Uncategorized

Kreativiti bapa, anak hias basikal sambut Hari Kebangsaan buahkan hasil

Kreativiti bapa, anak hias basikal sambut Hari Kebangsaan buahkan hasil

KOTA BHARU: Demi menyemai semangat patriotik, seorang ayah sanggup meluangkan masa dan tenaga menghias basikal anaknya bagi menyambut Hari Kebangsaan tahun ini.

Sapian Daud, 32, berkata beliau mengambil cuti sejak beberapa hari lalu bagi memastikan basikal anaknya, Mohd Darwish Adrian, 8, siap dihias sebelum menyertai pertandingan basikal merdeka di sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Redang di sini, semalam.

“Mohd Darwish Adrian mahu sertai pertandingan basikal merdeka di sekolahnya sejak tahun lepas lagi tetapi saya tidak izinkan kerana dia belum betul-betul pandai kayuh basikal. Tahun ini saya tunaikan hasratnya. Tidak sangka dia menjadi juara tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya beliau membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli 61 bendera pelbagai saiz bersempena 61 tahun negara mencapai kemerdekaan bagi menghias basikal anak bongsunya itu.

Safian dan anaknya masing-masing berkongsi idea bagi menampilkan kreativiti menarik serta kelainan bagi menyaingi 40 peserta lain, termasuk membalut rim basikal dengan bendera.

“Kami berdua tidur agak lewat bagi membuat persiapan akhir. Saya dapat lihat Mohd Darwish Adrian begitu bersemangat seperti tidak sabar untuk membawa basikalnya ke sekolah pagi tadi,” katanya.

Sebagai bapa Safian berkata beliau bangga melihat kesungguhan yang ditunjukkan anaknya, apatah lagi hasil kreativiti mereka membuahkan hasil.

Katanya, bagaimanapun menang atau kalah bukan tujuan utama penyertaan mereka tetapi apa yang lebih penting beliau mahu menyemai rasa cintakan negara kepada anaknya sejak kecil.

Sapian menunjukkan kreativiti menghias basikal anaknya dengan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotik yang tinggi sempena sambutan Bulan Kebangsaan Ke-61 di Kampung Banggol. --fotoBERNAMA

Sapian menunjukkan kreativiti menghias basikal anaknya dengan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotik yang tinggi sempena sambutan Bulan Kebangsaan Ke-61 di Kampung Banggol. –fotoBERNAMA

Selain menghias basikal beliau turut menjahit sepasang baju dan songkok menggunakan bendera untuk anaknya.

“Sebagai bapa saya mahu anak saya memahami dan menghayati erti kemerdekaan. Saya mahu dia belajar menghargai keamanan yang dikecapi selama ini,” katanya.

Katanya basikal yang dihias bendera itu akan dikayuh anaknya mengelilingi kampung mereka di Kampung Banggol di sini, pada 31 Ogos ini.

Sumber diperolehi daripada Astro Awani Online.

Advertisements