Pendidikan Reproduktif, utusan malaysia

Video pendek #muhibah cungkil kreativiti pelajar

KUALA LUMPUR, 29 JANUARI 2018 - Guru Pusat Sumber SMK Bandar Seri

KUALA LUMPUR, 29 JANUARI 2018 – Guru Pusat Sumber SMK Bandar Seri Petaling, Siti Fatmawadi Muhamad Ubaidillah (tengah) memberikan arahan kepada pelajar-pelajar sewaktu membuat video lakonan bagi menyertai Pertandingan Video Pendek #muhibah anjuran Utusan Malaysia di SMK Bandar Baru Seri Petaling, di sini, hari ini.Gambar : Aizzul A.Majid / Pem : Norizan (PENDIDIKAN)

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Pertandi­ngan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online anjuran Kumpulan Utusan menyediakan peluang kepada pelajar mengetengahkan bakat dan kreativiti mereka selain menyampaikan mesej perpaduan kepada masyarakat.

Guru Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Petaling, Siti Fatmawati Muhamad Ubaidillah berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu dianggap usaha terbaik bagi membolehkan pelajar menzahirkan pemahaman mereka tentang definisi perpaduan.

Menurutnya, menerusi pertandingan itu dapat membantu mencungkil bakat dan kreati­viti pelajar untuk mengolah atau menghasilkan idea mereka melalui video yang menampilkan kepelbagaian etnik.

“Saya yakin pelajar memahami dengan jelas konsep atau makna perpaduan dan muhibah itu dan melalui pertandingan ini, kita dapat lihat sendiri bagaimana pelajar boleh melahirkan persepsi atau kreativiti mereka tentang konsep tersebut kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah tersebut di sini semalam.

Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online yang bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Disember ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah secara percuma.

Antara syarat utama yang ditetapkan adalah penggunaan bahasa Melayu serta perlu menyam­paikan mesej perpadu­an dalam kalangan ma­syarakat pelbagai kaum di negara ini.

Empat video terbaik yang dimasukkan ke laman web http://www.muhibah.my akan dipilih sebagai pemenang bulanan yang menawarkan hadiah RM1,000 bagi setiap pemenang tajaan Orando Holdings.

Menurut Siti Fatmawati, konsep perpaduan atau seumpamanya sudah sinonim dalam kalangan pelajar SMK Bandar Seri Petaling dan pihaknya sudah merancang untuk terlibat sama menjayakan projek baharu tersebut.

“Pertandingan seperti ini amat baik untuk aktiviti pelajar malah ia memberi impak yang baik kerana turut mempromosi penguasaan bahasa Malaysia.

“Saya amat menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai pertandi­ngan ini dan sebagai permulaan, sudah ada empat hingga enam pelajar yang dalam perancangan awal menyertai pertandingan ini,” katanya.

Sementara itu, Amizar Qistina Aminuddin berkata, mereka teruja untuk menyertai kerana tertarik dengan konsep pertandingan yang menggalakkan semangat muhibah yang sememangnya bukan perkara asing bagi mereka.

“Kami sudah biasa bersama-sama, tidak kira apa jua kaum. Jadi, apabila Cikgu Siti Fatmawati beritahu tentang pertandingan ini, kami semua sudah teruja malah sudah sibuk membahagi tugas masing-masing,” katanya.

Sekolah yang ingin menyertai pertandingan, boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari http://www.muhibah.my.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

 

Advertisements
Berita Harian, Rencana

Nasib jurnal akademik Islam impak tinggi

Rencana ditulis oleh Dr. Hakimah Yaacob

SEPANJANG pengalaman saya sebagai ahli akademik, kajian berimpak tinggi menjadi satu objektif dan kebanggaan ahli akademik. Berhempas pulas siang dan malam untuk memastikan artikel yang ditulis diterima oleh jurnal berimpak tinggi.

Setiap kali artikel ditulis, maka abstrak akan menerangkan mengenai impak atau sumbangan sesebuah penulisan berkenaan.

Kajian yang bermutu negara Islam pada hari ini akan dihantar ke negara Barat, terutama Amerika Syarikat (AS) untuk ditentukan, sama ada layak diberikan hak untuk diterbitkan dalam jurnal mereka. Jika gagal, maka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau kedudukan ahli akademik terbabit akan tergugat. Maka, idea pemikir Islam akan tersekat hanya kerana tulisan mereka tidak diterima Barat.

