Rencana, utusan malaysia

STEM pacu bidang sains

WAWASAN 2020 mengharapkan supaya ramai tenaga kerja kita pakar dalam bidang sains. - GAMBAR HIASANWAWASAN 2020 mengharapkan supaya ramai tenaga kerja kita pakar dalam bidang sains. – GAMBAR HIASAN

Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di negara ini diberi keutamaan sejak 1960-an lagi. Perubahan ke arah aliran sains berlaku perlahan-lahan dengan penubuhan sekolah asrama penuh dan sekolah aliran sains sehinggalah pada tahun 1970-an apabila pelaksanaan polisi enrolmen sains dan teknologi kebangsaan menyasarkan nisbah pelajar sains:sastera iaitu 60:40 di sekolah.

Kerajaan menyasarkan nisbah ini bagi melahirkan lebih ramai sumber manusia yang berkepakaran tinggi dalam bidang sains dan teknologi seperti mana dalam agenda keenam Wawasan 2020.

Kerajaan sedar akan keperluan sebuah negara maju memerlukan sumber manusia berlatarbelakangkan sains dan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia luar negara.

Kehendak kerajaan untuk memenuhi nisbah 60:40 aliran sains dan sastera di sekolah sejak lebih 50 tahun dahulu masih belum lagi berjaya sepenuhnya.

Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi 1967 telah menetapkan peralihan nisbah unjuran enrolmen pelajar dalam bidang sains atau teknikal kepada sastera secara beransur-ansur mulai tahun 1970 dari nisbah 45 peratus pelajar dalam bidang sains atau teknikal dan 55 peratus pelajar dalam bidang sastera kepada 60:40 mulai 1980.

Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi tempoh 2013 antara 2025 juga merancang pelbagai strategi bagi mengukuhkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi pendekatan baharu seperti memantapkan kurikulum dan menggabungkan kemahiran berfikir aras tinggi.

Penekanan kepada STEM adalah antara 100 inisiatif utama PPPM termasuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam bilik darjah, menambah masa pengajaran sains dan mempertingkat pembangunan pengetahuan serta kemahiran guru.

Sejauh mana perancangan tersebut dilaksanakan perlu dipantau dan didokumentasikan bagi mengukur pencapaiannya.

Proses mengaudit pelaksanaan dan pencapaian sangat penting bagi memastikan hasrat kerajaan mencapai sasarannya.

Misalnya di mana kita sepatutnya berada sekarang dua tahun lagi sebelum 2020.

Tambahan pula, negara menghadapi cabaran ekonomi global dan berhadapan dengan Revolusi Industri (IR) 4.0.

Mampukah Malaysia menghadapinya dengan pencapaian semasa? Mungkin dengan teknologi yang ada dan strategi yang baik rakyat Malaysia boleh berusaha bersungguh-sungguh bagi membantu mencapai matlamat kerajaan itu.

Sejauh mana kerajaan mencapai sasaran ini perlu dikira dan disemak secara terperinci.

Memandangkan kepada era ledakan teknologi maklumat dan era IR 4.0 sekarang ini pengauditan pencapaian sangat penting. Selari dengan pengauditan itu, pemantauan pelaksanaan pada peringkat sekolah, universiti dan institusi pendidikan perlu secara dekat sesuai dengan matlamat kerajaan.

Penyemakan semula perlu disegerakan kerana keperluan sesebuah negara maju mungkin berubah dari segi budaya dan gaya hidup masyarakat, pemakanan dan kesihatan serta keselamatan dan pertahanan kedaulatan negara. Maklumat semasa boleh digunakan oleh masyarakat dalam strategi mereka bersedia untuk kerjaya, menjadi usahawan dan berpendapatan tinggi.

Institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranan yang sangat penting dalam melahirkan sumber manusia berasaskan sains dan teknologi bagi memenuhi kehendak pasaran dalam bidang penyelidikan, perindustrian, pembangunan dan penyelenggaraan.

