2017, patriotisme, utusan malaysia

Jati diri Melayu pada alaf baru

BIASANYA kesedaran tentang jati diri Melayu baru akan timbul di kalangan orang Melayu apabila mereka berasa terancam oleh keadaan yang dianggap boleh menggugat nasib mereka bukan sahaja di negara ini bahkan juga di `dunia’ yang sedang mengalami proses perubahan yang luar biasa _ proses yang disebut globalisasi.

Tidak berapa lama dahulu, timbul wacana tentang `Melayu baru’ sebagai percubaan untuk memberikan takrif baru kepada identiti jati diri `tradisional’ Melayu yang tiba-tiba dianggap sebagai `budaya lama’ yang tidak sesuai lagi dengan dunia baru itu.

Orang Melayu diseru supaya mengubah `budaya lamanya’, menggantikannya dengan `budaya baru’. Motivasinya lebih berdasarkan matlamat untuk melahirkan orang Melayu yang cekap ekonomik daripada cekap budaya atau cekap ilmu.

Para pewacana itu juga percaya bahawa dalam zaman globalisasi ini semangat kebangsaan tidak penting lagi. Yang penting ialah, orang Melayu mesti pandai buat duit, mesti pandai berniaga, mesti pandai menguasai bahasa Inggeris, mesti ikut peraturan global.

Tetapi itu nampaknya menyebabkan orang Melayu makin bercelaru, makin terdesak, makin tidak maju berbanding dengan bangsa-bangsa lain. `Budaya lama’ berciciran, `budaya baru’ yang cuba dikejar tiada dapat.

Akhirnya orang Melayu menghabiskan masa bertengkar sesama sendiri bukan tentang isu-isu yang fundamental, yang pokok, tetapi tentang hal-hal yang tidak penting untuk kemajuan bangsa Melayu. Akibatnya, mereka menghadapi masalah perpecahan disebabkan mereka kehilangan agenda bersama.

Inilah, saya kira, krisis jati diri yang dihadapi oleh orang Melayu ketika ini.

Saya akan cuba membahaskan tajuk ini daripada tiga aspek yang saya anggap kait-mengait, iaitu: (a) apakah yang dimaksudkan dengan `jati diri Melayu’; (b) apakah jati diri bangsa (tidak kira bangsa apa pun, termasuk jati diri Melayu) masih relevan dalam zaman globalisasi ini, dan (c) dapatkah orang Melayu menjadi bangsa yang maju dalam zaman globalisasi ini dengan mempertahankan dan mengekalkan jati dirinya.

Jati Diri Bangsa dan Proses Globalisasi
Sebelum membincangkan makna `jati diri Melayu’, elok kita mula dengan menyentuh soal kedua dahulu sebagai konteks umumnya, iaitu soal, apakah jati diri bangsa masih relevan dalam zaman globalisasi ini. Pandangan atau tanggapan yang popular tentang proses globalisasi yang berlalu sekarang ialah akibatnya terhadap jati diri atau identiti bangsa atau negara-bangsa.

Kita tahu bahawa keadaan yang membentuk atau yang mewujudkan fenomena yang disebut globalisasi itu lahir daripada tiga punca, iaitu kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ITC) yang canggih, peraturan ekonomi pasaran bebas, dan ideologi politik liberal.

Ketiga-tiga punca globalisasi ini dilancarkan oleh atau berpunca dari negara-negara maju di Barat, dan pengaruhnya begitu kuat hingga dikatakan tidak ada negara atau kawasan lain di dunia ini yang akan terlepas daripada desakannya. Sempadan fizikal atau geografi yang secara tradisionalnya menentukan identiti atau kedaulatan negara-bangsa kini dengan mudah dapat dilintasi, direntas, ditembusi melalui teknologi maklumat dan komunikasi yang menggunakan ruang maya (siber) dan media elektronik untuk menembusi dinding-dinding pejabat, rumah dan bilik tidur kita secepat kilat tanpa diketahui oleh pihak pengawal keselamatan, penapis maklumat, dan pencegah maksiat di peringkat negara dan setempat.