Selain itu, bahasa adalah kekangan utama bagi ahli akademik yang berlatarbelakangkan pengajian agama. Kebanyakan pengajian agama dijalankan dalam bahasa tempatan ataupun Arab. Pemikir hebat ini tersisih daripada arus pemikir. Jadi, akhirnya pemikir Barat diagungkan dan diberi hadiah Nobel Antarabangsa.

Universiti Islam yang ditubuhkan juga membuat acuan sama dengan universiti Barat. Penerbitan dalam jurnal kajian berimpak tinggi dijadikan syarat kenaikan pangkat bagi ahli akademik. Sedangkan, kursus ditawarkan oleh universiti tiada kaitan dengan kategori jurnal berimpak tinggi. Malah, disyaratkan lagi supaya mendapat Q1 dan Q2 sedangkan kebanyakannya adalah sains, teknologi, perubatan dan ekonomi.

Pengajian agama, eskatologi Islam, tauhid, usuluddin dan bahasa Arab, sepanjang pengetahuan saya tiada ditempatkan di Q1 atau Q2. Jika permasalahan diatas berterusan, maka pemikir hebat dalam kalangan orang Islam akan terus ketinggalan dan tenggelam.

Menurut University of Western Australia, kajian berimpak tinggi bermaksud; kajian yang mengkaji isu global, serantau dan domestik untuk menjadikan dunia lebih baik. Kajian mereka memberi impak kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar. Sementara itu, University of York menyatakan, ia adalah kajian yang melintasi batas akademik.

Ubah hidup manusia

Bahagian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu pula mendefinisikan, impak sebagai impak yang secara tidak langsung mampu mengubah hidup manusia. Perubahan itu termasuk positif atau negatif secara tempoh yang lama ke atas populasi atau kumpulan yang boleh dikenal pasti.

Apa pun pengertian diberikan, semuanya seperti bersetuju bahawa corak kajian itu mesti ke arah membawa perubahan. Ia mampu mengubah sesebuah masyarakat, tingkah laku manusia, malah polisi sesebuah negara.

Menurut kajian oleh Simon Linacre, dari Business, Management and Economics Journals, impak boleh diberikan kepada tiga bahagian iaitu pengaruh, perhatian dan perubahan.

Al-Quran ternyata impak paling utama kerana mempunyai ketiga-tiga bahagian berkenaan. Hampir setiap artikel merujuk al-Quran sebagai autoriti. Setiap ceramah dipetik al-Quran atau hadis. Dari al-Quran juga adanya kajian susulan. Kajian demi kajian dilakukan berdasarkan al-Quran dan hadis, tetapi masih tiada pengiktirafan dalam jurnal yang membabitkan pengajian Islam hanya kerana petikan dan ranking berdasarkan kebaratan.

Hakikatnya, banyak artikel akademik tidak dipetik iaitu 82 peratus bagi sastera dan humaniti. Munurut kajian Smithsonian, 1.8 juta artikel diterbitkan setiap tahun di dalam 28,000 jurnal.

Kajian Schimago pula menunjukkan, kebanyakan kajian berimpak tinggi, merujuk kepada sains dan teknologi. Amat sedikit dan sukar bagi artikel berbentuk Islamiah yang dikategorikan di bawah sastera dan humaniti mampu menembusi jurnal impak faktor yang tinggi.

Artikel tidak dibaca

Menurut laporan Schimago lagi, 10,134 jurnal dan buku yang mempunyai ranking Q1-Q4 adalah diasaskan dari AS. Kajian yang dilakukan pada 2007 menunjukkan, bahawa 50 peratus artikel tidak dibaca langsung. Kajian yang dikumpulkan oleh Institute of Science Information (ISI) pada 1990, mengatakan 90 peratus artikel tidak dibaca.

Impak yang tinggi dalam penulisan, tidak boleh diukur hanya dengan mendapat tempat di dalam jurnal berimpak tinggi, kerana jurnal ini tidak dibaca. Tambahan pula, untuk mendapatkan akses kepada jurnal ini agak mahal.

Bahasa juga faktor utama kenapa pemikir Islam terpinggir. Tidak dinafikan ada sesetengah universiti sudah mula membuka dimensi baharu dalam menaik taraf akademik pensyarahnya. Contohnya, universiti sudah mula mengambil kira pengajaran menerusi internet seperti Youtube sebagai satu daripada alat untuk kenaikan akademik. Namun, masih banyak universiti yang menjadikan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi sebagai syarat utama untuk kenaikan pangkat dalam akademik.

