Uncategorized

Sastera jadi nadi jiwa negara, bangsa

Bahasa jiwa bangsa. Tetapi bagaimanakah bahasa itu dapat diungkapkan sebagai jiwa bangsa? Tentunya melalui sastera. Maka, sastera adalah jiwa negara dalam erti kata bahawa bangsa adalah rakyat yang membentuk negara.

Maka pemberian elaun bulanan kepada Sasterawan Negara adalah pengiktirafan kepada sastera negara ini. Ia bukan soal wang itu sendiri atau keperluan individu Sasterawan Negara dalam mengharungi hidup di penghujung usia mereka, tetapi lebih penting ialah pengiktirafan negara terhadap lapangan sastera itu sendiri.

Nasib setiap seorang Sasterawan Negara seperti juga orang lain khususnya seniman adalah berbeza. Ada yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi kerana memperoleh hasil lumayan daripada karyanya, sementara ada yang hidup selesa atas usaha lain mereka yang tiada kaitan dengan sastera.

Ada pula yang kurang bernasib baik. Tetapi pemberian wang ini bukan semata-mata untuk membantu kehidupan mereka. Ia adalah antara pengiktirafan pada usaha mereka berkarya sastera sepanjang hayat.

Walaupun institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) adalah badan utama yang menerbitkan hasil karya mereka, tetapi sastera bukanlah suatu kegiatan komersial.

Ia adalah suatu penghasilan seni yang tidak semestinya mendatangkan pulangan besar lebih-lebih lagi di negara kecil seperti Malaysia, sedangkan kegiatan sastera adalah penting bagi negara. Maka dokongan daripada pihak awam iaitu kerajaan adalah diperlukan.

Sasterawan Negara adalah institusi yang diwujudkan oleh kerajaan bagi pihak rakyat dan negara. Maka, sumbangan kewangan daripada dana negara, iaitu milik rakyat, adalah pengiktirafan pada bidang itu, dengan golongan sasterawan yang menyandang gelaran itu mewakili institusi berkenaan.

Apa yang disebut sebagai ‘negara’ termasuk Malaysia ini mempunyai institusi tertentu yang membentuk jati dirinya. Ada yang berupa institusi dalam kerangka pentadbiran negara, seperti Istana Negara, Bank Negara, Muzium Negara, Masjid Negara dan Perpustakaan Negara.

Konsep kehidupan bernegara

Ada yang berbentuk simbolik seperti Jata Negara atau bangunan seperti Tugu Negara. Malah, institusi tarikan pelancongan seperti Taman Negara, Zoo Negara, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara adalah memperkukuh dan memperkayakan konsep ‘negara’ itu.

Ada kala istilah lain juga digunakan seperti ‘nasional’, ‘kebangsaan’ dan ‘rakyat’ adalah juga mewakili konsep kehidupan bernegara. Dalam kategori ini, terletaklah konsep Kereta Nasional, Bahasa Kebangsaan dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bahasa kebangsaan adalah antara tonggak utama dalam jati diri negara. Dari awal lagi perjuangan bahasa kebangsaan ini beriringan dengan kesedaran nasionalisme yang akhirnya membawa kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, kemerdekaannya dan diikuti dengan kewujudan Persekutuan Malaysia.

Perjuangan menjadikan bahasa Melayu sentiasa berada di tengah-tengah semua peringkat sejarah negara itu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan Tanah Melayu atau Malaya dan kemudian dinamakan bahasa Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan yang diguna pakai bukan saja di Semenanjung tetapi juga di Singapura, Sarawak dan Sabah.

Tetapi kegiatan yang mengungkapkan semangat nasionalisme, kemerdekaan dan pembentukan negara adalah kewartawanan dan kesusasteraan. Dari seawal sebelum merdeka lagi, golongan ini, pada masa itu, seringkali wartawan dan sasterawan adalah golongan yang sama membentuk fikiran rakyat bagi menyediakan mereka untuk menjadi warganegara merdeka.

Karya sastera dalam bentuk puisi, cerpen, drama dan novel disiarkan melalui akhbar, majalah, buku dan juga dilakonkan dalam radio. Maka, karya sastera, sasterawan dan penerbitan akhbar, majalah dan buku membentuk fikiran negara, bukan saja untuk kemerdekaan tetapi pembinaan dan pembangunan.

Golongan utama untuk menghasilkan karya sastera ini adalah sasterawan, tetapi hasil mereka tidak akan diterbitkan tanpa usaha dokongan oleh editor, petugas dan usahawan penerbitan. Maknanya kegiatan sastera itu mempunyai industri sendiri yang pasti merupakan bahagian penting dalam kehidupan negara.

Di sini, institusi paling penting untuk itu adalah DBP. Perkataan ‘bahasa’ dan ‘pustaka’ menempatkan kepentingan mereka bagi kegiatan sastera. Mereka juga melaksanakan peranan mereka dengan mendorong kelahiran sasterawan baharu dan muda.

Namun, sasterawan sudah ada lama sebelum wujudnya DBP, mereka tetap wujud. Tetapi untuk mewujudkan gelaran Sasterawan Negara adalah daya usaha khusus. Ditambah pula dengan langkah pengiktirafan untuk seseorang Sasterawan Negara, memerlukan inisiatif lebih tinggi.

Karya tatapan generasi

Sasterawan Negara yang masih ada sekarang ini ialah Datuk Seri A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah, Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan. Semua mereka lahir sebelum merdeka dan karya yang dihasilkannya adalah pada awal pembentukan Malaysia.

Ada antara karya mereka mungkin terus menjadi tatapan generasi kemudian. Namun pada masa ini, zaman cetak sedang berlalu. Bagaimanakah corak sastera pada masa akan datang tidak dapat dipastikan, sama ada karya mereka akan terus mewarnai jati diri negara juga tidak dapat dibayangkan.

Walau bagaimana bentuknya industri penerbitan akan datang, lapangan sastera akan terus menjadi jiwa negara selagi bahasa adalah jiwa bangsa. Maka, institusi Sasterawan Negara akan terus relevan.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s