Politik kebangsaan yang dianggap `tidak liberal’, dasar ekonomi yang dianggap tidak mematuhi peraturan ekonomi atau dagangan pasaran bebas, dan dasar budaya yang dianggap `tidak pluralistik’ atau `tidak bebas’, sentiasa dinilai, didesak dan dicabar oleh proses globalisasi ini.

Para pembahas fenomena globalisasi meramalkan bahawa proses ini akan mewujudkan sebuah masyarakat global yang tidak akan mengenal sempadan negara-bangsa dan kesedaran kebangsaan lagi.

Salah seorang pembahas ini, Kenichi Ohmae, terpukau dengan fenomena ini lalu meramalkan dalam bukunya bertajuk The End of the Nation State (1995), bahawa sejarah negara-bangsa akan tamat. Tetapi ramalan seperti itu saya anggap sebagai ilusi.

Soal yang tidak dapat meyakinkan saya ialah: Apakah jati diri bangsa akan turut termusnah akibat penyertaan negara itu dalam proses globalisasi ekonomi pasaran.

Kesedaran jati diri bangsa yang kuatlah yang mendorong sesebuah negara yang diduduki oleh bangsa itu menjadi negara yang maju dan kuat. Apa pun `teori’ Kenichi Ohmae atau sesiapa pun tentang the end of nation-state, jati diri atau kesedaran bangsa atau kebangsaan dari segi perspektif sosiobudayanya sukar dihapuskan oleh kuasa-kuasa luar yang bersifat materialistik atau ekonomi.

Kesedaran ini tidak dicipta di luar tetapi dari dalam diri bangsa itu sendiri, lahirnya melalui pengalaman budaya atau ketamadunan bersama bangsa itu dalam sejarahnya – proses yang mungkin mengambil masa ribuan tahun lamanya sehingga terbentuk suatu tradisi atau jati diri yang membezakan bangsa itu daripada bangsa-bangsa lain. Kenichi Ohmae tentu lebih tahu bahawa walaupun negara Jepun merupakan peserta yang penting, aktif dan berpengaruh dalam arena ekonomi global, namun bangsa Jepun tetap mengekalkan kejepunannya dalam segala bidang, termasuk dalam dasar budaya ekonominya. Kesedaran kebangsaan mereka cukup kental.

Kita tahu bahawa orang Jepun, apabila mereka berada di luar negara, mereka akan mencari restoran Jepun, bank Jepun, kedai Jepun, kelab hiburan Jepun (karaoke). Mereka tetap menggunakan bahasa mereka apabila bertemu dan berbual-bual sesama bangsa sendiri, baik di luar negara, lebih-lebih lagi di dalam negeri mereka walaupun mereka mungkin fasih dalam bahasa Inggeris.

Seperti kata Francis Fukuyama dalam bukunya Trust (1998), bangsa Jepun berbudaya group oriental. Ini dianggap sebagai modal sosial atau budaya asliah (primordial) bangsa Jepun yang sejak dahulu kala hingga ke zaman globalisasi moden ini merupakan asas kekuatan dan ketahanan bangsa Jepun.

Negara mereka maju kerana bangsa Jepun kuat mengekalkan warisan mereka. Bangsa Jepun, terutama selepas Perang Dunia II, tidak hanya meniru `acuan’ Barat tetapi mempelajari cara Barat dan dengan demikian dapat mereinvent kemajuan dalam bidang apa pun menurut kepentingan atau acuan mereka berasaskan kesedaran jati diri bangsa mereka.

Mitos globalisasi dipecahkan oleh John Naisbitt. Dalam bukunya Global Paradox yang terbit dalam tahun yang sama, 1995, Naisbitt menceritakan kisah yang lain pula, kisah yang saya anggap lebih realistik, lebih benar.