Realitinya, lebih memberi impak adalah bersifat percuma seperti Youtube, blog dan media sosial. Yang memberi impak juga adalah bersifat cepat disampaikan dan mudah didapati seperti WhatsApp dan Twitter. Namun, berapa banyak universiti yang mengambil kira kenaikan pangkat sekiranya seorang pensyarah mempunyai blog mengenai agama atau subjek yang menjadi kepakarannya?

Adakah jurnal berimpak tinggi ini hanya dilihat dari sudut bahasa Inggeris yang tinggi, teknik penulisan yang rumit dan struktur rangka susun yang teratur? Jika ini yang dipentingkan, maka ia lebih bersifat teknikal dan bukanlah idea yang diutamakan. Alangkah baiknya jika media sosial dan metod inovatif yang mengiktiraf kedudukan ahli akademik juga harus diambil kira. Inovasi dalam pendidikan Islam harus dipelbagaikan dan ditentukan oleh kita sendiri.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Pendidikan Reproduktif

Pastikan pendidikan kita bentuk rakyat berakhlak

Rencana ditulis oleh Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara

PENGGAL baharu sekolah sudah hampir sebulan. Diharap ada banyak penambahbaikan

pada 2018, manakala gejala buruk tidak berulang lagi.

Namun, masalah buli sama ada di sekolah atau institusi pendidikan tinggi sejak dulu menghantui guru, ibu bapa dan masyarakat. Masalah ini sudah lama berlaku dan mungkin terus berlaku, kecuali pihak terbabit berusaha membendungnya.

Apabila kes buli terjadi, heboh seluruh negara dan jadi bahan berita di media arus perdana atau media sosial. Perbincangan dan cadangan diberi untuk mengatasi masalah ini. Ada cadangan bernas dan patut diberi perhatian oleh pihak berkenaan. Ada juga menyalahkan pihak tertentu walaupun perbicaraan tidak dilakukan.

Jika diambil pandangan progressivisme falsafah pendidikan di Amerika Syarikat (AS) mengikut pandangan John Dewey, pendidikan adalah penghidupan dan bukan persediaan untuk penghidupan. Berbanding falsafah pendidikan tradisional essensialisme dan perennialisme yang menyatakan, pendidikan adalah persediaan untuk penghidupan.

Jika kita berpegang falsafah pendidikan progressivisme, sekolah patut menyediakan persekitaran mirip sebuah masyarakat. Ahlinya yang melakukan kesalahan perlu ditangkap dan dibicarakan. Anggaplah pengawas sebagai polis dan guru disiplin sebagai ketua pengawas. Perbicaraan dilakukan di mahkamah sekolah. Keputusan perbicaraan mesti berlandaskan bukti dan hujah serta diterima semua pihak. Apa yang berlaku di sekolah perlu dimaklumkan kepada ibu bapa dan masyarakat supaya menerima proses dilakukan dalam komuniti sekolah ini.

Jika kita berpegang kepada falsafah pendidikan essensialisme atau perennialisme, falsafah tradisional berpusatkan guru, mementingkan disiplin murid dan pembentukan adab atau akhlak. Semuanya di bawah pengawasan guru dan tindakan guru adalah betul sebab mereka berpengalaman serta menjadi rujukan.

Guru mesti mempunyai tingkah laku baik agar menjadi ikutan murid. Pembentukan akhlak bukan dibiarkan begitu sahaja dan mengharapkan murid belajar sendiri sama ada melalui kawan, guru, ibu bapa, masyarakat, pembacaan dan pengalaman dalam kehidupan.

Ajar adab

Adab atau akhlak mesti diajar. Di sekolah, Pendidikan Moral diajar kepada murid bukan Islam. Mereka belajar nilai murni untuk menjadi orang baik daripada Tahun Satu sehingga ke pengajian tinggi. Murid Islam sepatutnya mempelajari adab melalui Pendidikan Islam. Persoalannya, sejauh manakah mereka diajar akhlak melalui pelajaran Tauhid, Fekah, al-Quran, atau Hadis. Mampukah mereka menjadi insan yang baik?

