My Library

Pusat Sumber Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sarawak

TUBUH JAWATANKUASA KHAS ANTIBULI

langkah segera perlu diambil oleh khususnya pihak pengurusan sekolah  

JENAYAH buli di sekolah bukan satu isu yang asing serta jarang didengar. Hampir setiap tahun, ada sahaja kes yang mendapat perhatian umum melalui laporan media massa. Dengan kewujudan teknologi komunikasi moden seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, kes-kes mudah tersebar dengan sekelip mata bukan hanya dalam negara malah di serata dunia.

Kes buli di sekolah muncul kembali pada penghujung November lalu apabila pihak media melaporkan kejadian yang berlaku di beberapa buah sekolah di dalam negara kita.

Kes pertama melibatkan seorang pelajar tingkatan satu yang mengalami pendarahan pada usus dan buah pinggang dipercayai akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior sekolah agama rakyat di Pokok Sena, Kedah. Menurut pihak polis, mangsa dipukul kerana dituduh mencuri telefon bimbit milik rakan suspek selepas mangsa dikatakan orang paling awal masuk ke dalam bilik asrama.

Kes kedua pula melibatkan klip video yang memaparkan sekumpulan murid lelaki memukul seorang murid lain yang lengkap berpakaian pengawas di surau sebuah sekolah di Besut, Terengganu. Mangsa ditumbuk secara bergilir–gilir, disepak, dipijak bahu dan dipaksa mencium stoking

 

Kes ketiga pula melibatkan penahanan empat pelajar sebuah sekolah menengah di Sematan, Sarawak, untuk membantu siasatan berhubung satu kes buli selepas satu klip video yang memaparkan insiden tersebut tersebar di laman sosial. Video berdurasi dua minit 52 saat itu yang dirakam menggunakan telefon bimbit menunjukkan aksi dua pelajar perempuan menampar seorang lagi pelajar perempuan sebelum menghentakkan kepalanya ke dinding.

Dalam rakaman yang sama, terdapat pelajar perempuan dan pelajar lelaki dilihat mengejek mangsa yang selepas itu terjatuh ke lantai selepas rambutnya ditarik. Video yang dimuat naik ke laman Facebook itu mendapat komen daripada netizen yang rata–rata mencela perbuatan pelajar terlibat dan mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Kesemua kes buli yang berlaku terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana merusuh.

Kejadian jenayah buli yang berlaku di sekolah–sekolah dilihat tiada titik noktahnya. Pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta penjaga mula berasa bimbang mengenai tahap keselamatan anak–anak mereka di sekolah terutamanya yang berada di sekolah asrama.

Berdasarkan kes-kes buli yang berlaku saban tahun, memang tidak boleh dinafikan bahawa jenayah buli yang berlaku di sekolah dalam negara kita dilihat semakin menjadi–jadi. Jika tidak dibendung bukan sahaja akan membawa kesan negatif terhadap mangsa buli malah akan memberi reputasi buruk terhadap sektor pendidikan negara. Jika tidak diatasi secara serius dari sekarang, jumlahnya akan meningkat serta sukar untuk dikawal.

Oleh yang demikian, langkah efektif dan segera perlu diambil oleh pihak–pihak yang berkaitan dalam negara kita khususnya pihak pengurusan sekolah dan Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah jenayah buli yang berlaku di sekolah–sekolah. Kementerian Pendidikan perlu menjalankan kajian yang mendalam bagi mengenal pasti punca sebenar berlakunya jenayah buli di sekolah–sekolah dalam negara serta mengambil langkah yang sewajarnya bagi membendungnya.

Kajian terbabit perlu dijalankan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Guru, Badan–Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan dan pihak–pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan isu terbabit. Memandangkan jenayah buli ini sudah menjadi satu kes serius dalam negara kita, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu juga dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

Jawatankuasa ini boleh sahaja terdiri daripada pihak pengurusan sekolah, pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, pengawal keselamatan, wakil ibu bapa atau penjaga dan wakil pelajar. Jawatankuasa ini perlu berperanan memastikan setiap program atau aktiviti antibuli yang dijalankan mencapai segala objektifnya.

Sudah sampai masanya juga supaya pihak pembuat dasar untuk mempertimbangkan supaya undang–undang, peraturan atau polisi sedia ada yang berkaitan dengan isu disiplin pelajar di sekolah dilihat semula serta ditambah baik seperti pengenalan semula hukuman rotan. Semua cadangan yang telah dikemukakan perlu mendapat perhatian serius daripada pihak yang berkaitan dalam negara kita dengan segera bagi membendung jenayah buli daripada terus berleluasa di sekolah–sekolah dalam negara kita.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: