Uncategorized

Konflik alam, manusia bagai tiada kesudahan

Peta menunjukkan hutan sekitar Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Gunung Arong sepanjang laluan Jalan Jemaluang-Mersing yang gondol akibat pembalakan. – NSTP/Hairul Anuar Rahim

Bumi yang tiada rimba
Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa

ITU antara lirik lagu Hijau nyanyian Datuk Zainal Abidin. Hampir 29 tahun usia lagu ini, namun mesej mengaitkan kepentingan menjaga alam sekitar dan bumi ciptaan Tuhan tetap relevan sehingga hari ini

Saya mengungkap lagu ini ketika ingatan kembali pada zaman kanak-kanak di kampung dahulu. Ia tentang bagaimana suasana masih diliputi hutan dan bukit-bukau yang tidak diusik, kedamaian dan kesegaran udara, tentang kabus dan detik indah ketika air embun menitis pada waktu pagi.

Masa itu tiada dalam kamus kita apa itu kipas angin atau penyaman udara, sama ada di rumah mahu pun di dalam kereta seperti dimahukan anak-anak kita sekarang.

Justeru, beberapa kejadian mengaitkan alam dan manusia kebelakangan ini mengingatkan kita bahawa dalam menuju apa juga kemajuan, kepentingan menjaga bumi dan alam sekitar tidak boleh dikesampingkan.

Cuba kita amati apakah punca berlaku konflik gajah dengan manusia apabila akhbar ini mendedahkan sekurang-kurangnya tiga lokasi di Jalan Jemaluang-Mersing dikesan semakin digondol akibat kerja pembalakan.

Haiwan liar ini semakin terhad habitatnya sehingga memasuki kampung berhampiran dan berkeliaran mencari makanan.

Begitu juga yang berlaku ke atas Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Kelantan yang setakat ini sudah mengorbankan 15 nyawa.

Persekitaran perkampungan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Kelantan. – NSTP/Fathil Asri

Kita berpandangan ia tidak cukup dengan hanya menangani isu kesihatan dihadapi komuniti Orang Asli, tetapi perlunya untuk menangani punca permasalahan sebenar yang membawa kepada kemerosotan kesihatan mereka.

Tindak balas menyeluruh diperlukan pihak berkuasa negeri dan Persekutuan untuk mengakui kelemahan dihadapi komuniti Orang Asli akibat kemusnahan tanah dan pencemaran sumber asli.

Konflik hutan-haiwan-manusia ini sebenarnya sudah bermula sejak 1930-an lagi dan makin melebar apabila berlaku penerokaan hutan besar-besaran. Konflik bertambah pada 1950-an dan 1970-an apabila perindustrian dan perladangan makin rancak di negara ini.

Belum pun selesai isu etnik Batek, kita digemparkan pula kejadian terbaru di Pasir Gudang, tiga hari lalu apabila pelajar dilaporkan mengalami sesak nafas, simptom hampir sama ketika tragedi pembuangan haram sisa toksik di Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Satu laporan menyebut terdapat 274 kilang di sepanjang jajaran Sungai Kim Kim, dikenal pasti penyebab masalah pencemaran di sungai berkenaan sukar dibendung.

Ini tidak sepatutnya dipandang ringan kerana kawasan lembangan Sungai Kim Kim sepanjang 15 kilometer itu antara yang padat dengan kawasan perindustrian di bahagian hulu, menyebabkan penguatkuasaan undang-undang sukar dilaksanakan dengan berkesan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu lebih proaktif dan berupaya mengesan pemilik kilang yang melepaskan sisa berbahaya tidak dirawat ke sungai, kerana mereka memiliki sistem khas latar belakang syarikat, termasuk bahan diproses di kilang kerana ia syarat utama sebelum dibenarkan beroperasi.

Cuma yang sukar dikawal kewujudan kilang haram, kerana agensi kerajaan tiada maklumat mengenai operasi mereka dan apa yang diproses, apatah lagi sisa apa yang mereka lepaskan ke sungai.

Justeru, penguatkuasaan bersepadu perlu dilaksanakan secara berterusan di kawasan perindustrian yang terletak di sepanjang Sungai Kim Kim kerana jajarannya berdekatan penempatan manusia, termasuk taman perumahan, kampung tradisional serta kampung nelayan, menjadikan pencemaran mampu mendatangkan ancaman.

Apa yang berlaku terhadap gajah, suku Batek, Sungai Kim Kim dan mangsa kanak-kanak di Pasir Gudang cuma antara ‘kemarahan’ Pencipta yang dizahirkan sebagai ingatan kepada manusia yang rakus merosakkan alam.

Benarlah kata Zainal dalam lagunya, kalau kita menjaga kepentingan alam sekitar, alam sekitar akan menjaga kepentingan kita.

Ia tentunya mengajak kita untuk berhenti sejenak merenung rahsia anugerah alam semesta dan fitrah kejadiannya.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s