PPPM mula nampak hasil – TPM

KUALA LUMPUR 15 April – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan tahun lalu telah mula menampakkan hasilnya terutama dalam memastikan jurang pencapaian antara pelajar di bandar dan luar bandar dapat dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibuktikan menerusi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang berjaya merapatkan jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar iaitu pada kadar 0.01 bagi mata gred purata nasional (GNP).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan melahirkan harapan agar segala usaha yang termaktub dalam PPPM akan terus dilaksanakan supaya aspirasi untuk mengurangkan jurang berdasarkan tahap perbezaan sosioekonomi sebanyak 50 peratus dapat direalisasikan.

“Saya dimaklumkan keputusan SPM tahun lalu telah berjaya meningkatkan pencapaian calon bandar sebanyak 0.15 mata iaitu daripada 4.83 mata pada 2012 kepada 4.68 mata (SPM 2013). Bagi pencapaian calon luar bandar pula, telah meningkat sebanyak 0.16 mata iaitu daripada 5.44 mata pada 2012 kepada 5.28 mata tahun lalu. Keputusan ini sedikit sebanyak telah berjaya merapatkan jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar.

“Oleh itu, saya berpandangan PPPM 2013-2025 telah mula menampakkan hasilnya,” katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2013 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, 30 pelajar yang memperoleh gred A+ (cemerlang tinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki serta cemerlang dalam kokurikulum diumumkan sebagai penerima anugerah bagi kate­gori pelajar cemerlang manakala 20 buah sekolah pula dinobatkan sebagai sekolah cemerlang kerana berjaya membuat lonjakan tinggi berdasarkan gred purata sekolah (GPS) dalam SPM tahun lalu berbanding SPM 2012.

Antara sekolah tersebut adalah Sekolah Tun Fatimah, Johor; Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu, Sabah; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan; Sekolah Menengah Agama Jaim Al-Ahmadi, Melaka Tengah, Melaka dan SMK Victoria.

Muhyiddin memberitahu, sistem pendidikan merupakan wadah utama untuk mengubah pemikiran dan sahsiah pelajar yang terbaik serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Jelasnya, untuk melahirkan generasi yang cemerlang, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing tanpa mengira lokasi, bangsa dan agama yang dianuti.

“Oleh kerana itu, transformasi pendidikan yang dilakukan ketika ini amat menuntut komitmen semua pihak terutamanya para guru yang merupakan ejen pelaksana.

“Pembangunan modal insan yang cemerlang bukanlah satu perkara yang mudah. Pastinya ia mampu memulangkan semula modal pelaburan yang bukan dalam bentuk kewangan tetapi dalam bentuk kepakaran dan kebijaksanaan menguasai pelbagai disiplin ilmu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, para guru juga merupakan pendorong utama kepada kejayaan pelajar selain pencetus ilham dan pemangkin bagi menjadikan pelajar sebagai insan berjaya.

“Menurut Good & Brophy (2002), guru yang dihormati dan mesra pelajar lazimnya dapat bekerjasama dengan pelajar-pelajarnya bagi menjayakan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran.

“Hubungan mesra dan kondusif antara guru dan pelajar mampu memperbaiki prestasi akademik dan boleh membangkitkan motivasi intrinsik pelajar,” tambahnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140416/dn_04/PPPM-mula-nampak-hasil—TPM#ixzz2z0a8WKzS
© Utusan Melayu (M) Bhd

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s