2017, Bahasa, utusan malaysia

Lemah bahasa punca ramai cicir sekolah

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Pengua­saan bahasa Malaysia yang lemah serta sukar memahami sesi pe­ngajaran dan pembelajaran me­rupakan salah satu punca utama kira-kira 30 peratus daripada pe­lajar kaum Cina keciciran di pe­ringkat sekolah menengah.

Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Wang Hong Cai berkata, situasi itu berlaku akibat kesukaran dan kekangan mereka untuk menerima arahan serta berkomunikasi dalam bahasa Malaysia di sekolah.

Katanya, di sekolah mene­ngah, mereka bukan sahaja perlu bercampur dengan pelajar bukan Cina tetapi turut mempunyai ma­salah dalam menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran dalam bahasa Malaysia.

“Masalah penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar yang bersekolah rendah di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kini semakin membimbangkan dan harus diambil perhatian serius.

“Dianggarkan 50 peratus daripada pelajar SJKC menghadapi masalah bertutur dan memahami bahasa Malaysia dan ini akan menyusahkan diri mereka sendiri apabila ke sekolah menengah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Hong Cai, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina untuk melaksanakan satu program khas dalam usaha meningkatkan pe­nguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan murid di SJKC.

“Kita tidak boleh menyalahkan SJKC yang hanya menumpukan soal akademik tanpa mengambil kira penguasaan bahasa kerana dasar kementerian sendiri yang meletakkan kedudukan sekolah berdasarkan pencapaian akademik.

“Jadi untuk menyelesaikan ma­salah ini, semua pihak perlu bekerjasama dan mengambil perhatian supaya akhirnya dapat menguntungkan semua pihak khususnya generasi baharu kita,” katanya.

Menurut Hong Chai, antara sebab utama lain menyebabkan murid berbangsa Cina keciciran daripada sekolah menengah adalah kekurangan minat untuk te­rus belajar dan ingin mula bekerja bagi mendapatkan wang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lemah-bahasa-punca-ramai-cicir-sekolah-1.543125#ixzz4wdEoLyVD
Sumber diperolehi daripada © Utusan Melayu (M) Bhd Online.

Advertisements
2017, Kesihatan

Pelat masalah artikulasi perlu diberi perhatian

Artikel oleh Mariatul Qatiah Zakaria

“JANGAN terlalu melayan pelat anak-anak sehinggakan kita sebagai ibu bapa turut bercakap pelat dengan mereka. Malah ibu bapa seharusnya memperbetul pelat anak dan bukannya memarahi kerana dikhuatiri anak-anak ini akan berasa bimbang, cemas, takut, dan malu.” Itu antara nasihat Pakar Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Pakar Sri Kota, Dr. Diana Osman ketika diminta mengulas mengenai permasalahan pelat dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Dr. Diana, pelat pertuturan merupakan masalah yang terjadi pada artikulasi atau kesalahan pada sebutan yang lazimnya berlaku pada umur tertentu dan turut melibatkan pola bunyi.

Tambahnya, bagaimanapun masalah ini akan berhenti selepas kanak-kanak berkenaan mencapai umur tertentu dan akan semakin mahir dalam sebutan harian.

Dr. Diana memberitahu, ibu bapa yang berhadapan dengan masalah anak pelat seharusnya mengetahui adakah anak-anak mereka hanya bermasalah pada pertuturan atau bahasa sahaja.

Ini kerana secara purata, kanak-kanak pelat, artikulasinya akan mula menunjukkan kemajuan atau memahirkan sebutan selepas lima tahun.

Selepas umur tersebut, sekiranya anak-anak mereka masih pelat, ibu bapa dinasihatkan merujuk mereka kepada pakar terapi pertuturan kerana dikhuatiri mengalami masalah kelewatan perkembangan yang melibatkan aspek-aspek tertentu seperti penggunaan ucapan dan bahasa yang salah serta kekurangan dari segi kemahiran bersosial.

Jelas Dr. Diana, lazimnya, pihaknya akan memberi tempoh sehingga anak-anak pelat ini berumur tujuh tahun untuk artikulasinya normal seperti kanak-kanak lain sebelum dirujuk kepada pakar terapi pertuturan.