Mungkin kaedah pengajaran boleh diubah, bukan kepada hafalan untuk tujuan peperiksaan, tetapi lebih kepada pemahaman dan amalan. Isu buli bukan masalah besar kepada murid, tetapi ia tetap perlu dibendung supaya tidak merebak dan menjadi bertambah buruk.

Pembentukan akhlak dan pendidikan moral penting bukan sahaja untuk mengawal buli, tetapi sebagai proses pembentukan akhlak murid, supaya boleh menjalani penghidupan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Masyarakat dan majikan memerlukan generasi berpengetahuan serta berkemahiran yang menghayati nilai murni, berbudi pekerti tinggi dan dapat menyumbang kepada kehidupan sejahtera.

Hakikatnya, pendidikan berjaya memberi pengetahuan dan kemahiran, tetapi masih mencari-cari cara terbaik memastikan murid menghayati nilai murni, nilai sosial serta pembentukan akhlak dan moral yang baik.

Kandungan peperiksaan banyak tertumpu kepada menguji pengetahuan (kognitif) dan kemahiran (psikomotor); kurang menguji atau menilai nilai murni dan sosial serta akhlak (afektif). Ini cabaran besar kepada pendidik sejak dahulu.

Di negara Barat, pendidikan karakter atau pendidikan nilai di sekolah dikatakan gagal kerana terlalu banyak program bertentangan dilaksanakan, kekurangan atau ketiadaan standard dalam pendidikan nilai dan juga bagaimana serta oleh siapa ia dilaksanakan.

Dalam masyarakat majmuk, ada pihak yang mungkin menyoal nilai siapa yang hendak diterapkan? Pendidikan karakter atau pendidikan nilai dikatakan tidak menghasilkan sebarang peningkatan dalam tingkah laku atau prestasi akademik murid.

Di Amerika Syarikat, jabatan pendidikan mendapati kebanyakan program pendidikan karakter gagal membuktikan keberkesanannya. Warga pendidik tidak harus kecewa dengan kegagalan, tetapi biar kegagalan menjadi cabaran untuk kita terus berusaha mencari cara terbaik.

Sumber diperolehi daripada Berita harian Online

Keselamatan Pelajar/Kesihatan, Rencana, utusan malaysia

Pantau makanan elak keracunan

SEBAHAGIAN murid Sekolah Kebangsaan  Pendang di Kedah, yang menerima rawatan kerana mengalami keracuSEBAHAGIAN murid Sekolah Kebangsaan Pendang di Kedah, yang menerima rawatan kerana mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan ringan di kantin sekolah pada tahun lalu

Sering kita mendengar mengenai kes keracunan makanan yang dialami murid-murid selepas makan di kantin atau jamuan di sekolah.

Terutama murid-murid baharu yang memasuki sesi persekolahan darjah satu atau dua, golongan ini perlu dididik untuk membezakan makanan yang dibeli itu masih elok untuk dimakan.

Menurut Penasihat Keselamatan Makanan kepada sebuah syarikat, Budiman Jaafar, pada tahap ini lazimnya murid-murid sudah pun diajar dan mengetahui bagaimana membezakan makanan yang masih baik atau tidak elok menerusi tiga cara iaitu menerusi rupa, bau dan rasa ketika di tadika atau prasekolah.

“Kaedah ini juga telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan kepada semua masyarakat agar mengenal pasti makanan yang hendak dimakan menerusi tiga cara berkenaan melalui pancaindera kita.

“Kita lihat adakah makanan itu telah berbuih, berbau mahupun sudah lain rasanya?” katanya yang mempunyai syarikat perunding keselamatan makanan sendiri, Tenggara Dermaga Services.

Dia menambah, kawalan suhu adalah penting bagi setiap makanan kerana makanan yang selamat untuk dimakan perlu berada dalam tempoh empat jam selepas dimasak.

Ini bermakna pengendali makanan di kantin perlu memastkan murid-murid hanya membeli makanan yang dimasak dalam tempoh itu.

Katanya, makanan yang dijual juga perlu sentiasa bertutup agar tidak dihinggapi lalat. Ini termasuk bekas air minuman yang airnya dijual kepada murid-murid.

“Kadang-kadang kita melihat lebah atau lalat menghurungi bekas air. Ini adalah sesuatu yang mendukacitakan kerana minuman seperti itu dijual kepada murid-murid,” katanya.

