baru-baru ini,” katanya yang bercita-cita menjadi pereka automotif.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Hussain Awang ketika dihubungi berkata, JPN akan terus memberi sokongan kepada sekolah-sekolah yang berupaya mengetengahkan bakat pelajar dalam pelbagai kegiatan di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, kejayaan yang dicapai bukan sahaja menunjukkan piawaian dan standard pendidikan berjaya ditempa oleh guru dan pelajar tetapi merupakan bakti yang perlu mendapat penghargaan kerana mengharumkan nama jabatan, sekolah dan negara di peringkat global.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s