Uncategorized

Gadis OKU teruja terbang ke Russia

ANIS Humairah, 18 (kiri) dan ibunya, Roziah Mohd Raziki, 43 ketika melakukan sulaman teruja mewakili negara dalam Pertandingan Abilimpik Antarabangsa edisi ke-10, di Russia. – Foto NSTP Intan Nur Elliana Zakaria

Kuala Lumpur: Sejak sekian lama remaja kurang upaya, Anis Humairah Riduwan, hanya membesar di Kuala Kangsar, Perak dan berulang alik ke Sungai Petani, Kedah kerana bersekolah Pendidikan Khas di sana.

Anis Humairah, 18, tidak pernah terfikir suatu hari nanti beliau bakal keluar meninggalkan negara ini untuk ke Moscow, Russia, iaitu tempat yang begitu asing baginya.

Namun, gadis yang mengalami masalah pendengaran itu memiliki bakat istimewa apabila terpilih mewakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa edisi ke-10 yang dijadualkan berlangsung, di Moscow, tahun depan.

“Inilah kali pertama sepanjang hidup saya akan meninggalkan kampung halaman dan keluarga untuk keluar negara yang jauh.

“Sukar membayangkan bagaimana keadaan nanti apabila berada di negara orang dan lebih menggusarkan bakal bertanding dengan pelbagai bangsa dari seluruh dunia,” katanya kepada BH Online

Beliau ditemui pada majlis International Abilympics Hi-Tea, baru-baru ini bertujuan mengutip dana bagi menghantar Anis Humairah dan 14 peserta Abilimpik lain ke pertandingan yang belum ditetapkan tarikhnya itu dan dijadualkan berlangsung pada 2020.

MILIKI bakat hebat, cacat tidak menghalang Anis berkarya. Foto NSTP – Intan Nur Elliana Zakaria.

Abilimpik adalah pertandingan berasaskan kemahiran bagi orang kurang upaya (OKU) untuk mempamerkan potensi mereka seterusnya menggalakkan peningkatan dalam peluang pekerjaan.

Mereka bakal bertanding dalam 15 daripada 30 kategori di Moscow, antaranya gubahan bunga, lukisan, sulaman, fotografi dan pemprosesan perkataan.

Peserta Abilimpik dipilih berdasarkan prestasi mereka dalam Pertandingan Abilimpik Kebangsaan 2018 yang dianjurkan di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang.

Anis Humairah berkata, beliau tidak meletakkan harapan tinggi termasuk memenangi pingat emas tetapi berazam mengharumkan nama negara.

“Awalnya saya menyertai pertandingan peringkat kebangsaan atas dorongan guru dan tidak menyangka sulaman bunga dan rama-rama saya terpilih sebagai juara kategori itu.

“Memang tidak dinafikan jantung berdebar untuk melangkah ke peringkat antarabangsa namun saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Pada pertandingan itu, beliau bakal diberikan masa beberapa jam untuk menyiapkan sulaman berdasarkan tema yang diberikan.

Justeru, beliau banyak membuat penyelidikan mengenai budaya sulaman negara lain seperti Russia sebagai persediaan bertanding peringkat global.

Ibunya, Roziah Mohd Raziki, 43, berkata beliau tidak menyangka anak sulungnya memiliki bakat istimewa walaupun dilahirkan dengan masalah pendengaran.

Beliau yang juga pengusaha telekung, berkata anaknya itu memiliki minda kreatif kerana sering memberikan idea untuk menghasilkan rekaan telekung yang segar dan menarik.

“Anis Humairah anak yang taat dan gemar bersedekah selain gemar membantu mencurahkan idea kepada saya untuk menghasilkan rekaan terbaru telekung yang dijual.

“Saya berbangga kerana bakat anak saya dicungkil menerusi pertandingan seperti ini walaupun saya sendiri tidak pernah menyedarinya dan berharap ia memberi peluang lebih luas kepadanya,” katanya.

ANIS Humairah. Foto NSTP – Intan Nur Elliana Zakaria

Bercerita mengenai masalah pendengaran dihadapi Anis Humairah, Roziah berkata anaknya itu dikenal pasti mengalami masalah pendengaran ketika kecil apabila panggilannya sering tidak disahut.

Pada usia lima tahun, tahap pendengarannya semakin teruk apabila sering dimarahi cikgu kerana tidak memberikan tindak balas di dalam kelas.

Anis Humairah terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran dan ketika mula menggunakannya, beliau teruja kerana pertama kali mendengar bunyi seperti kipas, angin dan hujan.

“Saya sentiasa mendoakan Anis Humairah berjaya dalam apa saja bidang yang diceburinya dan berharap lebih banyak peluang diberikan kepada golongan OKU dalam membina masa depan mereka.

“Saya yakin pemergiannya ke Moscow bakal membuka mata dan mindanya untuk melangkah ke alam yang lebih luas,” katanya.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s