Menurut Naisbitt, makin dunia ini menjadi globalised, manusia di mana-mana nampaknya makin bersemangat tribal atau sukuan atau nasionalistik. Mereka berkelakuan demikian kerana mereka melihat proses globalisasi itu sebagai punca yang boleh memusnahkan identiti mereka sebagai bangsa, dan jika kemusnahan ini berlaku mereka takut akan menjadi bangsa yang terpinggir.

Sepanjang sejarah dunia, kita perhatikan bahawa manusia berpecah, berperang, berbunuh-bunuhan dan membentuk negara dan kelompok masing-masing berdasarkan semangat dan kesedaran etnik, bangsa, agama, bahasa dan budaya.

Contoh sezaman yang dapat kita sebut ialah perjuangan bangsa/kaum Tamil untuk membentuk negara sendiri di Sri Lanka, peperangan etnik/agama di Yugoslavia, disintegrasi Kesatuan Negara Soviet, dan boleh juga disebut kes di selatan Filipina.

Jati Diri Melayu
Sebenarnya globalisasi bukan fenomena baru. Kalau kita menganggap globalisasi sebagai proses pertembungan antara tamadun atau sebagai proses perdagangan yang merentas kawasan bangsa atau negara-bangsa, atau sebagai proses penjajahan, saya kira dunia Melayu di sebelah-menyebelah Selat Melaka sudah menghadapi proses ini sejak 2,000 tahun dahulu, apabila dunia ini bertembung dengan tamadun-tamadun besar dari dunia luar, bermula dengan tamadun Hindu, kemudian tamadun Islam sejak abad kesembilan lagi, dan akhirnya dengan tamadun Eropah (Barat) mulai abad ke-16.

Peristiwa yang berlaku di alam Melayu itu luar biasa. Tidak ada kawasan lain di dunia ini yang didatangi oleh tiga tamadun luar yang besar itu serentak atau berturut-turut. Dari Barat datang tiga bangsa Eropah hampir serentak, iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris.

Apakah yang terjadi kepada bangsa Melayu selama tempoh 2000 tahun itu? Yang jelas ialah, bangsa Melayu tidak termusnah akibat pertembungan itu, tidak seperti nasib yang menimpa penduduk pribumi Amerika (di Kanada, di Amerika Utara dan di Amerika Selatan) akibat penjajahan Barat. Sebabnya ialah, bangsa Melayu itu sudah mempunyai jati diri atau identiti yang kukuh.

Dua faktor atau alat penting yang bertanggungjawab membentuk tamadun itu ialah bahasa Melayu dan agama Islam. Biasanya, orang mentakrif jati diri atau identiti sesuatu bangsa dengan melihat ciri-ciri fizikal dan budaya yang membezakan bangsa itu daripada bangsa lain.

Orang Melayu dikenali sebagai orang Melayu kerana mereka mempunyai ciri-ciri fizikal dan sosiobudaya, iaitu bahasa, adat resam, dan sistem sosial, dan agama (iaitu Islam) yang membezakan orang Melayu atau `bangsa Melayu’, baik secara khusus mahupun secara umum, daripada bangsa-bangsa lain.

Tetapi takrif ini sahaja tidak cukup. Ada juga bangsa atau kumpulan etnik di kawasan yang disebut Gugusan Kepulauan Melayu yang berbahasa Melayu dan beragama Islam, dan yang mempunyai rupa fizikal yang sama atau hampir-hampir sama, tetapi mereka tidak disebut `orang Melayu’, tetapi disebut, misalnya `orang Jawa’, `orang Acheh’, orang Minangkabau dan `orang Melayu Brunei’, dan sebagainya.

Saya mentakrif jati diri bangsa Melayu berdasarkan pertumbuhan orang Melayu itu menjadi bangsa yang bertamadun. Istilah budaya dan `ras’ atau `etnik’, dari segi takrif antropologi (ini takrif tradisional) harus dibezakan dengan istilah `bangsa’ dari segi konsep politik dan ketamadunan.

