Harapan sistem pendidikan Malaysia

KONSEP pendidikan perlu diberikan takrifan baharu. Ini kerana perkataan pendidikan yang merujuk kepada penyediaan kemudahan dan proses mengajar pelbagai cabang ilmu, mengasuh perwatakan, melatih pelbagai kemahiran, menyemai nilai budaya, mendewasakan seseorang manusia sejak kelahirannya – ialah pengertian asas yang diguna pakai sejak zaman kegemilangan peradaban Mesir kira-kira 3,000 tahun lampau. Kita boleh membayangkan kegi­atan mengajar dan belajar secara tersusun mungkin bermula kira-kira 2,000 tahun sebelum Masehi, iaitu ketika sistem tulisan berkembang di Mesir, dengan menggunakan hieroglyphic. Di zaman keagungan peradaban Greek kira-kira 500 tahun sebelum Masehi, perkembangan pendidikan sudah melangkaui kegiatan menulis dan membaca. Sistem tulisan Greek membolehkan para ilmuan dan pemikir berdialog, berfalsafah dan mengungkapkan idea yang abstrak. Kini, isu pendidikan bukan hanya mengenai soal membaca, menulis, mengira dan pembentukan perwatakan, bahkan bersangkutan soal “kebolehpasaran graduan”, kekuatan daya kreatif dan inovasi, kebolehan berkomunikasi di pentas antarabangsa, mempunyai daya saing dan daya ketahanan mental serta daya keintelektualan tinggi, berminat dalam ilmu sains dan teknologi, pintar matematik dan sebagainya. Terkini, kualiti pendidikan di Malaysia dilihat berdasarkan ranking oleh agensi-agensi antarabangsa. Kini, proses pendidikan bukan hanya berlaku dalam sistem yang formal. Pendidikan terjadi juga dalam ruang informal menerusi jaringan Internet dan pelbagai aplikasi dalam ruang siber. Internet menyediakan pelbagai sumber bahan bacaan dan maklumat yang berguna sebagai bahan rujukan kepada para pelajar, pengajar dan penyelidik di seluruh dunia. Sesungguhnya Internet dan televisyen turut menjadi guru kepada manusia moden. Namun hanya sistem pendidikan formal yang diberikan kuasa untuk menguji dan menilai pencapaian para pelajar menerusi sistem peperiksaan yang berwibawa dan diiktiraf dunia. Sekolah, kolej dan universiti diberikan kuasa dan kuat-kuasa untuk menganugerahkan sijil, diploma dan ijazah. Ruang siber dan televisyen belum lagi mempunyai kewibawaan untuk menganugerahkan sijil, diploma dan ijazah kepada para pengguna dan penonton. Jika hal ini berlaku, besar kemungkinan institusi pendidikan formal akan beransur-ansur menjadi tidak relevan lagi. Pengkaji sejarah pendidikan merumuskan bahawa budaya pendidikan yang terancang mula berkembang di zaman Kerajaan Pertengahan di Mesir, kira-kira 1,500 tahun sebelum Masehi, iaitu era sistem pemerintahan dan peradaban yang kuat. Kejayaan peradaban tersebut termasuklah membina piramid dan pelbagai binaan purba yang menjadi tinggalan sejarah yang terus dikagumi oleh seluruh dunia hingga kini. Namun berdasarkan Indeks Pem­bangunan Manusia (HDI) yang digubal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, laporan 2014, kuali­ti pendidikan di Mesir berada pada tangga ke-110, iaitu berkedudukan pada tahap sederhana sahaja. Begitu juga halnya di Greek yang dulunya terkenal membangunkan ilmu falsafah politik, ethics, metafizik, ontologi, logik, retorik dan estetika. Kini, mengikut HDI, Greek berada di tangga ke-29, dan didahului oleh negara-negara yang baru menjadi maju seperti Singapura (kesembilan) dan Korea (ke-15), dan hampir dikalahkan oleh Brunei (ke-30). Walaupun tidak dapat dinafikan amalan dan budaya pendidikan yang baik boleh menghasilkan peradaban kuat dan berdaya tahan, namun, jika sistem pendidikan dalam sesebuah masyarakat itu tidak dimantapkan secara berterusan supaya sesuai dengan kehendak zaman, maka kekuatan peradaban masyarakat itu akan luntur. Oleh itu kehebatan sesuatu peradaban pada zaman lampau, seperti peradaban Mesir dan Greek, tidaklah menjamin penerusan keagungannya hingga ke hari ini. Negara lain yang lebih gigih akan berupaya mendaki tangga kege­milangan. Berdasarkan HDI, terdapat 49 buah negara yang dikategorikan sebagai mempunyai HDI paling tinggi (dengan mata pencapaian antara 0.808 – 0.944). Berdasarkan ukuran HDI, Malaysia kini di tangga ke-62 (dengan mata pencapaian 0.773, iaitu dalam kate­gori HDI Tinggi), namun belum lagi berada di gerbang kumpulan negara maju. Nampaknya kini, isu pendidikan di Malaysia mendapat perhatian serius semua pihak berkepenting­an. Kerajaan telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melahirkan ekosistem pendidikan supaya generasi muda Malaysia akan terus mendapat pendidikan berkualiti setanding dengan standard pendidikan antarabangsa yang semakin meningkat, dan untuk membolehkan mereka berperanan sebagai sumber tenaga manusia di Malaysia yang berhasrat menjadi sebuah negara maju. Namun mengikut pengukuran Organisasi Untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada 2013, kedudukan struktural sistem pendidikan di Malaysia perlu diperbaiki, jika ingin berjaya menjadi negara maju. OECD mencadangkan supaya komponen vokasional dalam sistem pendidikan khususnya di peringkat pasca sekolah menengah dimantapkan. Mengikut pengukuran PISA (Programme for International Student Assessment) yang dibangunkan OECD melibatkan penyertaan 65 negara, bagi 2012, Malaysia di tangga ke-52 dalam bidang matematik, ke-53 (sains), dan ke-59 (pembacaan). Singapura pula di tangga kedua (matematik), ketiga (sains), dan ketiga (pembacaan). Sangat menarik ialah Viet­nam berada di tangga ke-17 (matematik), kelapan (sains), dan ke-19 (pembacaan). Ini menunjukkan bahawa Vietnam (negara yang hanya mula membangun pada 1975 setelah mengalami peperangan selama 35 tahun), jauh mengatasi Malaysia dalam tiga bidang ini. Justeru sistem pendidikan Malaysia perlu dikaji dengan teliti. Strategi transformasi terbaik perlu dirancang dengan teliti. Pada 2014, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita AS$24,400 berbanding Vietnam AS$5,600. Berdasarkan ukuran itu di peringkat antarabangsa, Malaysia berada di tangga ke-71, berbanding Vietnam ke-163. Ini bererti dengan KDNK yang relatif tinggi, sistem pendidik­an Malaysia masih gagal melahirkan lepasan sekolah mene­ngah bertaraf dunia. Semua pihak menaruh harapan tinggi terhadap keupayaan PPPM me­la­hirkan generasi muda yang benar-benar berpendidikan bertaraf dunia. Banyak diskusi meja bulat perlu diadakan bagi memperhalusi pelbagai isu dan cabaran, dan menyusun langkah menyelesaikannya. Konsep pendidikan perlu dilihat semula dengan mengambil kira kese­mua unsur; tampak dan tidak tampak, untuk akademik dan bukan akademik, unsur kepentingan nasional dan kedudukan strategik negara, dan unsur perpaduan nasional.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s