Berita Harian, Rencana

Reformasi segera industri buku Malaysia

Industri buku mempunyai hubungan sangat rapat dengan amalan membaca. Amalan membaca yang sihat dan dirangsang suasana positif, akan menyemarakkan industri ini. Apakah amalan membaca sihat di negara ini? Kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan rakyat Malaysia membaca 15 judul buku setahun.

Mungkin angka itu kecil sehingga NOP World Cultural Score Index tidak dapat mengesan jumlah masa rakyat Malaysia membaca dalam masa seminggu. Cuba lihat jumlah membaca dalam tempoh sama lima negara tertinggi, iaitu India sebanyak 10.42 jam; Thailand (9.24 jam); China (8 jam); Filipina (7.36 jam) dan Mesir (7.3 jam). Satu kajian lain menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan masa tidak kurang 20 jam seminggu di media sosial.

Apabila melihat angka penerbitan buku Malaysia pula, apakah jumlah penerbitan baharu positif? Jumlah penerbitan baharu pada 2017 sebanyak 17,213 judul. Ini bermakna terbitan 2017 turun sebanyak 2,379 judul berbanding 19,592 judul pada 2016.

Bagaimana perbandingan terbitan Malaysia dengan negara lain? Pada 2015, jumlah terbitan judul baharu di lima negara tertinggi ialah China (470,000); Amerika Syarikat (338,990); United Kingdom (173,000); Perancis (106,760) dan Jerman (89,510), manakala dua negara Asia, iaitu Jepun mencatatkan 76,450 serta Korea (45,210). Hubungan antara majunya industri buku dan negara bukanlah kebetulan.

Tahun 2017 menunjukkan peningkatan pasaran buku hampir di seluruh dunia. Malah jualan buku cetak terus meningkat berbanding e-buku kecuali di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia. Nisbah buku bercetak dan e-buku di tiga negara itu sekitar 70:30, manakala negara lain menyaksikan buku cetak masih mendominasi.

Berlainan pula situasi di negara ini dengan output buku terus jatuh. Kajian Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menunjukkan output buku pada 2017 hanya RM 800 juta sahaja.

Malaysia juga semakin ketinggalan berbanding Indonesia. Indonesia semakin giat menjual terbitannya di luar negara hasil dorongan kerajaan terutama Badan Ekonomi Kreatif Indonesia (BEKRAF) dan Komite Buku Nasional Indonesia.

BEKRAF membantu pendanaan untuk penyertaan penerbit buku Indonesia ke pelbagai pesta buku di Frankfurt, London, Beijing, Sharjah dan Bologna, malah penyertaan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018. Pada 2015 pula, kerajaan Indonesia memberikan pendanaan besar untuk menjadikan negara itu sebagai Negara Tamu di Pesta Buku Frankfurt, iaitu pesta buku terulung di dunia.

Melainkan Pesta Buku Frankfurt yang diuruskan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan pembiayaan Kementerian Pendidikan, pelbagai pesta buku dagangan perlu didanai sendiri penggiat industri.

Hayat industri buku Malaysia

Industri buku tanah air lazimnya mempunyai dua talian hayat. Pertama, belian pembaca sama ada kedai dan pesta buku atau dalam talian. Kedua, belian pelbagai perpustakaan dan peruntukan kerajaan. Selain itu, melalui 2012 ada peruntukan Baucer Buku untuk pelajar IPT.

Mutakhir ini, industri buku dalam keadaan suram. Pelbagai faktor menyebabkan pasaran lemah dan minat membeli buku semakin menurun. Kalau dulu cetakan pertama penerbit mungkin sebanyak 3,000 naskhah, kemudian jatuh kepada 1,500 naskhah.

Kini penerbit sama ada sangat berhati-hati memilih judul penerbitan atau mencetak dengan jumlah kecil, iaitu mungkin 500 judul bagi cetakan pertama. Ini bermakna, buku yang bagus dan diperlukan masyarakat tidak lagi diterbitkan kalau pasarannya sangat kecil. Talian hayat industri buku sudah hilang.

Beberapa tahun kebelakangan terutama 2016 dan 2017, pembelian oleh PNM, perpustakaan awam, pusat sumber universiti dan institusi pendidikan, KEMAS dan Bahagian Teknologi Pendidikan, sama ada sangat kecil atau hampir tiada.

Dalam konteks PNM yang pernah berbelanja sehingga RM40 juta untuk membeli buku, hanya memperuntukkan RM5 juta pada 2015 dan RM2 juta (2016 dan 2017).

Pengenalan baucer buku langkah popular yang merosakkan pertumbuhan secara organik industri buku. Industri buku berkembang secara luar biasa ketika baucer buku bercetak masih digunakan. Mulai 2016, baucer buku menjadi kad debit yang memungkinkan penerima boleh berbelanja tanpa perlu membeli buku.

Semakan oleh industri mendapati hanya 2 peratus daripada peruntukan RM300 juta dibelanjakan untuk membeli buku pada 2017. Walaupun Kementerian Pendidikan Tinggi dipersembahkan dengan fakta ini dan kejatuhan industri buku, bekas menterinya masih berkeras mahu melanjutkan penggunaan kad debit untuk tahun ini.

Gabungan faktor antara kemampuan belian buku rendah dan hilangnya pelbagai peruntukan membeli buku serta baucer buku menyebabkan industri buku hampir lumpuh. Impaknya banyak pemain industri buku terpaksa gulung tikar yang menyebabkan ramai hilang pekerjaan.

Kesan jangka panjang yang lebih besar ialah negara semakin kurang judul baharu untuk bacaan rakyat Malaysia. Kita semakin hilang pembaca dan hilang penulis.

Pada waktu kerajaan baharu mahu melakukan reformasi dalam pelbagai aspek, reformasi industri buku yang paling perlu diutamakan. Kembalikanlah pembaca dan penulis serta kempen membaca perdana perlu dijana semula.

Kempen membaca berkesan seharusnya diangkat dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sangat wajar diangkat semula sebagai ikon membaca rakyat Malaysia untuk membina gelombang membaca. Kempen bersungguh-sungguh perlu membabitkan semua kementerian, jabatan, agensi dan industri buku.

Perlu kesedaran

Lapisan kesedaran untuk membaca perlu didasari dengan lantai yang kuat, iaitu buku. Justeru PNM, perpustakaan negeri dan desa, institusi, kementerian, jabatan, universiti terutama universiti awam (UA) serta agensi perlu diisi secukupnya dengan pelbagai buku terutama terbitan Malaysia dan terbitan terbaik luar negara. Tentulah ini memerlukan pendanaan secukup dan sewajarnya.

Industri buku akan menjadi lebih produktif jika ada suasana sihat. Selain suntikan vitamin berupa peruntukan membeli buku, pelepasan cukai RM1,000 untuk membeli buku sebaiknya dikembalikan. Pada masa sama dorongan kepada industri dapat dibuat supaya karya diterbitkan dapat dibangunkan untuk pasaran eksport kandungan.

Ini seharusnya awal-awal boleh dilakukan jika agensi yang ditubuhkan sebagai nukleus pembangunan industri buku membuat reformasi pengurusan dan hal tujunya bukannya hanya membuat kajian rintis tentang industri buku di serata dunia.

Reformasi industri buku ialah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan pemain industri. Reformasi industri buku bukan semata-mata bersifat dagangan tetapi ibarat simen dan pasir untuk menguatkan tembok yang dibangunkan. Tiada pembaca tanpa buku. Tiada buku tanpa penerbit.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s