Tamadun manusia biasanya wujud melalui penubuhan kota (ingat istilah Arab `madaniah’ yang bermaksud, tamadun yang berpusat di kota) sebagai pusat organisasi politik atau pentadbiran yang disebut `negeri’ atau `negara-kota’, sebagai pusat perdagangan, pusat kegiatan intelektual, ilmu, seni dan persuratan.

Tamadun ini sudah wujud di alam Melayu sejak abad ketujuh dengan tertubuhnya kerajaan Melayu-Sriwijaya (yang tamat sejarahnya kira-kira pada pertengahan abad ke-14), atau dengan tertubuhnya kerajaan Melayu-Islam yang pertama, di Perlak, Sumatera, pada abad kesembilan. Tradisi ini bersambung melalui kerajaan-kerajaan Melayu-Islam yang lain, misalnya kerajaan Samudera-Pasai (1250-1524), kerajaan Acheh sejak abad ke-11, kerajaan Melaka ?-1511), kerajaan Johor dan kerajaan Riau. Tamadun ini dikembangkan oleh atau melalui dua alat pembentuk ketamadunan yang penting atau dominan iaitu bahasa Melayu dan Islam.

Hal yang penting diketahui tentang bahasa Melayu, dari segi peranan politik dan budayanya, ialah fungsinya sebagai bahasa supraetnik, yakni bahasa yang mampu merentas sempadan etnik, sempadan geografi, dan sempadan budaya setempat, jadi bahasa itu bukan lagi bahasa etnik Melayu sahaja. Bahasa inilah yang digunakan sebagai bahasa kerajaan (atau bahasa Istana), bahasa undang-undang, bahasa perdagangan, bahasa penyebaran agama Islam.

Dan bahasa inilah yang mencetuskan tamadun persuratan, kesusasteraan dan ilmu hingga mencapai kemuncaknya dalam abad ke-17, khususnya di Acheh, apabila puluhan karya kesusasteraan dan ilmu teologi, metafizik dan tasawuf dihasilkan. Sultan Ternate di Kepulauan Maluku, Abu Hayat dalam tahun 1521 dan 1522, mengirim surat dalam bahasa Melayu kepada Raja Portugis, King John ke-III. Negeri-negeri atau kerajaan Melayu Islam itulah yang dapat kita sebut `negara-bangsa’ Melayu, tidak kira apakah kumpulan etnik yang berada dalam kawasan itu kerana yang mencirikan identiti atau jati diri kerajaan atau negeri atau `negara’ itu bukan kumpulan etniknya tetapi ialah bahasa Melayu dan agama Islam.

Tradisi atau jati diri supraetnik inilah yang diwarisi oleh kerajaan Melayu-Indonesia hari ini. Maka itulah seluruh rantau ini, yang terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu atau Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia, lumrah disebut sebagai rantau berbahasa Melayu. Orang Barat menciptakan istilah The Malay Archipelago. Kriteria yang mereka gunakan ialah bahasa Melayu.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa konsep `bangsa Melayu’ atau `The Malay Nation, sebenarnya tidak ada. Saya merujuk kepada artikel bertajuk Colonial Knowledge, Invention and Reinvention of Malay Identity in Pre-Independence Malaya: A Retrospect yang ditulis oleh Callistus Fernandez dari UKM. Fernandez berpendapat Raffles yang menggunakan istilah itu. Menurut Fernandez, identiti Melayu sebelum zaman penjajahan berpusatkan raja, khususnya raja berketurunan Sultan Melaka. Kemudian identiti Melayu itu berubah menjadi `bangsa Melayu’ yang meliputi semua orang berketurunan Melayu yang secara definitif menggunakan nama `Melayu’. Ini, menurut Fernandez,ialah ciptaan Barat, atau menurut ilmu kolonial.

