Gaya Hidup, Rencana

Gejala pelajar sakit mental merisaukan

Rencana oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

KUALA LUMPUR: Dua daripada 10 pelajar sekolah negara ini dikesan mengalami gejala penyakit mental yang teruk.

Gejala itu jika tidak dirawat awal boleh membawa kepada penyakit mental kronik apabila mereka dewasa termasuk kemungkinan terbabit jenayah dan gangguan kepada orang lain.

Penemuan itu diperoleh daripada hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah kendalian Kementerian Kesihatan, membabitkan 30,000 pelajar yang disaring antara tahun 2011 hingga 2015.

Gejala dihadapi golongan yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun itu termasuk kemurungan, resah, gangguan mental dan stres yang teruk.

Menerusi kajian itu, pegawai perubatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan berkunjung ke sekolah dalam tempoh berkenaan untuk melaksanakan saringan membabitkan sejumlah 6,000 pelajar setahun.

Walaupun kajian itu hanya dilakukan sehingga 2015, pakar psikiatri menyifatkan ia satu pola yang membimbangkan berkaitan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja sekolah di negara ini.

Saringan itu dilakukan sebagai persediaan untuk tindakan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa penyakit mental akan menjadi kedua tertinggi di dunia pada tahun 2020.

PAKAR Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramli Mohd Ali. – Foto Surianie Mohd Hanif

Mengulas penemuan itu, Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramli Mohd Ali, berkata contohnya, di Malaysia sekolah meletakkan isu pelajar hiperaktif dalam kategori masalah disiplin yang mana sepatutnya ia dirujuk kepada pakar psikiatri.

“Di Singapura, sudah ada program kaunseling yang berhubung terus dengan hospital mental,” katanya kepada BH.

Katanya, jumlah itu mungkin baru sebahagian kecil daripada yang sebenar, kerana menerusi perbincangan dengan guru, pakar mendapati masih ada pelajar yang tidak mendapatkan rawatan.

Penemuan itu juga selari dengan Kajian Morbidity Kesihatan Peringkat Kebangsaan (NHMS) tahun 2015 yang menunjukkan 600,000 kanak-kanak berusia lima tahun hingga 16 tahun di negara ini dikesan mengalami masalah kesihatan mental.

DUA orang daripada 10 kanak-kanak di sekolah negara ini dikesan mengalami stres, keresahan, kemurungan iaitu simptom penyakit mental yang teruk. – Foto hiasan

NHMS ialah kajian Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti masalah kesihatan biasa, keperluan kesihatan dan perbelanjaan untuk membolehkan kementerian merangka tindakan masa depan.

Dr Ramli berkata masalah mental kanak-kanak berpunca daripada faktor persekitaran, sekolah, keluarga, rakan-rakan atau faktor genetik.

“Gejala kemurungan jika tidak dirawat awal boleh membahayakan diri atau orang lain kerana pesakit akan bertindak di luar kawalan minda diri.

“Suka bersendirian dalam bilik, selera makan berkurang, sukar tidur, kerap kencing dan lain-lain adalah antara simptom awal penyakit mental,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, pesakit mental kanak-kanak, Kurang Penumpuan & Hiperaktiviti (ADHD) yang tidak dirawat pada peringkat awal juga berbahaya kepada individu terbabit dan orang lain kerana berpotensi terjebak dalam jenayah apabila dewasa.

GEJALA kemurungan jika tidak dirawat awal boleh membahayakan diri atau orang lain kerana pesakit akan bertindak di luar kawalan minda diri. – Foto hiasan

Ini kerana, katanya, sikap pesakit ADHD yang suka bergaduh, panas baran menyebabkan mereka disisihkan masyarakat sejak kanak-kanak sehingga berasa diri tidak penting, yang mendorong mereka melakukan perkara tidak baik untuk menarik perhatian.

“Pesakit ADHD biasanya mencari kelompok mereka sendiri dan melakukan aktiviti bersama seperti penagihan dadah, lumba haram, perjudian dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata satu kajian terhadap penghuni penjara pernah dilakukan mendapati sebahagian besar penjenayah mempunyai tingkah laku ADHD ketika kanak-kanak yang mana penyakit mental jenis itu paling tinggi direkodkan.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s