Dia memberitahu, selalunya pada usia tiga tahun, kanak-kanak sudah boleh menyebut huruf-huruf P, M, H, W dan B yang merupakan julat umur kanak-kanak ketika sudah mampu bertutur.

Begitupun, ada kanak-kanak yang akan bermula dengan huruf-huruf tertentu untuk dikuasai, tetapi Dr. Diana menekankan, bagi huruf R, lazimnya kanak-kanak memang bermasalah untuk menyebutnya.

“Untuk pengetahuan bersama, huruf-huruf seperti R dan V, kanak-kanak memerlukan koordinasi lidah untuk menyebut dan kedua-dua huruf ini akan mengambil masa bagi golongan ini untuk menuturnya.

“Begitu juga dengan K di mana huruf ini merupakan huruf yang biasa ‘dipelatkan’ dalam sebutan dan kanak-kanak akan mengggantikan huruf ini dengan huruf T.

“Hal ini dilihat berkait rapat dengan perkembangan otot dan ia berlaku selaras dengan umur, di mana semakin meningkat umur kanak-kanak, otot-otot lain pada diri mereka akan lebih berfungsi,” ujarnya.

Dr. Diana menekankan, sebutan pelat bukanlah satu kecacatan dan juga bukanlah disebabkan faktor keturunan atau pun genetik.

Tetapi boleh dikategorikan sebagai cacat sekiranya disusuli dengan kecacatan fizikal lain seperti sumbing lelangit, sumbing bibir atau pun lidah pendek.

Namun begitu sekiranya kecacatan fizikal ini ‘diperbaiki’, secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah pelat yang dialami kanak-kanak.

“Ibu bapa juga seharusnya memberikan perhatian kepada perkembangan pertuturan anak masing-masing kerana adakalanya anak-anak pelat turut mempunyai masalah pendengaran.

“Pertuturan pelat akan berlaku sekiranya kanak-kanak ini tidak boleh mendengar dengan baik yang akan memberi kesan kepada pertuturan.

“Lazimnya kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran adalah disebabkan mereka kerap terkena jangkitan pada telinga,” jelasnya.

Oleh itu nasihat Dr. Diana, ibu bapa disarankan agar jangan membiasakan dengan tabiat mengajuk percakapan anak-anak, sebaliknya bercakaplah dengan bahasa yang lengkap seperti mana kita bercakap dengan orang dewasa lebih-lebih lagi apabila si kecil dilihat sudah mula memahami lenggok percakapan.

Dalam kajian juga, pakar menemukan beberapa alasan mengapa seorang dewasa perlu bercakap dengan jelas dan bukannya dengan ‘bahasa anak kecil’ apabila berkomunikasi dengan mereka, antaranya ialah agar anak-anak ini dapat bertutur dengan lancar dan memahami apa yang disebut.

Ibu bapa juga mesti segera bertindak sebaik saja mengesyaki anak mereka mengalami masalah pertuturan kerana ia mungkin petanda kepada masalah lain yang lebih serius seperti pendengaran, autisme atau masalah tumpuan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/pelat-masalah-artikulasi-perlu-diberi-perhatian-1.539755#ixzz4wXV8INrm
Sumber daripada © Utusan Melayu (M) Bhd Online

Arkib Berita, Masalah Buli

Masalah buli: Apa yang boleh dilakukan?

Oleh RAVINDRAN RAMAN KUTTY

KEJADIAN buli di sekolah merupakan masalah disiplin yang sukar dibanteras, dan ia mungkin membawa kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Kajian yang dijalankan di sekolah-sekolah Malaysia menunjukkan ego, cepat marah, balas dendam, rasa seronok, pengaruh mereka yang lain serta elemen perkauman antara punca di sebalik kejadian buli.

Setiap hari terdapat pelajar yang takut untuk ke sekolah kerana kuathir akan dibuli, satu kesan negatif dalam kehidupan pelajar. Di Malaysia, beberapa siri kejadian buli di sekolah-sekolah menunjukkan masalah ini perlu diberi perhatian serius.

