Rencana, utusan malaysia

Bahaya bahan lucah di Internet

ZINA beri kesan sangat buruk kepada pelaku dan anak-anak yang

ZINA beri kesan sangat buruk kepada pelaku dan anak-anak yang lahir akibat perbuatan terkutuk itu. – GAMBAR HIASAN

Hakikatnya kelucahan dalam media, sama ada Internet ataupun media elektronik dan cetak sebenarnya bukanlah perkara baharu. Sebelum kemunculan Internet, terdapat video dan filem-filem lucah diperdagang sehingga menjadikan industri perfileman lucah amat menguntungkan.

Begitu juga dalam bentuk buku, sebelumnya popularnya Internet. Sewaktu kebangkitan fahaman liberal dalam masyarakat sekitar 1970-an lahir beberapa buah novel yang menggemparkan pembaca yang dilihat bukan sahaja lucah, tetapi penuh jelek.

Keghairahan memaparkan tulisan lucah dan berbaur seks menjadi semakin meluas apabila sesetengah masyarakat mula melihat unsur-unsur tersebut merupakan asam garam kehidupan.

Hasil perubahan gaya pemikiran dan kejayaan media mempengaruhinya, kelucahan sudah dianggap tidak lagi menjijikkan, kecuali pemaparan aksi melibatkan tokoh, selebriti dan masyarakat setempat. Kalau pemaparannya bukan rakyat tempatan, masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang tidak keterlaluan.

Di Barat, ramai juga menteri terpaksa meletakkan jawatan apabila berhadapan dengan perilaku seks dengan wanita simpanan atau pelacur. Selebriti mereka yang turut terlibat dengan seks pelbagai wanita menghadapi tekanan sehingga menjadikan Tiger Wood kehilangan sumber penajaan.

Hebatnya seks sehingga menyebabkan kerjaya seseorang musnah. Lebih hebat lagi ialah hancurnya kehidupan berkeluarga dan ahli keluarga akan menanggung malu berpanjangan, kerana masyarakat lebih mudah mengingati perilaku negatif berbanding positif. Ini adalah sepadan dengan sebuah peribahasa, “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”

ELAK DEDAH AIB

Perlakuan seks tetap akan dianggap jahat dan amat memalukan. Walaupun hubungan seks itu dilakukan oleh pasangan yang sah, tetapi Islam amat melarang penganutnya mendedahkan kepada orang lain.

Namun, oleh kerana niat tidak baik, apabila pergaduhan dalam keluarga berlaku, ada pihak mula menggunakan rakaman seks atau gambar bogel untuk mengugut.

Ada menggunakan rakaman melalui telefon bimbit untuk mengugut pasangan demi mendapat imbuhan wang ringgit.

Apa yang menyedihkan, sebahagian besarnya melibatkan orang Islam sendiri. Kita mungkin akan mendasari tingkah laku sedemikian kerana berleluasanya pergaulan bebas.

Ada juga data kajian membuktikan pengetahuan agama bukanlah sesuatu yang signifikan, kerana remaja yang berpendidikan agama turut melakukan perkara sama.

GUNA KAEDAH DRASTIK

Dalam hal ini, kita harus mengambil pendekatan lebih berani dan berkesan untuk mengatasinya. Tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lazim, kerana ia sudah tidak diterima generasi muda yang semakin liberal dan bebas pemikirannya.

Apa yang kita boleh lakukan ialah mentakrifkan semula pendekatan bagi membudayakan konsep amar makruf nahi mungkar.

Usaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi daripada perspektif agama haruslah bermula daripada keluarga.

Bukan hal yang kebetulan jika dalam al-Quran ditemukan sekitar 70 ayat berbicara mengenai pentingnya institusi keluarga. Keluarga harus menjadi tonggak awal dalam membangun masyarakat dan selanjutnya bangsa yang bermoral.

Nilai-nilai moral yang sangat ditekankan dalam setiap agama harus dimulai pelaksanaannya dalam kehidupan berkeluarga.

Keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang memiliki banyak fungsi, antara yang sangat strategik adalah fungsi pendidikan dan agama.

Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai-nilai yang sudah ditanamkan dalam sesebuah keluarga.

Perlu ditegaskan bahawa pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak-anak sejak awal adalah pendidikan agama yang mengajarkan nilai-nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia bertanggungjawab dan berguna.

Bukankah ada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling berguna bagi sesamanya.”

Daripada hadis tersebut difahami bahawa sejahat-jahat manusia adalah yang mengeksploitasi sesamanya.

Apa dituntut bukanlah pendidikan agama yang hanya menekankan hal-hal bersifat peraturan formal semata-mata, sebaliknya pendidikan agama menekankan tiga aspek penting dalam diri manusia, iaitu pemikiran, jiwa dan minda sehingga dapat membangunkan moral yang kukuh dalam diri seseorang.

PENYEMPURNAAN AKHLAK

Tujuan akhir daripada semua ajaran Islam adalah menjadikan manusia itu berakhlak mulia atau berbudi luhur sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak mulia.”

Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia berakhlak mulia.

Antara penunjuk utamanya adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku keji serta kotor termasuk bahan-bahan pornografi.

Antara ciri-ciri orang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Mukmin, ayat 5.

Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin lebih penting daripada pengurusan hati.

Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah itu, manusia harus menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri daripada mendekati bahaya zina seperti pornografi.

Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (al-Isra’, ayat 32). Zina memberikan kesan sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu sendiri tetapi juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina.

LAYAN SEBAGAI RAKAN

Dalam konteks zina, Islam menekankan unsur-unsur pencegahan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (al-Isra’: 32)

Kita wajib mendisiplinkan anak-anak dengan pendekatan perhubungan. Anak remaja perlu dilayan sebagai rakan dan bukannya dalam bentuk hubungan horizontal.

Ketaatan anak akan menjadi lebih terarah apabila rasa hormat dan tautan kasih sayang dalam perhubungan disemai sepanjang masa.

Jangan hanya bermusim, ibu bapa perlu mengubah perspektif keibubapaan. Pendapat anak-anak perlu diambil kira, kerana dari situlah anak-anak merasakan dirinya dihargainya. Ibu bapa sebagai pembimbing dan bukan lagi berperanan sebagai penjaga.

Peranan penjaga penuh dengan larangan, maka kerana terlalu banyak larangan itulah anak-anak akan menjadi ‘malaikat apabila berada di rumah’ tetapi bila berkesempatan berada di luar rumah, ‘berubah menjadi syaitan yang menggerunkan’.

Ingatlah pesanan Nabi Muhamad SAW: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika dia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman,” – Riwayat Muslim.

Kalau kita benar-benar ikhlas, kita mampu atasi masalah melanda masyarakat.

Barangkali, secara keseluruhannya kita tidak mampu menyekat kebebasan Internet, namun mahu tidak mahu kita harus mampu membebaskan diri daripada bahaya yang ‘ditawarkannya’.

 

Advertisements