Masalah Pelajar, utusan malaysia

Autisme… bukan masalah psikologi

Kanak-kanak ini lebih cenderung kepada satusatu perkara sahaja.

Sebenarnya ramai kanak-kanak lambat dikesan mempunyai masalah autisme tanpa pemantauan keluarga terdekat seperti ibu bapa atau penjaga mereka. Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi kemampuan seseorang kanak-kanak dalam berkomunikasi, interaksi sosial serta tingkah laku.

Biasanya kanak-kanak autisme akan menunjukkan respon yang negatif semasa berkomunikasi dengan orang lain, suka mengasingkan diri, membuat kerja sendiri dan keadaan tidak fleksibel dengan orang lain.

Walaupun dikategorikan dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak autisme biasanya mempunyai tenaga yang sangat aktif sehingga mereka boleh berpusing-pusing atau berlari-lari tanpa rasa penat.

“Autisme bukanlah masalah berkaitan dengan psikologi tetapi digolongkan dalam OKU masalah pembelajaran,” kata Pakar Runding Psikologi, Pusat Rehabilitasi KPJ KL, Pusat Kesihatan Tawakkal, Dr. Ignatius Lee Kuan Beng.

Masalah autisme jelas Dr. Ignatius, biasanya boleh dikenal pasti seawal usia dua atau tiga tahun. Biasanya ibu bapa atau penjaga akan membawa anak mereka berusia dua atau tiga tahun ke hospital untuk mendapatkan rawatan apabila mempunyai tanda-tanda autisme.

“Kanak-kanak autisme biasanya mempunyai tanda-tanda seperti kelakuan yang stereotaip atau cenderung hanya kepada sesuatu benda atau kelakuan yang sama. Dan mereka lakukannya secara berulang-ulang.

“Secara amnya, kelakuan mereka sama dengan kanak-kanak lain kecuali mereka terlebih obses terhadap sesuatu sehingga 90 peratus selain mempunyai masalah sensori dan komunikasi,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Ignatius menambah, kanak-kanak autisme memerlukan bimbingan dan galakan meliputi tingkah laku positif dan boleh dicapai melalui lima langkah berikut.

“Pertama mereka memerlukan persekitaran insklusif bagi mempengaruhi tingkah laku di mana mereka memerlukan sokongan dan galakan daripada keluarga dan komuniti.

“Ini supaya hidup mereka lebih berkualiti dan pada masa yang sama akan mengurangkan masalah tingkah laku. Secara amnya keperluan pesakit autisme adalah sama dengan kanak-kanak lain,” kata beliau yang banyak melibatkan diri dalam penjagaan kanak-kanak autisme bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Kedua, jelas Dr. Ignatius, kanak-kanak autisme perlu mendapat pendidikan secara berterusan untuk mengawal tingkah laku kerana tingkah laku perlu diajar dan dipelajari bagi mengukuhkan kelakuan harian.

“Pendidikan akan menambah pengetahuan dan kemahiran mereka kerana kedua-duanya penting. Sebaik-baiknya kanak-kanak autisme perlu belajar lebih awal kerana segala masalah yang dihadapi perlu dilihat dari perspektif berbeza.

“Mereka juga perlu memenuhi kepuasan peribadi bermula daripada peringkat prasekolah, sekolah, universiti, kerjaya, keluarga dan masyarakat kerana pesakit autisme sangat peka dengan sebarang perubahan tetapi mereka sukar untuk meluahkan. Ini boleh menyebabkan mereka mengamuk,” katanya.

Langkah ketiga, jelas Dr. Ignatius, adalah tingkah laku ‘human’ atau insan. Oleh itu kaedah komunikasi amat penting kerana masyarakat perlu memahami kelakuan kanak-kanak autisme dan ibu bapa juga perlu berubah untuk memahami anak-anak mereka.

Keempat adalah berkaitan dengan keperluan khusus seseorang individu. Misalnya perancangan pada seluruh sistem keluarga bukan hanya ibu bapa tetapi juga adik-beradik, saudara mara serta sahabat sebagai sokongan dan galakan.

Langkah terakhir adalah penekanan bagi pencegahan iaitu campur tangan sebelum sesuatu berlaku. Seperti pendidikan awal kerana ini memerlukan kesabaran semasa mendidik mereka.

“Di sini saya menekankan pesakit autisme bukan masalah psikitri tetapi mereka dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran.

“Tetapi jangan salah sangka kerana ada antara mereka yang pintar atau genius kerana mereka biasanya hanya fokus kepada sesuatu seperti lukisan, muzik atau matematik”, katanya.

Dr. Ignatius berkata, proses pembelajaran secara berterusan amat penting dan tidak boleh berhenti kerana mereka sentiasa memerlukan sokongan, perubahan gaya hidup dan kualiti hidup.

“Mereka memerlukan keyakinan diri dari awal, padanan kerja yang sesuai, keazaman diri dan kebahagiaan. Mereka perlu diberikan kebebasan untuk memilih tempat tinggal, pekerjaan, masa lapang berkualiti, integrasi dengan komuniti, ambil bahagian dalam komuniti dan gaya hidup.

“Ibu bapa adalah guru terbaik dan rumah adalah sekolah terbaik untuk anak-anak ini,” katanya.

Dr. Ignatius berkata, ibu bapa perlu memahami jika mereka tidak berubah kita perlu berubah untuk mereka.

Simptom Autisme

Kanak-kanak yang mengalami autisme mempunyai rupa bentuk fizikal sama seperti kanak-kanak normal lain. Hal ini menyukarkan untuk dikenal pasti kecuali ibu bapa peka akan simptom-simptom yang ditunjukkan secara konsisten oleh anak mereka. Setiap penghidap autisme memiliki simptom berbeza antara satu sama lain.

Antara simptom-simptom autisme ialah:

– Tidak menunjukkan ‘eye contact’.

– Tidak bertindak balas terhadap senyuman.

– Mengamuk keterlaluan tanpa sebab hingga mencederakan diri seperti menghantukkan kepala ke dinding.

– Tidak menunjukkan minat untuk berkawan dan bermain dengan kanak-kanak lain, malah selesa bermain sendiri.

– Sering menyebut sesuatu perkataan secara berulang-ulang dan kerap melentikkan badan seolah-olah mengelak apabila dipeluk.

– Terlalu sensitif dan mempunyai minat pelik kepada sesuatu seperti cahaya, bunyi atau pergerakan

– Mereka sering kali menunjukkan obses kepada sesuatu perkara seperti permainan tertentu sahaja.

– Gemar mengibarkan tangan dan memusingkan badan setempat. Kanak-kanak berusia 18 bulan ke atas lebih suka menggunakan isyarat berbanding perkataan.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s