Contohnya, kes pelajar sekolah di Kuala Lipis, Pahang, yang mengalami kecederaan teruk tulang belakang selepas di sepak terajang oleh sekumpulan pelajar tingkatan 3 dan 5 menggunakan kasut kadet polis; dalam satu lagi kes di Batu Pahat seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan organ dalaman selepas dipukul sekumpulan pelajar senior; kemudian berlaku pula kejadian seorang pelajar dipukul mati di asrama, dan dalam kejadian terbaru seorang pelajar dipaksa melutut di hadapan seorang lagi pelajar kerana dituduh menjatuhkan kalkulatornya.

Terbaharu kes seorang pelajar yang mendakwa pembuli memaksanya memotong hujung lidahnya menggunakan gunting.

Mangsa-mangsa buli takut untuk ke sekolah kerana mereka menjadi sasaran buli. Rasa takut ini membawa perubahan dalam tingkah laku mereka; ponteng sekolah, kemurungan dan pelbagai tingkahlaku yang membawa kepada kegagalan mereka di sekolah.

Bagi pembuli, niat mereka hanya semata-mata untuk menunjukkan kekuatan mereka, sementara ada pula yang beranggapan inilah satu-satunya cara untuk menunjukkan kehebatan mereka. Juga rasa rendah diri dikaitkan dengan perbuatan buli, di mana mereka yang kurang keyakinan diri menjadikan mereka yang lebih lemah sebagai mangsa mereka.

Buli fizikal merangkumi perbuatan seperti memukul, menumbuk, menyepak, mengugut, menampar, menarik, menolak, atau mencubit untuk menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Perlakuan buli secara ganas mungkin membawa kematian kepada mangsa. Buli mental meliputi kata-kata menghina dan usik-usik yang menjejaskan psikologi dan emosi mangsa.

Kedua-dua kategori buli sangat berbahaya memandangkan ianya memberi kesan kepada emosi serta pembangunan sosial seseorang pelajar.

Tinjauan lanjut terhadap isu yang tidak menyenangkan ini menunjukkan bahawa elemen perkauman turut terlibat dalam membentuk kaki buli.

Ini adalah satu perkembangan tidak sihat sedangkan kerajaan menekankan kepada perpaduan nasional.

Berdasarkan jawapan yang diterima daripada tinjauan, jelas kaki buli sedia mempertahankan rakan mereka yang dicabar kaum lain.

Lebih malang lagi para guru juga nampak menggalakkan sentimen perkauman di sekolah-sekolah. Ini berbahaya bagi sebuah negara berbilang kaum. Jika seseorang guru berpihak kepada kumpulan etnik tertentu, para pelajar akan memerhatikan sikap ini dan kemungkinan akan turut mencontohinya pada masa hadapan.

Di sinilah peranan guru penting dalam membantu pelajar membuat pilihan antara yang baik dan buruk. Para guru tidak boleh berat sebelah.

Mereka tidak boleh dipengaruhi elemen perkauman atau berfikiran sempit mengikut aliran perkauman.

Buli adalah satu masalah yang mesti ditangani secara bersepadu oleh guru dan ibu bapa bersama sokongan Jabatan Pendidikan Negeri serta Kementerian Pendidikan.

Mereka perlu berinteraksi secara berkesan dan profesional, selain mengelakkan emosi mengganggu proses menangani masalah itu.

Di sekolah-sekolah, kejadian buli perlu dikenalpasti di peringkat mikro sebelum ia merebak ke peringkat makro.

Memandangkan aktiviti tidak sihat seperti buli boleh menjejaskan hubungan etnik, sekolah-sekolah perlu merancang program yang membabitkan penyertaan pelajar daripada pelbagai kumpulan etnik.

Satu program menyeluruh membabitkan keseluruhan jentera sekolah, iaitu guru dan ibu bapa mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab supaya kita dapat membangunkan modal sumber manusia berkualiti demi negara tercinta kita.