Budiman menambah, bagi ibu-ibu yang membekalkan anak-anak mereka dengan makanan yang dimasak dari rumah merupakan sesuatu yang baik kerana menjimatkan dan membolehkan anak-anak makan dengan selesa tanpa perlu beratur panjang membeli makanan.

Namun, ibu-ibu perlu memastikan dan memesan anak-anak agar memakan bekalan yang dibawa ketika waktu rehat atau pada awal pagi sebelum masuk ke kelas.

“Tetapi sekiranya makanan berkenaan tidak dimakan waktu rehat atau terdapat bekalan yang dimakan berlebihan, ia seharusnya tidak dimakan pada waktu petang ketika anak-anak ini berada di rumah pengasuh kerana jarak waktu yang lama dari tempoh dimasak.

“Ibu-ibu juga perlu pastikan, makanan yang masih panas dan kemudian disimpan di dalam bekas perlu dibiarkan sejuk sedikit sebelum ditutup, untuk mengelakkan berlakunya perpeluhan dan seterusnya menyebabkan makanan cepat basi,” katanya.

Budiman turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka tidak membeli makanan daripada penjual yang berada di luar bangunan sekolah.

“Mungkin agak sukar bagi guru-guru untuk memantau murid-murid yang membeli daripada penjual di luar pekarangan sekolah, namun mereka boleh diberikan peringatan mengenai bahaya membeli makanan di luar, selain mengundang penceramah untuk menyampaikan maklumat kepada murid-murid mengenai pemakanan sihat dan selamat,” katanya.

Menurutnya, pemantauan pihak sekolah terhadap pengendali operator kantin adalah penting termasuk sama ada mereka memiliki sijil dan pernah menjalani kursus pengendalian makanan termasuk kebersihan dan persekitaran kantin.

Pengendali makanan di kantin sekolah perlu memastikan bahan mentah yang baharu dibeli disimpan segera di dalam peti sejuk dan tidak mencampurkan daging serta daging ayam dan sayur bagi mengelakkan penyebaran bakteria.

 

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online.

Pembangunan Sekolah, utusan malaysia

Utusan Pelajar galak kemahiran berfikir

NORHAFIZAH MAT LAZIM memberi penerangan kepada pelajar mengenai

NORHAFIZAH MAT LAZIM memberi penerangan kepada pelajar mengenai kandungan Utusan Pelajar yang menggalakkan pelajar berfikir di Pusat Sumber SMK Sungai Besi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi meneruskan langganan akhbar pendidikan Utusan Pelajar pada tahun ini kerana kandungannya mendorong pelajar untuk berfikir dari aras rendah ke aras tinggi

Pengetua SMK Sungai Besi, Zainudin Mohamad berkata, pendekatan Utusan Pelajar yang menyajikan artikel diikuti de­­ngan langkah menjana pemikiran pelajar dapat membangkitkan minda eksplorasi mereka.

“Selain dapat menambah pengetahuan am, pelajar juga memperoleh manfaat dari segi akademik menggunakan sumber rujukan alternatif menerusi Utusan Pelajar,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SMK Sungai Besi yang dalam misi mencapai penarafan empat bintang Program Penjenamaan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) Kumpulan Utusan dengan sokongan Kementerian Pendidikan turut melaksanakan Modul 10 Mi­nit dalam perhimpunan rasmi sekolah.

Menurut guru sains, Nurhafizah Mat Lazim, Modul 10 Minit ini bermanfaat dalam membentuk keyakinan, kepemimpinan dan kerjasama kumpulan kerana aktivitinya berpusatkan pelajar.

“Menerusi modul ini, kita memberi peluang dan ruang kepada pelajar melaksanakan aktivi­ti di bawah bimbin­gan guru sebagai pe­­-
mudah cara,” tambah­nya.

Modul 10 Minit me­ru­pakan aktiviti ringan PAK-21 berdasarkan te­ma untuk mencetus pemikiran pelajar yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas.

Pada tahun ini, Modul 10 Minit ini dimantapkan lagi dengan memasukkan elemen pentaksiran berbanding hanya aktiviti KBAT sahaja pada tahun lalu.

Penambahbaikan juga dibuat dari segi penambahan muka surat, reka bentuk dan gaya penyampaian yang lebih menarik.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online.

