Uncategorized

Memaknakan Kembali Patriotisme dan Janji Kemerdekaan

Pemasyhuran Kemerdekaan yang diucapkan pada 31 Ogos 1957 itu merupakan suatu janji, cita-cita bangsa, ucapan keramat dan menandakan munculnya negara baru yang bebas daripada penjajah kolonial dan terbitnya negara yang menjunjung kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Percayalah, kemerdekaan tanah air kita ini bukan hanya untuk bebas daripada cengkaman kolonialisme, tetapi lebih daripada itu. Kemerdekaan di tanah air ini hadir untuk melaksanakan keadilan sosial buat seluruh rakyat tanpa mengira darjat, kaum dan agama. Bahkan kemerdekaan juga hadir untuk melindungi, mensejahterakan dan memberdayakan rakyat.

 Memaknakan semula patriotism

Makna patriotisme adalah suatu sikap sedia berkorban untuk kejayaan dan kemakmuran tanah air. Ataupun dalam bahasa yang mudah, disebut sebagai semangat cinta akan tanah air. Apatah lagi untuk bersama-sama mencapai, mempertahankan dan mengabdikan identiti, integriti, kemakmuran dan kekuatan bangsa itu sendiri.

Adalah tidak patut untuk kita menilai semangat patriotik seseorang itu hanya sebatas kibaran bendera yang dilakukan, memaparkan bendera Malaysia samada di hadapan rumah mahupun di kereta, atau juga dengan menghadiri perhimpunan aman yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa. Ianya sungguh dangkal jika ada yang berfikiran sebegitu.

Jika dahulunya pemahaman patriotisme dan nasionalisme ini digunakan sebagai ideologi perlawanan terhadap sistem penjajahan dan penindasan,tetapi pada zaman moden sekarang, kita memerlukan pemaknaan semula kepada memahami erti sebenar semangat patriotisme supaya ia terus relevan dalam memajukan bangsa Malaysia.

Patriotisme masih lagi diperlukan untuk memupuk semangat cinta akan bangsa dan tanah air dan secara tidak langsung mampu untuk menumbuhkan kemajuan dan toleransi dalam keragaman yang kita ada di Malaysia. Kerana kita bercakap dalam konteks kesatuan kaum.

Kita juga tidak patut memandang patriotisme itu hanya disekat fahaman cauvinisme. Sekiranya kita masih disekat fahaman-fahaman  sebegitu, ianya akan menimbulkan patriotisme garis keras. Ianya bersifat ekstrim dan akan menjadi eksklusif sebatas kaum dominan sahaja.

 Nilai patriotik yang sebenar

Semangat patriotik sebenar yang wajib dihayati seluruh rakyat Malaysia adalah dengan kita memenuhi janji-janji kemerdekaan. Pemasyhuran Kemerdekaan yang diucapkan Tunku Abdul Rahman itu bukanlah semata-mata ekspresi kosong, tetapi ia adalah janji. Janji untuk melindungi, mensejahterakan,dan memberdayakan seluruh rakyat Malaysia.

Jadi soalnya sekarang adalah bagaimana untuk kita melunasi janji-janji kemerdekaan. Ia bukan hanya tanggungjawab pemimpin negara. Tetapi ia adalah tanggungjawab seluruh anak bangsa. Ia adalah tanggungjawab kita bersama.

Kita sangat mengimpikan akan lahir ramai anak muda yang mempunyai idealisme yang jelas, berilmu, kepekaan yang tinggi terhadap negara dan juga mempunyai hati nurani untuk melunasi tujuan dan janji-janji kemerdekaan kita iaitu terciptanya keadilan untuk semua, kemakmuran tanpa pilih kasih, dan ikatan persaudaraan yang tulus antara semua kaum tanpa mengira apa pun sukunya dan juga agama.

Perayaan hari kemerdekaan juga bukanlah hanya untuk memperingati pejuang-pejuang yang terkorban tetapi adalah untuk memperkukuh dan memperteguhkan janji kemerdekaan kita. Lantas memacu kita untuk terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah bangsa yang maju.

Sumber Oleh :
NAZIRUL MUBIN HAMDAN,
MAHASISWA UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s