Rencana

Masalah disiplin atau lindungi hak anak-anak

Rencana ditulis oleh Hassan Mohd. Noor

SESI persekolahan 2018 memasuki minggu kedua. Menyelak kembali ming­gu pertama, pelbagai ‘ragam’ dapat dilihat sama ada murid-murid yang kali pertama me­masuki alam persekolahan atau pun ibu bapa yang ‘mele­paskan’ anak mereka ke seko­lah. Seperti biasa, orang kita yang sememangnya begitu kreatif ‘melakarkan’ pelbagai ‘peristiwa dan aksi’ ibu bapa, guru dan murid-murid pada musim persekolahan ini. Gambar beserta dialog nakal, sinis dan pelbagai lagi dicipta bagi menggambarkan suasana sesi per­sekolahan ini. Tidak kurang juga ibu bapa yang membuat tinjauan di sekolah termasuk ketika di kantin sehinggalah anak-anak menamatkan pelajaran pada hari berkenaan. Tahniah kepada ibu bapa yang begitu prihatin dan me­ngambil berat persekolahan anak-anak mereka.

Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja agar anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Di Lipis misalnya, heboh mengenai kegigihan seorang bapa yang mahu menghantar anaknya ke sekolah. Murid pra sekolah berusia lima tahun itu dibawa melintasi jambatan gantung yang uzur walaupun terdedah kepada bahaya. Tahniah kepada ibu bapa ber­kenaan yang berjaya menarik perhatian masyarakat melalui video yang tular di media sosial walaupun mengambil masa yang lama untuk dipaparkan sejak jambatan itu rosak. Begitulah kuasa media sosial yang begitu pantas mendapat reaksi. Sekurang-kurangnya ia membuka mata semua pihak me­ngenai kewajaran mendahulukan atau mempercepatkan keperluan mendesak masyarakat setempat.

Bagi mengelak salah tanggapan dan persepsi negatif, sebarang ke­lemahan yang ada perlu diperbaiki. Jadikan isu ini sebagai iktibar. Jangan biarkan sesuatu yang rosak dan uzur terbiar begitu lama sehingga terdedah kepada pelbagai risiko. Sebelum ini banyak tragedi berlaku di kawasan yang sepatutnya dijadikan kawasan larangan, contohnya lombong, tasik dan takungan buatan manusia. Sejak awal lagi, kawasan itu sepatutnya ditutup untuk kegunaan awam. Jangan jadikannya sebagai bahan arkib atau lokasi bersejarah untuk dilawati. Mungkin kawasan itu boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula sekiranya ada penerbit drama atau filem mahu menjadikannya lokasi aksi stunt. Masyarakat boleh membuat pelbagai andaian terhadap isu ini, ada pro dan kontra, positif dan negatif. Ada yang menganggap tindakan itu mahu memaparkan kesusahan, tanda protes, bermotif politik, jimat petrol dan macam-macam lagi. Itu hak masing-ma­sing untuk memberi pendapat.

Tidak mungkin semua orang mempunyai selera yang sama. Se­tiap orang mempunyai cara untuk meluah atau menyatakan sesuatu mengenai perasaan mereka asalkan mendapat perhatian dan kepuasan. Berkaitan sesi persekolahan, turut menarik perhatian, kisah seorang lelaki yang selama tiga tahun mendukung cucunya orang kurang upaya (OKU) untuk ke sekolah ke­rana dilahirkan tanpa kaki. Tahun ini, cucunya yang memasuki Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Lepan Jaya, Gua Musang mendapat kaki palsu sumbangan seorang ahli korporat dari Kuala Lumpur.

Begitulah sedikit cerita ber­kai­tan kegigihan untuk menyeko­lah­­kan anak-anak walaupun ter­­­paksa berhadapan dengan pel­ba­­gai ke­sukaran. Kanak-kanak ber­­hak men­dapat kemudahan untuk belajar dan mereka juga ber­­hak dilin­dungi daripada pelba­gai ‘ancaman’. Kepada ibu bapa ‘lepaskanlah’ anak-anak untuk ke sekolah menimba ilmu. Berilah kepercayaan dan sedikit kuasa kepada guru-guru yang diama­nahkan untuk mendidik anak-anak ini termasuk da­lam soal disiplin.Guru-guru ti­dak akan bertindak sewenang-we­­nangnya ketika me­nghukum murid atau pelajar. Se­barang tindakan yang diambil adalah bertujuan mendisiplinkan murid-murid dan membentuk mereka menjadi insan berintegriti. Amat malang apabila ada guru disiplin yang menghukum murid atau pelajar mereka terpaksa diheret ke mahkamah.

