Pendidikan Awal, Program

Urus sisa organik

Dr. Irnis Azura Zakaria (kanan) bersama pelajar SK. IPGM yang

Dr. Irnis Azura Zakaria (kanan) bersama pelajar SK. IPGM yang terlibat dalam program penghasilan baja kompos
Pernahkah terlintas di fikiran bahawa sampah yang kita buang setiap hari sebenarnya boleh dikitar semula untuk menghasilkan baja organik? Cuba bayangkan berapa banyak kawasan tapak pelupusan sampah yang dapat dijimatkan sekiranya amalan kitar semula sisa makanan untuk menjadikan baja kompos dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Berdasarkan data tahun 2014, rrakyat Semenanjung Malaysia dikatakan telah menghasilkan sebanyak 30,764 tan sisa pepejal (sampah) sehari dan 36,659 tan sisa pepejal sehari untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Lebih memburuk keadaan, 45.5 peratus daripada jumlah tersebut adalah sisa makanan dan hampir keseluruhan sisa makanan ini akan dihantar ke tapak pelupusan.

Ini menunjukkan bahawa, rakyat Malaysia secara sedar mahupun tidak banyak membazir makanan dengan membuang 16,680 tan makanan sehari ke dalam tong sampah dan seterusnya ke tapak pelupusan.

Perkara tersebut jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Situasi seperti ini perlu dihentikan segera dan tidak sepatutnya dibiarkan terus berlaku, biarpun kita masih hidup dalam keadaan yang cukup mewah dan belum diuji dengan kekurangan makanan serius.

Sewajarnya juga, kita mengambil peluang untuk mencipta peluang menjana kewangan melalui hasil pengkomposan bahan organik ini.

Pengkomposan merupakan satu proses pereputan atau penguraian bahan organik seperti sisa makanan dan sisa perkarangan rumah yang diuraikan menjadi humus atau dalam erti kata lainnya menjadi bahan yang mirip seakan tanah.

Pengkomposan adalah teknik semula jadi untuk kitar semula sisa organik menjadi tanah baharu yang dapat digunakan untuk penanaman bunga, sayur, landskap dan banyak lagi.

Anggaran 45.5 peratus sisa yang dibuang ke tapak pelupusan adalah daripada sisa organik dan ini menjadi lebih serius dari tahun ke tahun apabila kadar populasi penduduk negara semakin bertambah.

Justeru, pengkomposan sisa pepejal organik seperti sisa makanan adalah salah satu cara atau kaedah awal dalam pengurangan sisa organik ke tapak pelupusan sampah.

Bagi memacu pelaksanaan kaedah pengkomposan sisa organik ini dan menjadikannya amalan atau budaya dalam kalangan masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS) dengan kerjasama Solid Waste Corporation (SWCorp) Perlis menjalankan Program Penambahbaikan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal Organik di Negeri Perlis.

Program tersebut turut dibantu oleh dua orang pelatih siswazah di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (Komuniti) atau Program Pemindahan Ilmu (KTP).

Penyelaras program, Dr. Irnis Azura Zakariya berkata, program tersebut yang memberi fokus kepada pengurangan sisa makanan organik khususnya yang dihasilkan daripada premis makanan.

Ujar beliau, objektif program antara lainnya adalah memperluaskan penggunaan kitar semula dan meningkatkan tahap kesedaran pemilik premis terhadap sisa makanan yang dihasilkan di premis makanan dan pada masa sama dapat memberi pendedahan dan latihan penyediaan kompos dengan menggunakan sisa makanan yang dihasilkan di premis makanan.

“Matlamat penyelidikan ini hanya satu iaitu untuk mendidik masyarakat di negeri Perlis terutama kepada pemilik premis makanan bagi mengurangkan sisa makanan mereka dengan melakukan kaedah pengkomposan sisa makanan seterusnya membantu mengurangkan bebanan sisa di tapak pelupusan sampah di Padang Siding danTapak Pelupusan Baharu di Rimba Emas yang bakal dibuka.

“Sebagai permulaan, program ini dimulakan dengan penglibatan 20 buah premis makanan di negeri Perlis serta ke kafeteria di bawah kelolaan Unimap selaras dengan hasrat universiti itu sendiri untuk menjadikan kampus universiti sebagai Kampus Alam di bawah Projek Kelestarian Kampus.

“Di peringkat Unimap misalnya, baja-baja organik ini digunakan sebagai bahan pemangkin kepada projek tanaman pokok di sekitar kampus Unimap,” ujar beliau.

Menurut Dr. Irnis, program tersebut juga diteruskan ke sekolah-sekolah yang berminat dengan memberi fokus kepada mengurangkan sisa makanan yang terhasil di kantin sekolah.

Jelasnya, antara sekolah yang awal melaksanakan program tersebut untuk tahun ini adalah Sekolah Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Perlis dan Sekolah Kebangsaan Oran yang telah menjalankan program pengkomposan ini bagi tujuan Projek Tanaman Anggur di sekolah.

Pendedahan awal berbaloi

Program tersebut dianggap menarik kerana dapat memberi pendedahan awal kepada golongan muda. Ia dianggap berbaloi kerana merekalah yang akan mewarisi serta menjadi harapan untuk menerus dan memperkasa dasar-dasar pemuliharaan alam sekitar untuk dekad seterusnya ibarat kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Dr. Irnis Azura Zakariya berkata, daripada pelbagai program kesedaran yang dijalankan, satu organisasi yang berjaya dan mampu dijadikan contoh dalam bidang pengkomposan sisa makanan ini adalah dari Sekolah Menengah (SMK) Sanglang.

Jelasnya, ia melibatkan pelajar Pendidikan Khas Intergrasi dengan bantuan guru-guru dalam menjadikan sisa makanan daripada kantin sekolah dan juga Dewan Makan Asrama sebagai sumber bahan pengkomposan mereka.

“Dalam tempoh enam bulan yang pertama sahaja, mereka telah berjaya melupuskan hampir 300 kilogram (kg) sisa makanan yang diperoleh dan menjual hampir 200 kg baja kepada orang awam.

“Bermula dengan hanya sebuah raga, kini sekolah tersebut berjaya mengembangkan saiz penghasilan baja organik mereka kepada tiga buah tangki plastik hasil sumbangan daripada SWCorp. dan Environment Idaman Sdn. Bhd.

“Adalah sesuatu yang mengagumkan apabila kelompok pelajar ini yang dikategorikan sebagai kurang upaya mampu melaksanakan misi dan visi memulihara alam sekitar melalui pengkomposan bahan organik,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, lebih mengujakan lagi apabila kelompok pelajar tersebut juga melihat peluang dan ruang yang tidak terlihat oleh pandangan mata kasar manusia normal lainnya untuk menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti yang boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah bersama keluarga.

“Sekiranya semua rakyat Malaysia mampu mengubah minda masing-masing, nescaya kita tidak hanya akan melahirkan negara yang bersih dan terpelihara sebaliknya mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan,” katanya

 

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s