Bacaan selawat ibu bantu kejayaan pelajar OKU

KUALA LUMPUR 19 Mac – Diusap di kepala dengan iringan selawat oleh ibunya setiap kali ke sekolah menjadi rahsia kejayaan seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Mohamad Fairus Azmi, 21.

Ibunya, Salbiah Sakrani, 56, berkata, beliau bangga kerana anak keempat daripada enam beradik itu tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai ‘jalan mati’ untuk meraih kecemerlangan akademik.

“Saya akan usap kepala Mohamad Fairus sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan mendoakan kejayaan agar memperoleh keberkatan-Nya.

“Saya memanjatkan rasa syukur, walaupun dia buta mata tetapi hatinya celik dalam mengejar peluang sehingga dapat menikmati kejayaan sama seperti insan lain,” katanya ketika ditemui dalam majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2013 di sini hari ini.

Fairus yang menduduki STPM di Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah dinobatkan sebagai pelajar istimewa cemerlang kategori buta dengan memperoleh 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Syariah dan Sejarah.

Menceritakan detik pahit bagaimana Fairus mengalami kecacatan, Salbiah berkata, anak istimewanya itu kemalangan sewaktu berusia lapan tahun.

“Matanya rosak setelah terjatuh dan terkena besi buaian sehingga menyebabkan penglihatan dia gelap selamanya,” kata Salbiah yang menetap di Taman Arked, Sungai Petani.

Sementara itu, Fairus sewaktu berkongsi formula kejayaannya berkata, status OKU tidak sepatutnya dijadikan halangan untuk berjaya sebaliknya perlu bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan.

“Saya menetap di asrama dan rakan-rakan yang menjadi ‘mata’ saya dalam membantu pembelajaran mahupun perbincangan.

“Saya ingin menjadi seorang guru pendidikan khas dan mahu membantu serta mendokong mereka yang senasib agar menjadi insan berguna suatu hari kelak,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140320/pe_02/Bacaan-selawat-ibu-bantu-kejayaan-pelajar-OKU#ixzz2wSGsNNB0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s