Badan pentadbir sekolah juga perlu telus dalam melaporkan masalah disiplin khasnya yang membabitkan buli dan pergaduhan kepada Kementerian Pendidikan, yang menandakan pembabitan proaktif mereka dalam memerangi masalah ini di peringkat nasional.

Keluarga adalah titik tumpuan penting dalam proses memahami dan menambahbaik nilai-nilai peribadi serta persekitaran komuniti dalam kalangan anggota keluarga pelajar.

Peranan keluarga penting kerana tunjuk ajar ibu bapa yang membentuk personailti setiap pelajar.

Media juga memainkan peranan kritikal. Filem “Ola Bola” membawa perubahan kepada senario bola sepak Malaysia. Begitu jugalah, perlu ada filem yang menampilkan keburukan perbuatan buli di peringkat sekolah bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru, pelajar, polis, kementerian dan pembuli.

Polis juga perlu bekerjasama dengan sekolah-sekolah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan untuk menangani isu ini daripada akar umbi. Siri kejadian kes buli sejak kebelakangan ini bukan sekadar peringatan kepada kita.

Majlis Pencegah Buli Kebangsaan juga boleh dibentuk, yang akan menyatukan guru-guru, guru besar, jawatankuasa PIBG serta pihak berkuasa untuk sama-sama menangani isu itu

Sumber diperolehi daripada Rencana, Sinar Harian Online

Arkib Berita, NILAM

Budaya membaca bermula di rumah

Oleh Shaharom TM Sulaiman

Pepatah Melayu ada mengatakan `Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Begitulah dengan tradisi memupuk budaya membaca. Ia harus bermula di rumah, berlanjut ke alam persekolahan, alam pendidikan tinggi sehinggalah ke alam pekerjaannya.

Dalam konteks pendidikan formal, sudah pasti alam persekolahan menjadi destinasi terbaik untuk terus menanam dan menyuburkan tradisi budaya membaca. Usaha Kementerian Pendidikan khususnya Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) melalui pelaksanaan program Nilam atau `Nadi Ilmu Amalan Membaca’ dalam memupuk budaya membaca berterusan di peringkat persekolahan merupakan suatu usaha murni yang cukup bermakna dalam konteks membina budaya ilmu masyarakat Malaysia.

Pembudayaan sedemikian dapat melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bukan setakat berbudaya membaca, berilmu malah juga berketrampilan sejajar dengan harapan Falsafah Pendidikan Negara.

Melalui program Nilam yang terangkum di dalamnya rancangan memupuk budaya membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah di samping berfungsi sebagai program penilaian pembacaan yang berterusan.

Sepanjang tahun, Nilam yang mula dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pada 1999 sudah pun mencecah hampir usia lima tahun, suatu tempoh yang amat sesuai untuk menilai tahap pencapaiannya.

Baru-baru ini bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2003, BTP telah menganjurkan Anugerah Nilam Kebangsaan dan Tokoh Pembaca Kebangsaan.

Pemberian anugerah ini merupakan petanda kukuh sebagai penghormatan terpuji kepada para pelajar yang `komited’ dengan dunia pembacaan di samping menonjolkan model pelajar yang mengamalkan budaya membaca sekali gus memupuk amalan ini di kalangan rakan sebaya.

Setahu penulis, anugerah kebangsaan sedemikian merupakan yang pertama di Asia dan usaha BTP tersebut merupakan langkah yang jauh ke hadapan dalam konteks membina budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia secara terancang dan sistematik.

Penulis sendiri terlibat sebagai salah seorang hakim penilai Anugerah Nilam dan Tokoh Pembaca Kebangsaan berkeyakinan usaha BTP ini amat sesuai sebagai satu mekanisme penilaian berterusan yang terbaik dalam mengukur minat sebagai satu mekanisme penilaian berterusan yang terbaik dalam mengukur minat membaca para pelajar yang sekali gus merupakan generasi yang mewarisi kepimpinan Malaysia.

Walaupun tiada pelajar yang dinobatkan sebagai Tokoh Pembaca Kebangsaan 2003, namun potensinya tetap ada dan mampu melahirkan tokoh pembaca melalui usaha Nilam yang berterusan.

