Laluan baharu ke ijazah sarjana

PUTRAJAYA 31 Mac – Kerajaan mula mengorak langkah dalam mendemokrasikan proses pembelajaran peringkat tertinggi dengan mewujudkan laluan baharu kepada pekerja berpengalaman yang tiada ijazah sarjana muda melanjutkan pelajaran terus ke peringkat ijazah sarjana.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, menerusi program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Apel) pekerja yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana hanya perlu membuat permohonan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi proses saringan.

Beliau berkata, mana-mana calon yang layak akan diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam peringkat ijazah sarjana di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Sebagai permulaan empat program ijazah sarjana ditawarkan iaitu pentadbiran perniagaan, teknologi maklumat, pendidikan dan seni persembahan yang mula ditawarkan sejak 18 Februari lalu.

“Program ini ini berfungsi sebagai satu jalan kemasukan alternatif kepada mereka yang kurang atau tiada kelayakan akademik tetapi mempunyai pengalaman kerja berkaitan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman pelaksanaan Apel bagi tujuan akses ke program ijazah sarjana dan sesi penyerahan sijil perakuan kepada lima pelajar program itu di bangunan Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan II, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Syed Ahmad Hussein.

Menurut Idris, program Apel itu telah dibuka kepada umum sejak September 2011 bagi akses kepada program ijazah sarjana muda manakala, untuk program sijil serta diploma pula dibuka pada Februari tahun lalu.

Idris berkata, sejak program itu dilaksanakan, 170 orang telah memohon dinilai dan daripada jumlah itu 13 orang untuk akses ke program ijazah sarjana, 108 orang (ijazah sarjana muda), 47 orang (diploma) dan dua orang (sijil).

“Berdasarkan tinjauan, 60 peratus pelajar yang lulus penilaian Apel ini telah memulakan pengajian dan daripada jumlah ini hampir 80 peratus menyambung pengajian di IPTS manakala selebihnya ke IPTA.

“Bagi yang masih belum melanjutkan pelajaran selepas lulus ujian penilaian pula disebabkan beberapa perkara antaranya kurang mendapat sokongan majikan untuk menyambung pelajaran serta kurangnya penerimaan pemberi pendidikan tinggi (PPP) awam menerima masuk pelajar yang lulus penilaian ini ke institusi masing-masing,” katanya.

Tambah Idris, program tersebut bukan satu perkara yang baru malah telah lama dipraktikkan di negara lain malah tokoh terkenal, Prof. Datuk Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga pernah terlibat dalam program tersebut ketika melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sementara itu, Syed Ahmad berkata, orang ramai yang berminat untuk menyertai program tersebut perlu berumur 30 tahun ke atas dan lulus ujian penilaian Apel di samping membawa portfolio pekerjaan masing-masing bagi pengesahan pengalaman bekerja.

Beliau berkata, calon yang layak memohon ialah warganegara Malaysia dan memiliki sekurang-kurangnya Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau diploma atau setara dengan pengalaman kerja yang berkaitan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140401/pe_01/Laluan-baharu-ke-ijazah-sarjana#ixzz2xahWKDBN
© Utusan Melayu (M) Bhd

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s