Pembangunan Sekolah, Rencana, utusan malaysia

2,000 kelas pintar PAK-21 bermula sepenuhnya Mac ini

Libatkan 2,000 bilik darjah sekolah seluruh negara

MAHDZIR KHALID mengikuti kelas Pembelajaran Abad Ke-21 selepas

MAHDZIR KHALID mengikuti kelas Pembelajaran Abad Ke-21 selepas menyampaikan baucar peralatan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah semalam. MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN

PADANG TERAP 13 Jan. – Sebanyak 2,000 bilik darjah di sekolah seluruh negara akan mengaplikasikan konsep kelas pintar melalui program Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) sepenuhnya menjelang Mac ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan memperkasakan proses pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) dengan berpandukan teknologi terkini melibatkan peruntukan berjumlah RM190 juta.

Katanya, setakat ini, PAK-21 te­lah dilaksanakan di tiga buah sekolah iaitu Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Baru Enstek dan Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban di Negeri Sembilan dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 lalu memberi peruntukan untuk fasa pertama pembinaan kelas pintar PAK-21 ini di 2,000 bilik darjah dengan peruntukan RM190 juta.

“Ia akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan (SK), sekolah mene­ngah kebangsaan(SMK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Baucar Peralatan Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad Kuala Nerang di sini hari ini.

Mahdzir berkata, peruntukan berkenaan adalah untuk menaik taraf bilik darjah di sekolah terbabit dengan papan mengajar pintar, kerusi serta meja canggih dan komputer riba.

Tambah beliau, sekolah-se­­ko­lah yang terpilih untuk melaksana­kan kelas pintar berkenaan dikenal pasti oleh Jabatan Pendidi­kan negeri (JPN) masing-masing.

“Ini adalah permulaan, kita akan bahagikan peruntukan itu kepada JPN untuk laksanakan kelas pintar ini.

“Pemilihan sekolah berkenaan bergantung kepada JPN yang akan mengenalpasti sekolah-sekolah berkenaan di bandar dan luar bandar,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata, PAK-21 merupakan transformasi dalam dunia pendidikan iaitu daripada PdP secara konvensional kepada PdP yang lebih dinamik dan kreatif sesuai de­ngan perkembangan semasa.

“Semua guru perlu bersedia untuk melaksanakan PdP abad ke-21 menggunakan teknologi terkini seiring dengan perubahan pesat dunia digital. Sebagai contoh, dulu guru menggunakan papan putih tetapi kini smart board (papan putih interaktif) ditambah dengan alat peranti,” katanya.

Tambah beliau, program berkenaan mampu mempercepatkan proses PdP dalam bilik darjah.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online.

Rencana, utusan malaysia

Guru perlu manfaat pemberian tablet

BATU PAHAT 21 Jan. – Para guru yang me­nerima tablet perlu memanfaatkan peralatan itu bagi membantu kerajaan meletakkan dunia pendidikan negara seiring dengan perkembangan teknologi.

Ahli Parlimen Sri Ga­ding, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, pemberian tablet tersebut merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan rakyat dengan cara membantu guru-guru menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti.

Katanya, pemberian peranti itu juga selari dengan kehendak pembelajaran berasaskan teknologi masa kini yang bergerak laju dalam dunia pendidikan abad ke-21.

“Saya berharap para guru mengambil kesempatan daripada pemberian peranti ini untuk digunakan dalam pem­belajaran seharian mereka.

“Gunakanlah peranti ini bagi memastikan agenda pendidikan nasional mencapai matlamatnya,” katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Tablet kepada guru-guru di Batu Pahat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Md. Said Md. Daimon dan Penolong Pe­ngurus Kawalan Kredit Utusan Melayu (M) Bhd., Md. Noor Azman Musa. Ab. Aziz yang juga Timbalan Menteri Pe­ngangkutan berkata, aplikasi yang dimuatkan dalam tablet itu seperti Tutor Guru dan e-paper mampu membantu para guru merancang pengajaran harian mereka.

Sementara itu, sebanyak 49,300 tablet untuk para guru di Johor mula diagih­kan hari ini hingga 25 Januari depan dengan 6,445 daripadanya dikhaskan kepada guru di daerah ini.

Selain Batu Pahat, beberapa daerah lain turut mula mengagihkan peranti berkenaan kepada guru-guru di kawasan masing-masing antaranya di Johor Bahru, Muar, Pasir Gudang dan Mersing.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online.