Berita Harian, Rencana

Kentang sumber karbohidrat

Kentang antara bahan yang kerap digunakan dalam hidangan sama ada masakan Barat, Cina, India atau Melayu mengikut jenis menu disediakan.

Malah, dianggarkan lebih satu bilion penduduk dunia menjadikan kentang sebagai menu utama harian mereka.

Namun, ada sebilangan individu mengelak makan kentang. Mungkin disebabkan ramai beranggapan kandungan karbohidrat dalam kentang menyumbang kepada pertambahan berat badan.

Tanpa disedari tindakan itu merugikan mereka kerana kentang mempunyai sumber karbohidrat yang di dalamnya kaya dengan pelbagai zat makanan.

Jurnal Nutrition Today melaporkan, diet seimbang mengandungi makanan kaya karbohidrat semula jadi seperti padat dengan nutrien, berupaya menambah baik prestasi fizikal.

Kajian terdahulu membuktikan karbohidrat penting untuk prestasi fizikal dan mental yang optimum, kaya mikronutrien sesuai untuk mereka yang aktif bersukan.

Kentang sebagai sajian harian berkhasiat dan menjadi sumber tenaga dalam memperkasakan mereka yang aktif terutama atlet.

Jurulatih Kecergasan, Kimberly Yap, berkata kentang menjadi pilihan atlet yang menggantikannya dengan pengambilan karbohidrat lain sebagai sumber tenaga utama.

Beliau yang juga pemenang pingat emas sukan triatlon pada dua temasya Sukan SEA, berkata sebagai ahli sukan masing-masing mementingkan berat ideal dengan mengamalkan diet seimbang.

“Kentang membekalkan karbohidrat, kalium dan tenaga yang perlukan tubuh. Khasiatnya jauh lebih baik berbanding makanan daripada sumber karbohidrat lain. Makanan tinggi tenaga ini mempengaruhi prestasi sukan kategori kompetitif.

“Kentang kaya dengan zat besi, vitamin C dan serat yang diperlukan tubuh,” katanya pada majlis pelancaran produk kentang dari Amerika Syarikat bertemakan ‘Power Up With USA Potatoes’ di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Potatoes USA, Sarah Reeca berkata, kentang dipilih sebagai makanan terbaik bertenaga tinggi dalam menu diet atlit terutama bagi acara lasak.

Sarah berkata, pakar pemakanan memilih menu berasaskan kentang untuk atlet peringkat global. Menu ini diputuskan pada acara Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Korea Selatan, pada hujung tahun ini.

INFO: Perbandingan khasiat

  • 100 gram (gm) nasi mengandungi 0.3 miligram (mg) zat besi, kentang pula mengandungi 0.8 mg iaitu lebih tinggi.
  • 100 gm pisang mengandungi sebanyak 358 mg kalium, lebih rendah berbanding kentang dalam kadar berat sama, iaitu mengandungi sehingga 535 kalium.
  • Kentang mengandungi 620 miligram kalium
  • Lebih banyak kalium berbanding pisang saiz sederhana
  • Tanaman makanan ketiga paling penting di dunia selepas beras dan gandum.
  • Ditanam di 125 negara
  • Mengandungi nutrien penting diet
  • Kalium, vitamin C dan serat pemakanan utama.
  • Nutrien dalam kentang mengelakkan tekanan darah dan kesihatan usus.
  • 180 cef menyediakan 7,000 sajian dengan kentang sebagai antara menu utama atlet di sukan Olimpik PyeongChang 2018

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online.

Advertisements
Sastera, utusan malaysia

Memartabatkan sastera Melayu : Bengkel Komsas Kreatif bagi lahirkan budaya bangsa

Majlis Penutupan Bengkel Komsas Kreatif Anjuran Pertubuhan Kesenian

Majlis Penutupan Bengkel Komsas Kreatif Anjuran Pertubuhan Kesenian Sri Beringin Malaysia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini.
PENDIDIKAN Kesenian Kreatif merupakan salah satu cabang yang penting dalam membentuk norma-norma murni di samping melahirkan murid-murid dengan kemantapan jati diri.

Mata pelajaran ini secara tidak langsung dapat membentuk diri berdisiplin kerana kesenian itu mempunyai etika-etika yang tersendiri seperti aturan yang sangat kolektif serta berkualiti tinggi.

Selain dapat meningkatkan apreasiasi terhadap mata pelajaran bahasa Melayu, melalui komponen sastera dan pendidikan seni teater, ia juga dapat mengetengahkan mutu pembelajaran gaya baharu dan mantap pada era ini.

Dalam usaha menyalurkan serta mempertingkat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar sekolah, baru-baru ini Bengkel Komsas (Komponen Sastera) Kreatif dan Kem Minda Ceria telah diadakan.

Bertujuan untuk meningkatkan apreasiasi terhadap pembelajaran Bahasa Malaysia khususnya komponen sastera Melayu sebagai salah satu pembelajaran yang menyeronokkan, ia juga secara tidak langsung dapat memupuk kecintaan dan semangat jati diri dalam kalangan jiwa kanak-kanak, remaja, belia, dan seluruh masyarakat khususnya.

Menurut Pengarah Program tersebut, Johari Mamat, bengkel tersebut yang merupakan kali pertama diadakan melibatkan seramai 100 pelajar-pelajar tingkatan empat aliran Sains dan Sastera, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Kuala Lumpur.

