Uncategorized

Merencana kecemerlangan pendidikan Sarawak

Rencana oleh Mohammad Fazril Saleh

MESTR wajar berpandukan data dan kajian

BANGUNAN baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong, Sebuyau, BANGUNAN baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong, Sebuyau, Simunjan Sarawak yang dibina dalam masa lima minggu menggunakan teknologi IBS.

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak menyatakan kepedulian kami terhadap usaha membangun pendidikan yang lebih berkualiti khususnya di Negeri Sarawak.

Kami merujuk laporan berita muka depan akhbar The Borneo Post bertarikh 27 Ogos 2018 berjudul “Inadequate Chance to Improve: Minister Says Teachers, Headmasters and Principals Not Given Continuous Courses to Enhance Their Capability” .

Akhbar tersebut menyiarkan laporan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) Datuk Seri Michael Manyin Jawong mendakwa Kementerian Pendidikan bertindak tidak adil kepada warga pendidik termasuk Guru Besar dan Pengetua kerana tidak memberikan latihan dan kursus secara berterusan, tetapi mengharapkan keputusan cemerlang daripada setiap sekolah.

Beliau berkata demikian di hadapan 60 orang guru besar yang mengikuti Bengkel Memperkasa Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah Rendah Negeri Sarawak, bertempat di Institut Aminuddin Baki cawangan Sarawak, Kuching pada 26 Ogos yang lalu.

Malah lebih mengejutkan, beliau juga dilaporkan berkata bahawa ada dalam kalangan guru yang telah lama berkhidmat tetapi tidak pernah mengikuti sebarang kursus. Ternyata ini suatu pendedahan yang sangat mengejutkan, kerana mengikut keputusan mesyuarat profesional Kementerian Pelajaran bilangan 7/2007, guru-guru di Malaysia diberikan latihan dalam perkhidmatan yang mencukupi bilangannya iaitu tujuh kali setahun berasaskan sekolah.

Berhati-hati

Oleh yang demikian, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, Michael perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataannya agar tidak disalahtafsirkan.

Jika merujuk kepada Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025), seramai 441,329 orang pegawai perkhidmatan pendidikan telah dinilai menggunakan instrumen Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

Kementerian Pendidikan juga telah memberikan fokus kepada pembangunan kepakaran khusus untuk pendidikan merangkumi empat bidang utama iaitu ‘pembangunan dasar dan kurikulum pendidikan’, ‘pentaksiran’, ‘kaunseling dan psikologi’ dan ‘kejurulatihan utama pendidikan’.

Di samping itu, dalam konteks menghakupaya kepemimpinan sekolah, sebanyak 1,572 orang peserta telah mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NQPL) dengan kadar peratusan 79 peratus memperoleh keputusan cemerlang (PNGK 3.75 – 4.0). Selain itu, seramai 1,440 orang pemimpin sekolah telah mengikuti Program ‘Residency’ dan ‘Immersion’ (PRIme).

Ternyata, Kementerian Pendidikan sebenarnya banyak berusaha ke arah meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia termasuk di Negeri Sarawak. Pelan yang lengkap dengan mekanisme pemerolehan dan keberhasilan, serta penilaian berterusan terhadap pelan dilengkapi data dan statistik dilakukan secara konsisten oleh pihak kementerian. Dokumen-dokumen pelan strategi pendidikan dan laporan berkaitan diumumkan kepada khalayak dan dapat diakses secara percuma oleh semua termasuk orang awam.

Justeru, MESTR sebenarnya perlu belajar daripada kementerian untuk memastikan segala usaha MESTR dalam pembangunan pendidikan di Sarawak berlaku dengan profesional dan ia dapat dinilai secara objektif.

Walaupun begitu, sebagai kelompok ‘masyarakat peduli pendidikan’, ABIM Negeri Sarawak perlu mengucapkan tahniah kepada Michael dan kementeriannya kerana peduli dengan aspek pendidikan dan telah melaburkan sehingga RM24 juta untuk penganjuran siri-siri latihan dan kursus bagi memantapkan sektor pendidikan di Sarawak.

Fakta bukan telahan

Namun begitu, MESTR perlu bijak dalam merencana dan mengatur program-program pemantapan pendidikan di Sarawak. Segala perancangan mesti dilaksanakan dengan bersandarkan kepada data dan fakta, bukan dengan telahan, pemerhatian rambang dan agakan semata-mata.

Keprihatinan kami ini adalah berasas memandangkan pelaburan peruntukan yang banyak dalam sektor pendidikan menuntut agar keberhasilan diperoleh, setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan. Jika mahu melihat peningkatan dalam prestasi pendidikan negeri ini, maka ia harus diperhatikan secara luas dan menyeluruh.

“SEJAHTERAKAN SARAWAK”

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s