Uncategorized

Pendidikan bersepadu pupuk jiwa merdeka

Artikel ditulis oleh Dr. Hayati Ismail

KONTINJEN pembawa Jalur Gemilang pada Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya.KONTINJEN pembawa Jalur Gemilang pada Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya.

SAYA adalah antara ribuan warga Malaysia yang membanjiri Putrajaya untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke 61.  Ini bukan kali pertama saya menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan; sebelum ini pernah juga ke Dataran Merdeka pada 31 Ogos atas urusan tugas rasmi.

Namun kali ini perasaannya berbeza.  Keterujaan untuk hadir sendiri sambutan Hari Kemerdekaan bermula sejak bulan Mei lagi dengan terbentuknya kabinet kerajaan yang baharu yang menyaksikan barisan yang begitu mencerminkan kepelbagaian etnik di negara ini.  Untuk pertama kalinya dalam jangkamasa kehidupan saya, saya merasakan inilah barisan kabinet yang memperlihatkan identiti Malaysia yang pelbagai bangsa, agama, bahasa, budaya – pelbagai segalanya, namun mampu bersatu, hidup bersama-sama di bawah lembayung Jalur Gemilang dengan aman dan harmoni.   Sekiranya ada hayat Bapa Kemerdekaan negara pada hari ini, pastinya beliau akan merasa bangga, dan tenang melihat hasil perjuangan beliau dan rakan seangkatan.

Perasaan tidak sabar untuk menyambut Hari Kemerdekaan ini ditambah lagi dengan keterlibatan dua orang anak saya di sekolah menengah dalam perbarisan Hari Kebangsaan ke 61 ini.  Jujurnya anak-anak ini bukanlah jenis yang lasak.  Mereka sama sebagaimana remaja bandar yang lain, lebih gemar hidup dengan gajet dan menganggap aktiviti luar adalah berjalan-jalan di kompleks membeli belah.  Namun saya agak terkejut, tetapi kagum juga, kerana anak-anak saya ini teruja kerana terpilih menyertai perbarisan Hari Kebangsaan, walaupun mereka tahu yang mereka perlu berlatih berterusan di bawah sinar matahari terik atau hujan yang tidak menentu datangnya.  Satu-satunya anak perempuan yang bongsu, memang sifatnya manja dengan keluarga dan abangnya, pelajar Tingkatan Empat yang sumber maklumatnya hanya daripada telefon bimbit dan tablet, dalam hati saya, bukanlah calon yang paling sesuai untuk menyertai perbarisan; tetapi sebagai ibu, saya percaya inilah peluang untuk mereka menjadi lebih berdisiplin dan aktif.

Tanggal 31 Ogos 2018, saya dan keluarga membawa dua orang rakan warga Britain berjalan kaki lebih dua kilometer untuk menyaksikan sendiri sambutan Hari Kemerdekaan kali ke 61.  Perasaan bangga yang memang sudahpun wujud dalam diri ini ditambah lagi dengan pujian daripada rakan tersebut yang kagum apabila melihat rakyat Malaysia sanggup begitu jauh bertali arus berjalan sambil mengibarkan bendera untuk ke lokasi sambutan.  Begitu sebak pula rasa hati apabila mendengar seorang anak kecil berbangsa Cina di hadapan saya memberitahu ibu dan ayahnya dia mahu bersalam dengan YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.  Dan terharu juga apabila melihat sekumpulan remaja India memakai headband Sayangi Malaysiaku dan membalut Jalur Gemilang pada badan masing-masing.  Dan memang hampir mengalir air mata apabila melihat sepanjang sambutan kali ini, rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, tanpa mengenali satu sama lain, bertegur sapa dengan riang gembira mengambil gambar bersama-sama ahli pasukan beruniform yang baharu saja mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan ke 61.

Semangat cintakan negara memang nampak terserlah kali ini daripada riak wajah dan dizahirkan melalui tingkah laku yang mencerminkan warga Malaysia yang bersatu.  Sifat ini bukan sesuatu yang dibuat-buat; ia hanya dapat dipupuk dan dizahirkan dalam perbuatan kita melalui pendidikan – tidak kira pendidikan awal yang diberikan oleh keluarga, pendidikan formal yang diterima di sekolah, pendidikan yang terancang oleh pihak berkuasa melalui kempen atau media, ataupun pendidikan secara tidak formal yang diterapkan oleh masyarakat sekeliling.  Hanya melalui pendidikan secara bersepadu maka aspirasi negara yang utama iaitu perpaduan dapat dicapai.

Hari ini Malaysia boleh berbangga kerana bukan sahaja kita telah dapat mengecap perpaduan, malah integrasi nasional juga telah menjadi satu realiti.  Kita telah berjaya merapatkan masyarakat berbilang kaum dan pelbagai negeri dalam satu proses dinamik, berterusan dan bersepadu melalui pendidikan.  Proses asimilasi yang berlaku dalam 61 tahun negara mengecap kemerdekaan, dapat dilihat hasilnya kini dalam pemikiran, kebudayaan dan cara hidup.  Mee mamak dan teh tarik, contohnya, yang menjadi makanan dan minuman kegemaran rakyat negara ini, adalah gabungan bahan dan citarasa bangsa Melayu, India dan Cina yang menjadikannya unik kepada Malaysia.  Ramai diantara individu di negara ini yang berdarah campuran sehingga masyarakat sudahpun menerima terma seperti ‘Chindian’, yang merujuk kepada mereka yang mempunyai ibu bapa berbangsa Cina dan India.  Semua ini menjadi  identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Sebagaimana makanan dan budaya mengaburi garis sempadan geografi dan bangsa, seharusnya pendidikan juga merentasi pelbagai pihak dan golongan.  Pendidikan bukanlah peranan sekolah semata-mata, malah menjadi tanggung jawab semua pihak – keluarga, masyarakat setempat, pihak berkuasa dan sektor swasta, sebagaimana yang dianjurkan melalui Anjakan 9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  Setelah perpaduan dapat dicapai, satu lagi isu besar dalam kalangan rakyat negara ini adalah kebersihan, dan pendidikan bersepadu adalah penyelesaian terbaik kepada isu kebersihan ini demi mendidik masyarakat Malaysia agar mempunyai minda dan tingkah laku kelas pertama berjiwa merdeka.

Sumber daripada Utusan Online

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s