Kita jangan terikat dengan tradisi kajian dan teori antropologi apabila kita cuba mentakrifkan jati diri bangsa Melayu, ataupun dengan teori atau ilmu kolonial. Walau bagaimanapun, berhubung dengan pandangan Raffles tentang wujudnya `bahasa Melayu’ atau `Malay Nation’ sebagai entiti sosiopolitik, dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai kriteria takrifnya, saya kira orang putih itu betul.

Apa Pentingnya Jati Diri Melayu?
Saya menegaskan dua faktor yang membentuk jati diri bangsa Melayu, iaitu bahasa Melayu dan agama Islam, dan tidak memasukkan ciri-ciri lain, misalnya ciri `adat resam’ Melayu, seperti yang digunakan dalam Perlembagaan Malaysia untuk mentakrifkan makna `orang Melayu’, kerana saya kira inilah dua faktor atau alat budaya yang telah membentuk weltanschuug atau pandangan hidup atau akal budi bangsa Melayu sepanjang sejarah tamadun bangsa Melayu.

Bagi saya, jati diri Melayu tidak hanya terletak pada budaya luarannya tetapi lebih penting lagi pada minda atau akal budi bangsa Melayu sebagaimana yang dapat kita kaji dan hayati dalam karya-karya persuratan tradisional Melayu, misalnya dalam karya-karya agung Melayu, seperti Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah, dalam puisi tradisional Melayu, seperti pantun dan syair dan dalam peribahaa Melayu. Sementara bahasa Melayu menjadi alat perakamnya, agama Islam menjadi sumber dan acuan pemikir dan ilmunya, kepercayaannya dan pandangan sejagatnya.

Inilah sifat kreativiti bahasa yang dapat digunakan untuk memajukan pemikiran bangsa, mengembangkan ilmu, menghasilkan karya-karya besar dalam bidang seni, kesusasteraan, dan sains. Setiap tamadun di dunia dibina oleh bangsa yang berkenaan melalui bahasanya sendiri. Bangsa yang maju mencipta kemajuannya melalui bahasanya sendiri berdasarkan acuan budaya atau tamadunnya sendiri.

Kesimpulan saya ialah, bangsa yang maju dalam dunia baru ini dunia globalisasi ialah bangsa yang mempunyai kesedaran kebangsaan atau kesedaran jati diri yang tinggi dan kuat untuk mencegah `penjajahan’ globalisasi yang boleh memusnahkan kekuatan dalamannya, bangsa yang dapat membina kekuatan dan daya saingan berdasarkan ilmu, kecekapan dan pengalaman yang dikembangkan kepada seluruh bangsa dalam dan melalui bahasa yang difahami oleh seluruh anggota bangsa itu.

Bagi orang Melayu dua alat yang sudah ada pada mereka sejak ratusan tahun ialah bahasa Melayu dan agama Islam sebagai pedoman kemajuannya. Tetapi sejak mutakhir ini, kita perhatikan wujud beberapa keadaan yang boleh melemahkan fungsi bahasa Melayu sebagai alat kemajuan orang Melayu di negara pelbagai bangsa ini dan mengendalikan potensi agama Islam sebagai agama kemajuan. Misalnya, kedudukan BM sebagai bahasa pendidikan tinggi dan bahasa ilmu tercabar oleh kewujudan hampir 600 buah institusi pengajian tinggi swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Perkembangan seperti ini pastinya akan mengurangkan nilai fungsional jati diri Melayu.

Orang akan bertanya: Apa gunanya jati diri orang Melayu ini jikalau fungsinya sebagai alat kemajuan orang Melayu di negara yang dikatakan maju ini dikendalikan, secara terancang atau tidak, oleh dasar negara sendiri. Ini sebenarnya bukan masalah jati diri tetapi ialah masalah dasar negara yang memerlukan wacana yang lain pula.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0329&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4yWBoVvWz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a comment