Uncategorized

Hari Malaysia perkukuh perpaduan

Rencana oleh Mohd Azrone Sarabatin

SEBANYAK 60 kontinjen mengambil bahagian pada perbarisan sempena Sambutan Hari Malaysia peringkat Perbandaran Tawau. Kelihatan Pelajar TADIKA Jabatan Perpaduan Negara dan Integeriti Nasional Tawau turut mengambil bahagian dalam perarakan seawal 6.30 pagi tadi. Walaupun mereka belum mengetahui erti kemerdekaan, namun mereka seronok menyertai perbarisan. – Foto BERNAMA

 

KUALA LUMPUR: Hari Malaysia Ke-55 yang disambut ESOK menjadi PENTAS terpenting untuk mengukuhkan integrasi nasional antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak di bawah kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH).

Bekas pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma, berkata perkara remeh yang menghalang perpaduan seharusnya dikikis dan diperbaiki kerajaan.

Sebagai contoh, katanya, istilah ‘lain-lain’ untuk merujuk kaum selain Melayu, Cina dan India; seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta pertanyaan kepada penduduk Sabah dan Sarawak `Bila sampai Malaysia?’ sepatutnya tidak lagi berlaku.

Katanya, istilah ‘lain-lain’ di bawah segmen kaum dalam sistem aplikasi dalam talian dan borang rasmi kerajaan menimbulkan ketidakpuasan hati kerana dilihat menafikan hak kaum dari dua negeri di pulau Borneo itu, sebagai penduduk asal negara ini.

Beliau berkata, kaum dari Sabah dan Sarawak seperti dipinggirkan dan berada dalam kelompok ‘lain-lain’ yang sama taraf dengan pendatang dari Filipina, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

“Sepatutnya ruangan kaum dimansuhkan dan digantikan dengan bangsa Malaysia bagi memastikan tiada kaum yang tersisih dan diketepikan sehingga dianggap bangsa lain.

BEKAS pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma. – Foto Rohanis Shukri

“Saya percaya kerajaan PH yang terbentuk hasil sokongan masyarakat berbilang kaum dan agama akan memandang serius istilah kaum ‘lain-lain’ dan akan memansuhkannya, tidak lama lagi,” katanya kepada NSTP.

Sambutan Hari Malaysia Ke-55 peringkat kebangsaan akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, esok.

Perisytiharan pembentukan Malaysia dibacakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963 serta sambutan sama turut diadakan di Padang Merdeka, Jesselton, iaitu sekarang Kota Kinabalu dan Kuching.

Dalam pada itu, Madeline yang juga pengkaji ekonomi pembangunan berkata, jurang infrastruktur dan ekonomi rakyat Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung masih jauh dan kerajaan perlu berusaha merapatkannya, khususnya dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Mengenai perpaduan kaum, beliau berkata, Sabah dan Sarawak amat unik kerana perbezaan agama dan kaum tidak menggugat keharmonian dan ia perlu dipertahankan sebagai identiti Malaysia.

“Dalam keluarga saya sendiri, ada Islam dan bukan Islam, namun kami hidup harmoni. Ini perkara biasa di Sabah dan Sarawak.

“Kita masing-masing ada kepercayaan dan jangan sesekali mempersendakan pegangan agama serta adat kaum lain kerana sikap keji itu dibimbangi menggugat perpaduan negara tercinta ini,” katanya.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s