Berterusan

Jika dilihat daripada falsafah tersirat program Nilam, ia bertujuan melahirkan para pelajar yang mengamalkan budaya membaca bukan saja selepas tamat persekolahan tetapi berterusan ke alam pekerjaan. Dan ini merupakan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan, kerana kita sering mendengar keluhan bahawa para pelajar yang meninggalkan persekolahan dan pendidikan tinggi akan `menurun’ minat membacanya apabila memasuki `alam pekerjaan’.

Kalau membaca pun hanyalah yang berkaitan dengan bidang mereka, samalah seperti mereka membaca hanya untuk tujuan peperiksaan. Dengan kata lain, kita tidak dapat melahirkan pembaca yang menyeluruh atau `holistik’ yang pembacaannya merentasi pelbagai disiplin ilmu.

Dengan kata lain, apa yang diinginkan dari tujuan akhir Nilam ialah melahirkan `ulat buku’, atau dikenali juga dengan `kutu buku’, `pencinta buku’, bookworms atau biblioholism. Dan tujuan akhir inilah yang perlu disemai dan diusahakan.

Untuk melahirkan `ulat buku’, perlu dibentuk sikap penghayatan dan apresiasi pembacaan yang mendalam yang melihat budaya membaca sebagai satu nikmat, seni estetika atau sesuatu yang indah dan menyeronokkan dalam kehidupan walaupun tabiat membaca sudah pun ada.

Keunggulan

Pengetahuan tentang dunia buku yakni yang menyentuh hal-hal keunggulan buku, kecintaan pada buku, kampung-kampung buku, penghormatan pada buku perlu ada pada seorang `ulat buku’ bahkan ia menjadi suatu yang `semula jadi’ atau natural dalam diri seseorang pencinta buku yang sekali gus seorang pembaca yang luar biasa, pembeli buku yang lahap, dan pencinta ilmu yang `rakus’ dalam pengertian yang positif.

Di samping itu usaha menyuburkan gerakan membaca perlu dimantapkan dengan gerakan menulis; dan peringkat persekolahan merupakan usaha penyuburan yang terbaik.

Membaca dan menulis adalah satu aktiviti yang tidak dapat dipisahkan sama ada kreatif atau non-kreatif. Gerakan menulis tidak dimaksudkan sebagai hanya memenuhi keperluan akademik tetapi gerakan yang merentasi landasan akademik yang sebenarnya dapat mengukur keupayaan tahap membaca seseorang.

Almarhum Hamka pernah mengatakan jika seseorang sudah mencapai tahap membaca yang tinggi, ia secara semula jadi akan merasa `terpaksa’ menuangkannya dalam bentuk penulisan. Kerana itulah dalam diri Hamka, tergambar sifat seorang multi-dimensi yakni seorang ulama, sasterawan, budayawan dan pemikir.

Bahan bacaan juga dapat mengukur tahap pembacaan seseorang. Selain terdedah kepada bahan-bahan bacaan popular dan semasa, pendedahan kepada karya-karya besar atau karya-karya agung dalam pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia amat penting dalam memanusiakan’ pembacaan kerana ia mewakili tradisi dan perkembangan pemikiran intelektual sesuatu bangsa. Ini amat berkaitan dengan pemilihan bahan bacaan yang sesuai dan bermutu di samping mengikat diri dengan nilai, akar dan sejarah sesuatu bangsa.

Harold Bloom, misalnya, dalam buku The Western Canon: The Book and School of the Ages (1994), telah menyenaraikan karya-karya kesusasteraan Barat yang telah sampai ke tahap `maha karya’ yang diistilahkan sebagai `kanun’ atau canon.

Menurut Bloom, karya-karya ini perlu dibaca oleh manusia `Barat’ untuk mengikat diri mereka dengan apa yang dikatakan peradaban Barat paling menarik. Bloom turut menyenaraikan karya-karya pengarang dari luar tradisi Barat seperti Pablo Neruda (Amerika Latin), Wole Soyinka (Afrika), R.K. Narayan (Asia).