Kualiti pengajian tinggi menjadi penentu kepada imej IPT dan negara. Program yang ditawarkan mestilah mencerminkan keperluan masa hadapan negara, memantapkan asas kepada bidang sains berkaitan dan mampu menangani cabaran masa hadapan yang kompetitif dan mencabar bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi juga serantau dan global.

Peranan IPT dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan aliran sains dan teknikal di Malaysia sangatlah signifikan misalnya dalam memperkasa bidang sains dan menambah bilangan saintis dan jurutera terutama dalam aspek inovasi dan penyelidikan.

Sejauh mana IPT telah melakukan transformasi pengajian tinggi seperti yang dikehendaki kerajaan mestilah di audit segera sebelum ketinggalan jauh?

Berfikiran saintifik, berinovasi

Kalau kita lihat hasil perancangan dan pelaksanaan kerajaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) seperti penubuhan sekolah menengah sains dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sudah nampak langkah ke arah membudayakan masyarakat yang berfikiran saintifik dan berinovasi.

Apakah kita sudah mempunyai data tentang perkara ini? Di manakah silapnya sehingga matlamat Wawasan 2020 dalam STEM tidak tercapai?

Mungkin kita perlu melihat balik proses yang berlaku dan menyelesaikan isu-isu pada jurang yang ada.

Misalnya kaedah efektif dalam pengajaran pada peringkat sekolah dan universiti. Peringkat sekolah rendah mungkin memberikan tentang sains dalam kehidupan, sekolah menengah rendah (memberi kefahaman dan membangunkan minat terhadap sains), manakala pada peringkat menengah atas adalah untuk memahami sains dan meningkatkan minat dalam bidang sains untuk kerjaya.

Di universiti, fokus kepada pendidikan sains ke arah mengaplikasikan sains dalam kerjaya atau penyelesaian masalah yang boleh menguja pelajar ke arah penyelidikan dalan bidang sains teknologi dan inovasi.

Pada tahun 2010, nisbah pelajar sains: sastera ialah 48:52 dan 2014 menunjukkan nisbah 47:53 dengan hanya 29 peratus pelajar tingkatan lima memasuki bidang sains. Laporan Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 2015 menunjukkan, 21 peratus pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) layak ke aliran sains 2014. Data ini sangat membimbangkan sekiranya sesuatu tidak dilakukan.

Pelbagai perubahan dilaksanakan demi meningkatkan pencapaian STI

Namun sampai sekarang kita masih berbincang tentang pencapaiannya. Kajian terperinci diperlukan bagi melihat kekurangan yang boleh membantu mencapai sasaran.

Selama lebih 50 tahun, kita dapat melihat pandangan jauh kerajaan menerusi dasar dan tindakan yang diambil bagi menyediakan sumber manusia untuk sebuah negara maju.

Adakah setakat menceritakan pencapaian beberapa sekolah di peringkat antarabangsa dalam pertandingan atau pameran menjadi ukuran kejayaan STEM?

Sudah tentu tidak memadai walaupun pencapaian itu sebagai motivasi kepada pelajar lain di sekolah. Banyak persidangan, pertandingan dan pameran diadakan dalam kalangan sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah harian biasa, sama ada dengan inisiatif sendiri atau kerjasama dengan universiti tempatan.

Ini adalah satu langkah yang baik dan patut diteruskan. Tetapi mungkin satu tindakan menyeluruh perlu dilakukan pada peringkat sekolah dalam kalangan guru-guru dan ibu bapa.

Kita memerlukan kesedaran dan sokongan daripada ibu bapa tentang sains dan teknologi.

Kita juga mahukan guru-guru mempunyai pengetahuan, kreativiti dan kemahiran yang tinggi dalam pengajaran dan dapat menarik minat pelajar terhadap STI mengikut peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan prauniversiti.

Pendekatan dan tahap ilmu yang berbeza pada pelbagai peringkat memerlukan kemahiran guru yang berbeza-beza. Kementerian Pendidikan dan universiti tempatan boleh memainkan peranan dan bekerjasama untuk memajukan STI negara.

 

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s