patriotisme, utusan malaysia

Patriotisme dalam diri rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan warna kulit telah melengkapi di antara satu sama lain dan kepelbagaian ini tidak harus menjadi halangan untuk menjalani kehidupan yang harmoni. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Apakah ertinya patriotis­me? Patriotisme boleh dikaitkan dengan perasaan kasih ­sayang dan hormat kepada tanah air kita. Ia adalah satu perasaan semula jadi yang mendorong seseorang untuk bekerja keras demi pembangunan negara, melin­dungi warisan dan budaya serta negara daripada dimusnahkan oleh anasir luar atau dalaman.

Seorang bekas ahli politik Ame­rika Syarikat, Adlai Stevenson ­pernah berkata: “Patriotisme bukan cetusan pendek dan penuh emosi tetapi dedikasi yang tenang dan mantap seumur hidup”.

Ini bermakna bahawa ­patriotisme juga bersamaan dengan dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara. ­Patriotisme juga bermakna semangat kekitaan yang menyatukan rakyat. Ia biasanya disimbolkan dengan mengibarkan bendera dan menghormati lagu kebangsaan.

Bendera kebangsaan melam­bangkan semangat patriotik, ke­­­­­­­banggaan, perpaduan dan ke­­­­setiaan kepada negara. Di bawah bendera yang sama Jalur Gemilang, Malaysia mencapai kemerdekaan dan membina ke­hidupan ­rakyatnya dengan harmoni tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama.

Walaubagaimanapun, saya ­in­gin menegaskan bahawa me­ngibarkan Jalur Gemilang bukan satu-satu­nya cara untuk meluahkan semangat patriotik.

Patriotisme boleh diamalkan dalam pelbagai bentuk. Apabila kita bersuara dan mempertahankan negara ini terhadap mana-mana bentuk serangan juga adalah salah satu tindakan ­patriotik.

Apabila kita menahan diri da­ri­­pada melakukan perbuatan van­­dalisme ke atas harta awam atau membuang sampah di tempat-tempat awam sewenang-wenang­nya, kita adalah seorang yang ­patriotik.

Apabila kita menyumbang ke arah menjadikan masyarakat bebas daripada jenayah atau me­lindungi dan memelihara alam sekitar, kita adalah patriotik.

Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan mereka demi ke­pentingan negara. Seorang yang patriotik juga bermakna ­menyumbang pandangan dan pendapat ikhlas dalam bidang tertentu yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Patriotisme perlu dipupuk sejak kecil kerana apabila kanak-kanak cinta kepada negara, mereka akan membesar dengan menghargai wa­­risan, kepelbagaian, sejarah dan akan berusaha meningkatkan Malaysia dalam semua aspek. ­

Patriotisme boleh diterapkan dalam diri pelajar melalui kesedaran, pendidikan dan pengetahuan. Sistem pendidikan perlu disesuaikan dalam menyemai rasa bangga dan kekitaan terhadap negara.

Kanak-kanak boleh dibentuk untuk tidak melihat sesuatu perkara berdasarkan warna kulit. Kanak-kanak boleh diletakkan bersama-sama dan dibiarkan membesar bersama-sama supaya mereka dapat mengenali, mema­hami dan menghargai rakan-rakan yang berbeza dari segi warna kulit dan latar belakang agama.

Memupuk perpaduan harus bermula di sekolah di mana usaha boleh dibuat untuk menyemai nilai keharmonian antara kaum, perpaduan dan keamanan.

Guru-guru perlu menggunakan kreativiti untuk melibatkan pelajar dari semua kaum untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang meningkatkan integrasi dan perpaduan kaum.

Pelajar perlu mengambil bahagian dalam aktiviti di dalam dan di luar sekolah yang membolehkan mereka berinteraksi antara satu sama lain dan membina persahabatan yang berkekalan. Pelajar perlu memandang setiap perkara tanpa mengikut warna kulit.

Selepas 59 tahun merdeka, ­rakyat Malaysia perlu lebih bersatu kerana kita berkongsi harapan, cita-cita dan impian sama. Kita semua harus bangga mengenalkan diri sebagai rakyat Malaysia.

Saya sentiasa percaya bahawa menjadi rakyat Malaysia tidak menjadikan seseorang itu kurang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh dan lain-lain.

Perpaduan dan integrasi nasional boleh dijadikan lebih kukuh dan bersemangat melalui pene­rapan nilai patriotisme. Sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia dapat mengatasi sebarang cabaran jika rakyatnya bersatu.

Kepelbagaian negara ini adalah kekuatan dan ini adalah resipi kejayaan dalam mencapai pembangunan dan kemajuan sosio ekonomi serta keupayaan untuk mengharungi pelbagai kesusahan.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan warna kulit telah melengkapi di antara satu sama lain dan kepelbagaian ini tidak harus menjadi halangan untuk menjalani kehidupan yang harmoni.

Kenegaraan dan pembangunan negara tidak bermakna sekiranya generasi muda tidak diserapkan dengan nilai-nilai yang sesuai ­kerana mereka semakin mengisi peranan kewarganegaraan dan kepimpinan hari ini.

Perlu ditekankan, golongan ­belia mempunyai kuasa untuk mengubah negara menjadi tempat yang lebih baik dan membawa perubahan positif di negara ini. Seseorang yang dilengkapi de­ngan nilai-nilai mur­­ni dan positif boleh mempengaruhi rakan-rakan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Justeru, peluang perlu diberikan kepada golongan belia untuk membuktikan diri mereka dalam mencapai kecemerlangan. Nilai-nilai sosial dan moral dalam diri mereka juga perlu dipupuk untuk mengendalikan konflik secara positif dan menangani masalah berkaitan gangguan sosial.

Golongan belia mesti mempunyai keupayaan dan mengambil inisiatif untuk menjadi ‘pembina jambatan etnik’ untuk memperbaiki hubungan kaum di negara ini dengan meneutralkan kebencian dalam politik, polarisasi kaum dan eksklusif perkauman yang seolah olah semakin meningkat kini.

Kita harus ingat bahawa tujuan Wawasan 2020 bukan sahaja untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya dari segi ekonomi tetapi juga untuk memastikan agar negara ini benar-benar maju dari semua aspek termasuk dari dimensi moral dan etika

Sumber diperolehi daripada© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s