Pendidikan Reproduktif

Pastikan pendidikan kita bentuk rakyat berakhlak

Rencana ditulis oleh Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara

PENGGAL baharu sekolah sudah hampir sebulan. Diharap ada banyak penambahbaikan

pada 2018, manakala gejala buruk tidak berulang lagi.

Namun, masalah buli sama ada di sekolah atau institusi pendidikan tinggi sejak dulu menghantui guru, ibu bapa dan masyarakat. Masalah ini sudah lama berlaku dan mungkin terus berlaku, kecuali pihak terbabit berusaha membendungnya.

Apabila kes buli terjadi, heboh seluruh negara dan jadi bahan berita di media arus perdana atau media sosial. Perbincangan dan cadangan diberi untuk mengatasi masalah ini. Ada cadangan bernas dan patut diberi perhatian oleh pihak berkenaan. Ada juga menyalahkan pihak tertentu walaupun perbicaraan tidak dilakukan.

Jika diambil pandangan progressivisme falsafah pendidikan di Amerika Syarikat (AS) mengikut pandangan John Dewey, pendidikan adalah penghidupan dan bukan persediaan untuk penghidupan. Berbanding falsafah pendidikan tradisional essensialisme dan perennialisme yang menyatakan, pendidikan adalah persediaan untuk penghidupan.

Jika kita berpegang falsafah pendidikan progressivisme, sekolah patut menyediakan persekitaran mirip sebuah masyarakat. Ahlinya yang melakukan kesalahan perlu ditangkap dan dibicarakan. Anggaplah pengawas sebagai polis dan guru disiplin sebagai ketua pengawas. Perbicaraan dilakukan di mahkamah sekolah. Keputusan perbicaraan mesti berlandaskan bukti dan hujah serta diterima semua pihak. Apa yang berlaku di sekolah perlu dimaklumkan kepada ibu bapa dan masyarakat supaya menerima proses dilakukan dalam komuniti sekolah ini.

Jika kita berpegang kepada falsafah pendidikan essensialisme atau perennialisme, falsafah tradisional berpusatkan guru, mementingkan disiplin murid dan pembentukan adab atau akhlak. Semuanya di bawah pengawasan guru dan tindakan guru adalah betul sebab mereka berpengalaman serta menjadi rujukan.

Guru mesti mempunyai tingkah laku baik agar menjadi ikutan murid. Pembentukan akhlak bukan dibiarkan begitu sahaja dan mengharapkan murid belajar sendiri sama ada melalui kawan, guru, ibu bapa, masyarakat, pembacaan dan pengalaman dalam kehidupan.

Ajar adab

Adab atau akhlak mesti diajar. Di sekolah, Pendidikan Moral diajar kepada murid bukan Islam. Mereka belajar nilai murni untuk menjadi orang baik daripada Tahun Satu sehingga ke pengajian tinggi. Murid Islam sepatutnya mempelajari adab melalui Pendidikan Islam. Persoalannya, sejauh manakah mereka diajar akhlak melalui pelajaran Tauhid, Fekah, al-Quran, atau Hadis. Mampukah mereka menjadi insan yang baik?

Mungkin kaedah pengajaran boleh diubah, bukan kepada hafalan untuk tujuan peperiksaan, tetapi lebih kepada pemahaman dan amalan. Isu buli bukan masalah besar kepada murid, tetapi ia tetap perlu dibendung supaya tidak merebak dan menjadi bertambah buruk.

Pembentukan akhlak dan pendidikan moral penting bukan sahaja untuk mengawal buli, tetapi sebagai proses pembentukan akhlak murid, supaya boleh menjalani penghidupan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Masyarakat dan majikan memerlukan generasi berpengetahuan serta berkemahiran yang menghayati nilai murni, berbudi pekerti tinggi dan dapat menyumbang kepada kehidupan sejahtera.

Hakikatnya, pendidikan berjaya memberi pengetahuan dan kemahiran, tetapi masih mencari-cari cara terbaik memastikan murid menghayati nilai murni, nilai sosial serta pembentukan akhlak dan moral yang baik.

Kandungan peperiksaan banyak tertumpu kepada menguji pengetahuan (kognitif) dan kemahiran (psikomotor); kurang menguji atau menilai nilai murni dan sosial serta akhlak (afektif). Ini cabaran besar kepada pendidik sejak dahulu.

Di negara Barat, pendidikan karakter atau pendidikan nilai di sekolah dikatakan gagal kerana terlalu banyak program bertentangan dilaksanakan, kekurangan atau ketiadaan standard dalam pendidikan nilai dan juga bagaimana serta oleh siapa ia dilaksanakan.

Dalam masyarakat majmuk, ada pihak yang mungkin menyoal nilai siapa yang hendak diterapkan? Pendidikan karakter atau pendidikan nilai dikatakan tidak menghasilkan sebarang peningkatan dalam tingkah laku atau prestasi akademik murid.

Di Amerika Syarikat, jabatan pendidikan mendapati kebanyakan program pendidikan karakter gagal membuktikan keberkesanannya. Warga pendidik tidak harus kecewa dengan kegagalan, tetapi biar kegagalan menjadi cabaran untuk kita terus berusaha mencari cara terbaik.

Sumber diperolehi daripada Berita harian Online