Rencana

Terputus hubungan bukan halangan menuntut ilmu

MURID di  SK  Pemberian Kuala Krai memerlukan jambatan baharu

MURID di SK Pemberian Kuala Krai memerlukan jambatan baharu dengan kadar segera. S2/SHIDDIEQIIN ZON

SETIAP pendidik pasti sudah memahat kemas dalam peti memori masing-masing walau angin badai apa yang menimpa, pendidikan tetap perlu disampaikan kepada murid.

 

Hatta, bencana alam seperti hujan lebat dan banjir kilat bukanlah halangan yang menoktahkan perjuangan mendidik anak bangsa bagi guru.

Hakikatnya, mereka menyedari bahawa tanggungjawab yang digalas benar-benar menuntut erti kesabaran dalam menyalurkan secebis ilmu pengetahuan.

Tinjauan S2 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian yang terletak di pedalaman Kuala Krai, Kelantan kebetulan tepat pada masanya apabila seminggu selepas sesi persekolahan 2018 bermula, sekolah itu baru boleh beroperasi sepenuhnya.

Sekolah itu terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Bharu (KB). Untuk pergi ke sana, segelintir guru perlu melalui pekan Kuala Krai yang terletak lebih 30 kilometer jaraknya dari KB.

Hanya terdapat satu jalan perhubungan untuk ke sekolah tersebut iaitu terpaksa menempuh satu jambatan kecil sepanjang 300 meter merentangi Sungai Lebir.

Infrastruktur itu akan rosak setiap kali hujan lebat akibat sisa balak yang hanyut dari hulu sungai dan penduduk akan terputus hubungan dengan dunia luar kecuali menyeberang dengan bot atau perahu tetapi berisiko disebabkan arus deras.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran, SK Pemberian, Mohammad Zailani Mhd. Husain berkata, sekolah tersebut tidak dapat beroperasi sepenuhnya setiap awal sesi persekolahan disebabkan jambatan rosak teruk selepas banjir besar pada 2014.

“Semasa hari pertama sesi persekolahan, kira-kira 10 murid terkandas kerana tidak dapat menyeberang sungai berkenaan. Malah, majoriti guru juga tidak dapat hadir ke sekolah dan terpaksa melaporkan diri di sekolah lain.

“Mujur ada guru sekolah lain di Kampung Pemberian serta guru yang tinggal di asrama sekolah ini berganding bahu mengendalikan hari pertama sesi persekolahan,” katanya ketika ditemui S2.

Sekolah tersebut mempunyai seramai 114 murid dan 16 guru bagi sesi persekolahan 2018.

Menurut Mohammad Zailani, sekolah berkenaan mendapat anugerah ‘Lonjakan Saujana’ kerana berjaya meningkatkan gred purata sekolah (GPS) pada tahun lalu.

“Kita berjaya meningkatkan GPS daripada 3.46 kepada 2.89 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 serta tiga subjek iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris berjaya mencapai kelulusan 100 peratus walaupun terletak di pedalaman dan luar bandar.

“Kejayaan ini, pastinya didorong oleh guru yang patuh dengan arahan, penekanan aspek disiplin dan kehadiran murid, kelas malam serta hubungan penduduk setempat yang sangat kukuh,” ujarnya.

Begitu pun penderitaan penduduk, guru dan pelajar di kampung tersebut sejak tiga dekad lalu bakal berubah tidak lama lagi selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk pembinaan jambatan baharu bersaiz 30 meter lebih tinggi dari jambatan asal dan dijangka siap tahun ini.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s