Namun begitu, Bloom seolah-olah melupakan tradisi Islam yang cukup kaya dengan karya yang telah mencapai tahap `kanun’ dalam pengertian Bloom. Sebaliknya Bloom memasukkan karya Salman Rushdie iaitu Midnight’s Children dalam senarai kanun. Walau apa pun, Bloom telah menunjukkan semacam daftar `bacaan wajib’ yang perlu dibaca dalam tradisi `memanusiakan’ pembaca Barat.

Penulis yakin Nilam yang dijalankan sudah pasti akan dimantapkan dari semasa ke semasa sehingga membuahkan hasil yang diharapkan atau paling tidak akan melahirkan Tokoh Pembaca Kebangsaan yang akan menjadi ikutan di kalangan para pelajar.

Sesungguhnya pelaksanaan program Nilam akan dapat melahirkan masyarakat intelektual dan berbudaya tinggi di mana amalan budaya membaca adalah satu cara hidup dalam membentuk masyarakat intelektual dan bermoral dari segi pemikiran serta pertimbangan hidup.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz4wLzepSsH
Sumber daripada arkib © Utusan Melayu (M) Bhd Online

Uncategorized

Pembelajaran Abad Ke-21 di semua sekolah

Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my

PADANG TERAP: Konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) yang menjadi elemen penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) diperluas ke semua sekolah dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata usaha itu akan digerakkan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada peruntukan diluluskan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, tempoh lima hingga 10 tahun itu diperlukan berikutan usaha melengkapi sekolah dengan keperluan elemen PAK-21 memerlukan kos yang tinggi, khususnya bagi tujuan pengubahsuaian kelas.

“Saya jangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober ini, akan memberikan penumpuan kepada keperluan ini.

“Perkara ini perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan sekolah di luar bandar juga akan melalui elemen PAK-21 yang lebih interaktif dengan penggunaan papan pintar dan peranti, seterusnya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Santai dengan Warga Veteran UMNO di Kampung Kubang Bemban, Kuala Nerang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Kama Noriah Ibrahim.

PAK-21 yang menekankan pembelajaran berpusatkan murid dan berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dilaksanakan dengan penyediaan bilik darjah bersesuaian dan disusuli penyediaan rancangan mengajar serta pelaksanaan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) abad ke-21.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, untuk permulaan pihaknya akan memastikan setiap sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu kelas yang mempunyai kelengkapan PAK-21 agar pelajar dapat didedahkan dengan teknologi.

Katanya, sehingga kini sudah terdapat sekolah yang mempunyai kelas PAK-21 yang dibiayai dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), selain persatuan alumni dan sektor swasta.

“Ada juga sekolah berasrama penuh dan kebanyakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mempunyai kelas pintar yang menerima sumbangan daripada pihak luar,” katanya.

Sumber daripada Berita Harian Online

Uncategorized

Sports Minister wants a sports school for Sarawak

KUCHING: Tourism, Arts, Culture, Youth and Sports Minister Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah wants to see the establishment of a sports school in the state become a reality, as he believed it will help to produce high quality athletes which in long run would catapult the state to be a sports powerhouse in the country.

“I’m a little bit envious of our friends from Sabah, they have got a sports school. We don’t have a sports school in Sarawak. The so-called sports school we have here in Tabuan (Jaya) here does not meet the criteria of a sports school. It is only equivalent to a boarding school,” he said when officiating the 3rd East Malaysia Coaching Symposium and Sports Science Seminar here yesterday.

He disclosed that athletes from SMK Tabuan Jaya only receive an allowance equivalent to what students of Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) or boarding schools get, which is lower than that given to athletes in Bandar Penawar in Johor or Bukit Jalil in Kuala Lumpur, the two full-fledged sports schools in the country.

The proposal for a sports school, he revealed, would require approval from the Federal Youth and Sports Ministry as well as Education Ministry.

However, the Minister explained that setting up such a school in Sarawak could be a bit easier than the normal four phases required to establish it in other places. In the case of Sarawak, he explained, “we can catapult straight to the fourth phase partly because we have got the whole sports complex in one place and we have got a secondary school just next to it, minus the hostel.

