Berita Harian, Perpustakaan

Van buku bantu kanak-kanak miskin Nigeria

LAGOS: Funmi Ilori pernah bermimpi membina perpustakaan terbesar di Afrika. Kini beliau memandu van yang dipenuhi dengan buku ke kawasan miskin di Lagos untuk membantu kanak-kanak menemukan perasaan cinta untuk membaca.

“Pembaca ialah apa?” tanyanya kepada kira-kira 15 remaja yang duduk di kerusi plastik dalam kelas yang diubah suai daripada lori.

“Pemimpin!” Mereka menyahut serentak.

Salah satu perpustakaan bergerak Ilori, iRead Mobile Library berhenti di sekolah rendah Bethel yang terletak di daerah kelas pekerja, Ifako di tengah-tengah Lagos.

Dalam kawasan sekolah, gelungsur dan jongkang-jongket berkarat dalam udara lembap. Guru Besarnya, Ruth Aderibigbe, berkata kira-kira 200 pelajarnya hanya memiliki sebuah buku teks.

“Buku memerlukan banyak wang,” katanya.

Apabila iRead muncul di sekolah itu dua tahun lalu dengan pilihan buku yang luas daripada buku mewarna untuk kanak-kanak hinggalah novel kanak-kanak serta beberapa judul untuk dewasa, beliau menerimanya dengan tangan terbuka.

Kanak-kanak yang terbabit dalam program itu kini sudah boleh bercakap dan mengeja dalam bahasa Inggeris dengan lebih baik,” katanya.

Di dalam van, kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 tahun memegang naskhah Half of a Yellow Sun, iaitu karya terlaris di pasaran antarabangsa oleh novelis Nigeria, Chimamanda Ngozi Adichie.

Buku itu jelas sudah banyak kali dibaca: tulang buku itu hampir-hampir tidak dapat memegang halamannya.

Adichie sebelum ini terbabit dalam kontroversi apabila wartawan Perancis melontarkan soalan kepadanya dalam kunjungannya ke Paris sama ada Nigeria memiliki kedai buku atau tidak.

“Saya fikir ia mencerminkan bagaimana orang Perancis sangat miskin sehingga anda terpaksa bertanya soalan begitu kepada saya,” balas Adichie yang menambah maksudnya adalah berkaitan sifat rasis dan pandangan kolonial Perancis kepada Afrika.

Ilori sedar akan kontroversi itu dan memahami mengapa soalan berkenaan menyinggung perasaan. Bagaimanapun, beliau melihat isu terbabit dengan luas dan mendedikasikan diri untuk menyelesaikannya.

“Perpustakaan awam berfungsi di Nigeria, sekurang-kurangnya di Lagos. Namun tidak ramai yang memaksimumkan penggunaannya.

“Kita perlu menarik pembaca baharu sejak dari awal usia. Dalam masyarakat luar bandar, ada kanak-kanak yang tidak pernah memegang buku,” katanya.

Ilori ialah bekas guru sekolah rendah yang memulakan perniagaan peminjaman buku pada 2013.

“Buku dalam bakul. Saya pergi dari pintu ke pintu,” katanya.

Buku boleh dipinjam dengan bayaran beberapa ratus naira (beberapa ringgit) tetapi daripada pengalaman itu, beliau menyedari hanya ada beberapa orang yang bertungkus-lumus dalam ekonomi seharian memiliki masa terluang untuk membaca.

Selepas 10 tahun memulakan skim ‘buku dalam bakul’, beliau mendapat idea perpustakaan bergerak dan memohon dana daripada inisiatif pembangunan kerajaan Nigeria.

Permohonan itu berjaya dan kerajaan menyalurkan 10 juta naira dengan kadar pertukaran ketika itu bersamaan AS$60,000 (RM234,000).

Dengan dana itu, beliau membeli lori dan bas mini yang kecil.

Kini dengan dana dan tajaan, beliau mampu untuk mengambil 13 pekerja, membeli 1,900 buku dan empat van.

Beliau berkunjung ke empat hingga enam sekolah setiap hari, menganjurkan bengkel membaca pada waktu petang dan memperuntukkan masa pada hujung minggu untuk kanak-kanak yang keciciran di kawasan miskin bandar dengan bantuan sukarelawan.

Van berfungsi seperti perpustakaan sebenar: kanak-kanak memilih buku untuk dibaca di rumah dan memulangkannya seminggu selepas itu dan menulis ‘ulasan’ yang diwajibkan mengenai isi kandungannya.

Sade memilih cerita pengembaraan kegemarannya meskipun dia sudah pun menghafaznya.

“Membaca adalah hobi saya. Buku memberikan idea dan membantu saya untuk lebih tahu,” katanya.

Sementara itu, Adinga memilih Bioenergy Insight, iaitu majalah mengenai tenaga yang boleh diperbaharui yang ditemui di rak buku.

“Adakah anda pasti anda akan membacanya?” tanya seorang sukarelawan. Budak lelaki itu menarik mukanya dan meletakkan majalah itu kembali, lalu memilih komik.

Tidak lama kemudian, kanak-kanak sekolah beruniform putih dan hijau dengan tali leher, kembali ke kelas dengan bangga.

Di tangan mereka, ada buku seperti Toy Story atau Goldilocks and the Three Bears.

Ilori melihat mereka dan mengakui ada sesuatu yang hilang.

“Kita perlukan lebih banyak buku kanak-kanak Afrika sekarang,” katnaya.

