Rencana

Pelan tindakan pendidikan lemah, bukan dasar

Artikel ditulis oleh Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong

 

Dasar pendidikan negara memiliki asas yang kuat sebagai dasar baik dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. – Gambar hiasan

 

Terdapat banyak sekali permintaan daripada khalayak kepada Menteri Pendidikan baharu untuk merombak sistem pendidikan negara agar lebih bermutu.

Sesungguhnya ia tidak perlu pun dirombak kerana mempunyai asas yang kuat sebagai dasar baik dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), sama ada untuk sekolah (2013-2025), mahupun pendidikan tinggi (2015-2025).

Sebenarnya yang perlu diberikan perhatian dalam usaha peningkatan mutu ini ialah penyelenggaran terhadap langkah pelaksanaan yang ikut memerlukan penguatkuasaan.

Sehubungan gesaan yang bermula daripada peri pentingnya kelakuan baik pelajar sehinggalah tuntutan pemulihan citra sekolah kebangsaan sebagai maruah sistem pendidikan negara, semuanya sebenarnya sudah pun terpasak kukuh dalam PPPM untuk sekolah.

Begitu juga dengan hal mutu graduan dan ahli akademik serta kedudukan universiti kita di persada dunia, yang semuanya telah digarap dengan baik dalam PPPM Pendidikan Tinggi.

Dalam proses penyelenggaraan ini, tidak dapat dinafikan masih banyak yang perlu diusahakan segera dan ia hendaklah dilakukan berperingkat-peringkat dengan kelompok pelajar baharu sahaja.

Ini penting agar pelajar lama tidak sesekali menjadi mangsa kepada pelaksanaan langkah baharu di tengah-tengah kaedah pembelajaran yang terdahulu.

Beberapa pihak berkepentingan juga mahukan penekanan kerohanian, penaakulan tinggi dan analisis saintifik dimasukkan ke dalam kurikulum sebagai dasar pendidikan, seolah-olah ia tiada langsung di dalamnya.

Dasar di landasan betul

Situasi itu sebenarnya memperlihatkan betapa alpanya mereka, apatah lagi masyarakat umum mengenai sistem pendidikan negara yang sebenarnya berada pada landasan betul, dari segi dasarnya.

Sehubungan ini, penekanan kerohanian yang didakwa kurang diberi perhatian telah ditangani melalui salah satu daripada enam aspirasi pelajar.

Untuk penaakulan tinggi yang dituduh tiada, ia sudah digarap oleh KBAT, iaitu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Bagi analisis saintifik yang didesak itu, STEM iaitu pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, adalah saluran terbarunya.

Dengan ini, tidak timbul sama sekali persoalan sistem pendidikan kita tidak mangkus dan perlu dirombak, khususnya pada dasarnya.

Dasar adalah prinsip yang ditetapkan sebagai peraturan. Ia perlu diikuti melalui pelbagai pelan tindakan untuk tujuan pelaksanaan bestari yang di dalamnya memerlukan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Ketidakberkesanan dasar pendidikan kita rata-ratanya terletak pada pelan tindakan yang lemah ataupun tiada langsung.

Sehubungan pemerkasaan sekolah kebangsaan agar menjadi pilihan popular semula, seperti yang dicatatkan dalam PPPM Sekolah, nampaknya ini tidak pun diusahakan segigih yang sepatutnya.

Sekolah kebangsaan yang dihasratkan mahu dijadikan gah semula pada Gelombang Tiga (2021-2025) dalam pelaksanaan PPPM Sekolah, sepatutnya sudah pun memperlihatkan perkembangan awal yang positif, setelah diusahakan sejak 2013 lagi.

Namun, seperti yang dapat diamati umum, sekolah kebangsaan masih berada pada takuk lama, malah merosot lagi akibat terus dipersepsikan sebagai bermutu rendah dari pelbagai segi.

Dasar bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan yang disarankan dalam Laporan Pendidikan Razak 1956 dan kemudiannya diangkat dalam Akta Pendidikan Negara 1961 dan 1996, sebagai antara matlamat utama sistem pendidikan negara, juga didapati gagal menyatukan anak bangsa daripada pelbagai etnik melalui bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Polarisasi etnik

Buktinya ialah polarisasi etnik yang bukan sahaja berleluasa dan ketara sekali, tetapi kian menjadi-jadi di sekolah, berterusan di institusi pendidikan tinggi pula dan akhirnya mantap di tempat kerja.

Kegagalan ini sudah tentu mempunyai puncanya. Antaranya adalah pengasingan etnik yang kita galakkan pada usia yang muda, di TADIKA dan sekolah rendah lagi akibat membenarkan wujudnya pelbagai jenis aliran persekolahan.

Hasrat untuk menyatukan pelajar apabila berada di sekolah menengah setelah terpisah-pisah pada peringkat persekolahan sebelumnya, rata-ratanya gagal.

Ini antaranya disebabkan buruk sangka, stereotaip dan salah konsep yang terbina terhadap etnik lain didapati menebal sekali, setelah berada di dalam aliran persekolahan yang tidak sama.

Untuk memperbaiki dua keadaan ini dan lain-lain, bukan dasarnya dirombak untuk mengembalikan sekolah aliran bahasa Inggeris bagi meningkatkan mutu dan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

Yang diperlukan ialah penyelenggaraan bersungguh-sungguh dibuat mengikut langkah pelaksanaan yang disusun rapi, sekali gus memerlukan penguatkuasaan yang tegas.

Inilah sebenarnya kelemahan dalam sistem pendidikan negara yang tidak sesekali memerlukan rombakan dasar, tetapi hanya langkah penyelenggaraan yang baik.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s