“So what we need to do is just turn the school into a sports school. We just need to build a ‘sports village’ or hostel to complete the school to be a sports school without having to incur anymore expenses for constructing a running track, sports field and other sports facilities as they are all in the stadium complex.”

Apart from the sports school, Abdul Karim said the state is also planning to establish a Centre of High Performance.

“Things like that we have to learn and adopt. If it is good, we will do it. I’m prepared to get the Centre of High Performance to be in Sarawak and the assistance from experts in sports science is required to develop our athletes. I hope all of you who are sports science experts can later be among those who help bring up our athletes.”

Among those present were Assistant Minister for Youth and Sports Datuk Snowdan Lawan and Ministry of Tourism, Arts, Culture, Youth and Sports permanent secretary Dato Ik Pahon Joyik.

Sumber diperolehi dari Borneo Post Online

Uncategorized

Serangan jantung boleh dicegah

“Serangan jantung dapat dicegah sekiranya kita menjalani kehidupan sihat dengan tidak merokok, menjaga pemakanan dan bersenam. Pastikan juga kita tidak menghidap kencing manis, darah tinggi atau kolesterol tinggi. Apabila penyakit-penyakit ini dapat dicegah, bermakna serangan dan sakit jantung juga tidak atau jarang berlaku kepada individu itu.”

Itu antara nasihat penting Perunding Pakar Kardiologi, Pantai Hospital Ampang, Selangor, Dr. Chong Wei Peng.

Dia berkata demikian apabila ditanya bagaimana serangan jantung dapat dicegah memandangkan penyakit ini merupakan punca utama kematian dalam kalangan pesakit, dengan statistik yang dikeluarkan di hospital-hospital kerajaan menghampiri ke angka 20 hingga 25 peratus.

Kata Dr. Wei Peng, serangan jantung berlaku akibat ‘kematian’ atau kerosakan otot jantung yang terjadi disebabkan saluran darah yang tersumbat secara tiba-tiba menyebabkan darah menjadi beku dalam salurannya yang sempit.

Fungsi saluran ini adalah untuk mengalirkan oksigen ke jantung. Jantung mengepam darah untuk membekalkan oksigen dan zat makanan ke seluruh badan melalui sistem peredaran darah.

Jantung yang sihat berupaya mengepam 10,000 liter darah sehari dan berdenyut kira-kira 100,000 kali sehari, iaitu antara 60 hingga 80 kali seminit.

Sakit jantung berlaku apabila salur darah jantung menjadi sempit. Penyempitan ini berlaku kerana dinding sebelah dalam saluran darah diselaputi lemak terutama kolesterol.

Biasanya proses penyempitan saluran darah ini berlaku sejak bertahun-tahun dahulu akibat risiko kolesterol tinggi, merokok, kencing manis, obesiti, menjalani kehidupan yang kurang aktif dan darah tinggi.

Namun, kata Dr. Wei Peng, penyempitan saluran darah bukanlah sebab utama berlakunya serangan jantung, tetapi darah yang membeku secara tiba-tiba akibat lapisan saluran sempit itu terkoyak yang menyebabkan serangan jantung berlaku.

“Bagaimana saluran ini boleh terkoyak, itu juga masih dalam kajian. Namun, kita juga dapati sekiranya dalam saluran berkenaan terdapat banyak lemak, iaitu kolesterol yang menyebabkan inflamasi, boleh menyebabkan jantung menjadi lemah yang dikenali sebagai penyakit jantung koronari,” katanya.

Dia juga menegaskan, simptom dan gejala penyakit atau serangan jantung juga adalah berbeza antara individu itu. Lazimnya, bagi tanda-tanda serangan jantung, seseorang itu terasa kurang selesa atau sakit di bahagian tengah atau keseluruhan dada seperti rasa terhimpit atau dihempap batu yang berat.

