Utamakan sekolah satu aliran


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain. Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum. “Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi tahun lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke sekolah kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum) lain. “Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi malangnya tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga murid daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum Cina.

Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,” katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini hari ini. Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada sesi perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini. Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk dilaburkan di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan kembali pelaburan domestik.

Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan ke luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion. “Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang tidak begitu besar,” katanya

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s