Memetik pandangan Adichie dalam wawancara yang diterbitkan dalam The Atlantic pada Februari tahun lalu, buku yang dibacanya ketika kecil dan juga “saya fikir benar untuk kebanyakan kanak-kanak di negara yang pernah dijajah, tidak mencerminkan realiti saya yang sebenar.” – AFP

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Advertisements
Rencana

Abai Rukun Negara jejas keharmonian

Setahun selepas usaha menjadikan Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan berlalu, pelbagai perkara kini mungkin boleh kita muhasabahkan bersama. Pelancaran kempen ini pada 23 Januari 2017 oleh sekumpulan aktivis yang komited dalam memperjuangkan perpaduan kaum, ternyata meninggalkan impak cukup besar.

Sehingga hari ini, usaha itu yang mendapat sokongan dan tentangan pelbagai pihak masih relevan untuk diperkatakan. Tentangan diberikan terhadap usaha ini turut difahami dan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan mewujudkan masyarakat yang berpecah-belah, maka pendekatan lain diambil, iaitu daripada niat awal menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan kepada memperkasakan Rukun Negara melalui kewujudan akta khas kepada falsafah kebangsaan ini.

Sehingga hari ini, usaha ini masih giat dijalankan. Kenapakah perlu kita bersungguh-sungguh menjadikan Rukun Negara sebagai simbolik perpaduan? Untuk memahaminya, pertama sekali kita perlu menghayati apa yang dicita-citakan oleh Rukun Negara dalam matlamat dan juga prinsipnya. Malangnya, kebanyakan kita hanya mengenal Rukun Negara sekadar prinsip semata-mata.

Kita sudah mengabaikan falsafah kebangsaan ini terlalu lama. Hasilnya, kita sendiri tidak tahu teks penuh Rukun Negara apatah lagi mahu menghayatinya. Pengabaian terhadap Rukun Negara menzahirkan implikasi negatif, khasnya dalam tatacara kehidupan masyarakat. Pelbagai tingkah laku negatif dan kebejatan moral berlaku kerana kita tidak berpegang teguh kepada ideologi yang dicipta khas untuk rakyat Malaysia ini.

Lihat sahaja pada awal pembukaan 2018 beberapa ketidakharmonian berlaku dalam masyarakat. Dari isu sekecil membuang sampah hingga tidak menghormati institusi beraja. Kita sedang mengalami krisis akibat pengabaian Rukun Negara dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Kes membuang kerusi dari tingkat atas pangsapuri yang menyebabkan maut, kejadian yang membuka mata kita terhadap perangai jelek rakyat Malaysia. Kisah kerusi terbang ini, membuka pekong masyarakat kota yang menjadikan perkara membuang sampah dari tingkat atas rumah sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan.

Bukan lagi jadi pegangan

Kedua, lihat pula bagaimana institusi beraja kita dijadikan bahan lawak oleh masyarakat Malaysia. Penyebaran video pemimpin yang patut rakyat hormati sedang tidur dan kemudian dijadikan bahan jenaka dalam suatu pengucapan awam, jelas menunjukkan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara sudah tidak dihormati.

Kemurkaan Raja ternyata langsung tidak mengundang rasa kesetiaan dalam kalangan masyarakat yang lain. Kita sudah tidak lagi menghayati betapa penting Raja sebagai simbol kemegahan negara ini yang menyanjung tinggi semangat Raja Berpelembagaan. Inilah kesannya akibat mengabaikan Rukun Negara.

Ketika usaha Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan dijalankan, ada segelintir pihak yang takut sekiranya, Rukun Negara wujud dalam Perlembagaan maka wujud masyarakat yang liberal dan progresif yang akan menuntut hak mereka. Sedangkan, liberal yang dimaksudkan ialah tradisi liberal dan masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dalam kehidupan.

Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang tidak menjadi pegangan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Maka mereka bertindak menghukum dengan cara sendiri. Mereka lupa bahawa negara berdaulat ini, didirikan dengan Perlembagaan yang cukup matang dan undang-undang kita bertujuan mengawal dengan sopan tingkah laku manusia. Kenapa Perlembagaan dan undang-undang diabaikan? Jawapannya, mudah kerana mereka tidak menghayati Rukun Negara dalam kehidupan mereka sebagai rakyat Malaysia.

Dakyah perkauman

Selagi kita masih bersifat menolak dan mengabaikan Rukun Negara, kita tidak akan mampu mencapai matlamat yang pertama, iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Kita masih terperangkap dengan dakyah perkauman yang menghalang untuk terus bersatu dan maju.

Selagi kita tidak menjadikan matlamat Rukun Negara yang pertama ini sebagai jalan hidup ke arah mewujudkan sebuah bangsa Malaysia bersatu, selagi itulah kita tidak akan berjaya mencapai perpaduan yang membawa kepada kesejahteraan.

Oleh itu, janganlah kita lupakan falsafah kebangsaan ini. Mungkin Rukun Negara tidak sesuai dijadikan mukadimah dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi Rukun Negara perlu diberi satu akta khas supaya ia tidak lagi diabaikan baik oleh golongan pemerintah mahupun masyarakat. Percayalah, jika Rukun Negara diamalkan dengan baik, diamalkan dengan cara mengikuti prinsipnya untuk mencapai segala matlamat Rukun Negara, Malaysia pasti akan menjadi lebih baik.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online