Malah, ada juga pesakit yang tidak berasa sakit, tetapi hanya merasai sedikit kurang selesa di bahagian dada. Ada juga pesakit yang tidak berasa sakit apa-apa pun, tiba-tiba rasa tercungap-cungap, mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Pesakit juga kemungkinan akan berpeluh-peluh, rasa hendak pitam yang mana keadaan ini sama dengan gejala serangan panik atau juga penyakit asma. Malah gejala penyakit jantung juga seakan-akan sama dengan penyakit gastrik kerana selain terasa kurang selesa di dada, pesakit juga akan terasa kembung di bahagian perut.

“Dalam keadaan ini, doktor perlu memastikan adakah pesakit benar-benar diserang sakit jantung dengan melakukan beberapa ujian tertentu. Nasihat saya, sekiranya anda terasa tidak sedap dan kurang selesa di dada, pergilah berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan seperti ECG (electrocardiogram) dan pemeriksaan darah.

“Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit, ialah ubat untuk mencairkan darah dan pembedahan angioplasty,” katanya.

Jelas Dr. Wei Peng, terdapat tiga saluran darah utama yang berwarna merah di atas permukaan jantung.

Bagi saluran darah koronari, ia berbentuk seperti mahkota merah (crown). Di negara ini, biasanya golongan lelaki yang berusia adalah paling ramai mendapat serangan jantung, terutama bagi mereka yang berumur 50-an ke atas.

Namun, terdapat juga mereka yang berumur 30-an diserang sakit jantung terutama mereka yang aktif merokok dan obes.

Berbanding di negara Barat, kebanyakan lelaki yang mendapat sakit jantung berusia 60-an ke atas dan ini menunjukkan di negara ini serangan jantung berlaku kepada lelaki yang masih muda dan produktif.

Bagi golongan wanita pula, lazimnya mereka yang telah menopaus boleh mendapat serangan jantung.

Malah, mereka yang bersukan juga boleh diserang sakit jantung kerana tekanan terhadap jantung akibat melakukan kerja terlalu ‘berat’.

Kebimbangan setelah serangan

Serangan jantung boleh berulang kembali dalam tempoh beberapa bulan atau tahun sekiranya pesakit masih tidak mengamalkan gaya hidup sihat atau menghidap penyakit-penyakit yang berisiko tinggi.

Tahap keseriusan serangan jantung untuk kali kedua bergantung kepada berapa banyak kerosakan dan ‘kematian’ otot jantung berlaku ketika serangan kali pertama.

Sekiranya melibatkan sebahagian kecil jantung, keadaan individu itu masih lagi boleh pulih dan tidak akan melibatkan kematian, namun sekiranya otot bahagian jantung mengalami banyak kerosakan, boleh menyebabkan pesakit akan menjadi lebih teruk kerana komplikasi keadaan jantung yang lemah.

Pesakit juga akan mudah mengalami semput, sesak nafas, lemah dan kaki bengkak akibat saluran darah yang sempit. Pesakit yang mengalami serangan jantung boleh diselamatkan dalam tempoh lima hingga 10 minit, dari tempoh serangan. Pesakit yang mengalami serangan jantung akan diberikan ubat mencairkan darah. Orang ramai, yang berhadapan dengan mereka yang terkena serangan jantung boleh terus menghantar pesakit ke hospital untuk rawatan.

KENALI serangan jantung

1. Boleh berlaku bila-bila masa sahaja

2. Sakit jantung berlaku apabila salur darah jantung menjadi sempit menyebabkan ada bahagian jantung yang tidak mendapat bekalan darah dan

oksigen yang mencukupi mengakibatkan berlakunya sakit dada.

3.Jika saluran darah tertutup sepenuhnya sebahagian daripada jantung akan rosak mengakibatkan sakit dada yang teramat sangat dikenali sebagai sakit jantung.

4.Antara tanda-tanda sakit jantung ialah pesakit akan berasa sesak nafas, berdebar, letih lesu, peluh dingin, rasa pitam dan pengsan.

5.Tekanan perasaan juga boleh mengakibatkan degupan jantung yang meningkat dan tekanan darah turut meningkat mengakibatkan seseorang itu mengalami sakit jantung

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/serangan-jantung-boleh-dicegah-1.536093#ixzz4vDZkh39w
Sumber daripada © Utusan Melayu (M) Bhd Online