Di mana silapnya? Sebarang pertelingkahan berkaitan isu ini perlu diselesaikan di meja run­dingan. Elakkan sebarang tekanan terhadap golongan pendidik. Tekanan pelbagai pihak terhadap guru akan menyebabkan pendidik takut untuk menjalankan tanggungjawab mengajar dan mendi­dik. Kita akui sikap ibu bapa dahulu dan sekarang jauh berbeza. Begitu juga dengan sikap anak-anak. Pada masa lalu, ibu bapa menyerahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah untuk mendisiplinkan anak mereka sepanjang persekolahan. Di sekolah, gurulah yang akan mengajar dan mendidik.

Dulu anak-anak tidak berani bersuara di hadapan ibu bapa sekiranya mereka dihukum di sekolah kerana bimbang akan mendapat hukuman bonus, tetapi hari ini keadaan sudah berbeza, lebih-le­bih lagi dengan adanya media so­sial. Hukuman rotan memang dinyatakan Kementerian Pendidikan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003. Kuasa merotan berasaskan peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957. Terdapat beberapa peraturan tertentu yang perlu dipatuhi ketika menjatuhkan hukuman rotan.

Hukuman di khalayak sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang berlangsung proses pengajaran dan pem­belajaran ada­lah dilarang kerana ia boleh men­jatuhkan maruah serta me­nim­bulkan kesan negatif yang lebih besar terhadap perkemba­ngan keperibadian seorang murid.Terdapat tiga jenis kesalahan iaitu Kesalahan Berat – boleh dirotan di punggung dengan dilapik pakai­an dengan menggunakan rotan ringan; Kesalahan Sederhana – rotan di tapak tangan menggunakan rotan ringan (maksima tiga kali sebatan) dan Kesalahan Ringan – di­be­ri amaran dan kaunseling.

Terdapat juga cadangan supaya diwujudkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga bagi mempertahankan se­ba­rang tindakan yang diambil oleh guru di samping menjadi panduan tatacara kepada ibu ba­pa/penjaga ketika berurusan dengan pihak sekolah. Kesatuan Perkhidmatan Per­guruan Kebangsaan (NUTP) sedang menyediakan cadangan­ kod etika ini dengan harapan, ma­­s­yarakat dapat memberi lebih perlindungan kepada guru dalam menguruskan hal disiplin de­ngan lebih berkesan. Bukan mahu melindungi guru yang bersalah tetapi bagi menyediakan saluran yang lebih baik kepada ibu bapa menyuarakan ketidakpuasan ha­ti, selain membantu kedua-dua pi­hak mencari jalan penyelesai­an.

Berdasarkan kes-kes yang ber­laku sehingga diheret ke mah­kamah, diharapkan kod etika ini dapat memberi pencerahan kepada semua pihak. Kadang-kadang ada yang dengan sengaja mencari sebab untuk menyalahkan orang lain. Misalnya kanak-kanak juga tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak, dibimbangi tindakan me­nghukum itu akan turut menjadi kesalahan kepada guru-guru ketika mendisiplinkan anak-anak ini. Jika ini terjadi bertambah sukarlah tugas guru disiplin.

Apa pun, rujuklah Dasar Perlindungan Kanak-Kanak selaras Kon­vensyen Mengenai Hak Ka­nak-Kanak (CRC). Masyarakat ju­ga perlu sedar tanggungjawab me­reka untuk melindungi kanak-kanak. Siapa pun mereka, jangan sesekali mendedahkan anak-anak kepada sebarang bentuk ancaman yang boleh membahayakan keselamatan, nyawa dan kebajikan mereka. Kecuaian dan pengabaian yang mungkin dilihat kecil tetapi boleh bertukar menjadi satu kesalahan besar. Justeru, berhati-hatilah ketika bertindak terhadap anak-anak kerana mereka juga berhak dilindungi.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s