Kualiti guru penentu PPPM

TANJUNG MALIM 13 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan isu kualiti guru harus ditangani bagi mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menyasarkan negara berada dalam kelompok satu pertiga sistem pendidikan terbaik dunia.

Beliau berkata, bagi menyokong hasrat tersebut, Kementerian Pendidikan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Skim Geran Penyelidikan Nic bagi mengkaji pembangunan model pendidikan guru untuk menyediakan tenaga pengajar berkualiti pada masa hadapan.

“UPSI perlu menampilkan suatu model yang benar-benar dapat dijadikan rujukan untuk melahirkan guru berkualiti pada masa hadapan. Bermula dengan pengambilan 30 peratus lepasan terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai bakal guru sehingga kepada pembangunan profesional berterusan (CPD), profesion keguruan akan terus dimartabat menjadi pilihan.

“Semua institusi pendidikan guru perlu proaktif dalam menghasilkan guru-guru yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan pedagogi, tetapi juga keghairahan dan kesungguhan tinggi dalam memastikan anak bangsa kita mampu bersaing dan berjaya di peringkat global,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Nasional Ke-14 di UPSI di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pro Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa serta Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman UPSI, Datuk Ahmad Burak.

Konvensyen selama tiga hari yang bermula hari ini dihadiri kira-kira 1,000 warga pendidik itu antara lain membentangkan tentang keutuhan sistem pendidikan dan hubungannya dengan Perlembagaan negara, pembinaan nilai dan jati diri, pemerkasaan bahasa Melayu serta kualiti produk latihan guru.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kualiti guru merupakan faktor paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid, justeru cabaran para pendidik pada abad ke-21 berbeza kerana para pelajar mempunyai akses kepada pengetahuan di hujung jari, hasil perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi.

Sehubungan itu katanya, para guru perlu sedar bahawa pengajaran dan pembelajaran ilmu perlu berlaku secara aktif dengan mengaplikasikan sumbangan murid dalam proses perkongsian ilmu.

“Guru bukan lagi a sage on the stage tetapi a guide on the side. Selaras dengan aspirasi PPPM yang antara lain menekankan kemahiran berfikir dan memimpin, pembelajaran berpusatkan kepada perkembangan murid perlu menjadi teras pendekatan pedagogi guru pada masa kini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yakin, UPSI boleh berperanan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan guru secara lebih komprehensif, apatah lagi ketika negara sudah berada pada landasan betul bagi menjayakan PPPM dalam masa 12 tahun lagi.

Tambah beliau, transformasi pendidikan negara tidak lagi sekadar menuntut UPSI untuk meneruskan tradisi menyampaikan ilmu semata-mata, malah mengkehendaki para sarjana menghasilkan dapatan kajian yang boleh menyumbang kepada penghasilan inovasi selain dimanfaatkan untuk pembangunan modal insan dan negara

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140314/dn_01/Kualiti-guru-penentu-PPPM#ixzz2vtR7q8EQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s