Katanya lagi, bengkel tersebut yang diadakan selama tiga hari berturut-turut merupakan anjuran Pertubuhan Kesenian Sri Beringin dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Pendidikan Negeri, dan Institut Pendidikan Tinggi Awam.

“Bengkel ini diadakan dengan hasrat untuk mengenal jati diri dan melahirkan generasi alfa yang berkeyakinan tinggi, kreatif, dan inovatif melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran kreatif dan menyeronokkan.

“Pada masa yang sama, bengkel ini juga merupakan kolaborasi dan perkongsian hubungan pintar yang bersepadu secara lebih berkesan dalam penyebaran maklumat seni yang melibatkan pelbagai pihak terutama penggiat teater tanah 
air dan seluruh warga pendidik di negara ini.

“Bengkel ini juga secara tidak langsung mengangkat subjek komponen sastera Melayu dalam usaha meningkatkan pemahaman dan penghayatan pelajar terhadap teks-teks drama yang dipelajari dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sambungnya lagi, bengkel tersebut tidak ketinggalan memberi pendekatan aktiviti kesenian yang berteraskan ilmu, kreativiti, dan pengalaman seni di mana ia memberi lebih impak kepada pelajar selain melahirkan kumpulan organisasi yang berwibawa, kreatif, dan inovatif dalam membentuk kerja sepasukan, mendisiplinkan pelajar dengan mematuhi protokol dan etika dalam setiap pengurusan pada masa depan.

Sepanjang bengkel berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti permainan teater, latihan dalam kumpulan, riadah (senam seni), penulisan kreatif, latihan pemahaman dan penghayatan teks komsas (kelas asas lakonan), pembentangan dan persembahan, serta rumusan dan pengukuhan (seni dan kerjaya).

Johari memberitahu bengkel tersebut akan dilaksanakan di negeri-negeri lain seluruh negara bagi menyuntik minat dan rasa cinta murid-muird kepada mata pelajaran bahasa Malaysia terutama komponen sastera Melayu yang semakin pupus ketika ini.

Kini dalam perancangan untuk dijadikan acara tahunan, Johari menjelaskan apa yang dilakukannya adalah untuk memartabatkan kesusasteraan Melayu sebagai warisan bahasa bangsa yang unggul demi menggalas dan melaksanakan tanggungjawab ke arah melahirkan pewaris budaya bangsa yang berilmu di negara ini dengan penuh cemerlang dan terbilang.

Sumber daripada Utusan Malaysia Online

Rencana, utusan malaysia

Memupuk budaya membaca ke arah kecemerlangan negara

Rencana ditulis oleh  Anas Alam Faizli

Memupuk budaya membaca ke arah kecemerlangan negara

Buku juga mampu membawa pembaca ke dimensi berbeza seterusnya melatih daya imaginasi kreatif serta perkembangan emosi EQ pembaca. -Gambar hiasan

PADA tanggal 6 April 1933, Jerman telah menyaksikan segolongan mahasiswa di bawah rejim Nazi melancarkan “Biblioclasm” bagi menghapuskan buku-buku yang kononnya disifatkan “anti-Jerman”.

Kira-kira 2000 tahun yang lalu, pihak pemerintah China telah membakar buku-buku yang dianggap berbau Confuscian kerana tidak berpuas hati dengan pengaruh ajarannya yang semakin menular.

Ketika penaklukan kota Baghdad pula, Perpustakaan Agung Baitul Hikmah yang kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan dimusnahkan oleh tentera Mongol.

Diriwayatkan Sungai Tigris bertukar warna menjadi hitam akibat banyaknya buku-buku yang dibuang.

Tesis umum yang dapat disimpulkan daripada peristiwa-peristiwa di atas ialah buku mempunyai peranan yang penting dalam mencipta dan seterusnya merangsang perkembangan ilmiah dan seterusnya tamadun manusia.
Buku berupaya membenihkan ilham pemikiran kritis daripada segi politik, falsafah serta sosio-ekonomi dalam kalangan  kelompok manusia.

Lantas, pembakaran buku menjadi salah satu instrumen utama menguburkan pengaruh sesebuah idealisme, corak pemikiran, ideologi, ataupun budaya oleh rejim yang berkuasa.

Buku sangat berkuasa dan berpengaruh sehinggakan Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Aku lebih takut dengan empat orang penulis daripada 1,000 senapang.”

Kalimah Al-Quran yang pertama menekankan kepentingan membaca, “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (Al-Alaq, 96:3-4).

Membaca juga tidak dapat dinafikan ialah titik permulaan penelaahan dan jelajah ilmu para cendekiawan dan filasuf dunia barat mahupun timur, klasik mahupun moden.

Hal ini jelas sekali mengangkat martabat buku di tempat yang tinggi dalam sejarah tamadun manusia. Peri pentingnya nilai penulisan melalui buku dan peradaban yang dicetuskan olehnya menobatkan buku sebagai antara penciptaan paling agung dalam sejarah tamadun manusia.

Kita diingatkan dengan mutiara kata “Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya.”

Sejarah, Penulisan, dan Budaya Ilmiah Malaysia
Wacana kepentingan buku dalam mencorak hala tuju intelektual dan identiti sesebuah masyarakat tentu sekali berkait rapat dengan usaha merekod khazanah sejarah dan karya para sarjana tempatan.

Malang sekali, periwayatan sejarah Melayu bermula dari zaman ketibaan Parameswara ke persisiran Melaka, sehinggalah dasar-dasar pentadbiran ekonomi berasaskan perdagangan Melaka, strategi pertempuran Tun Perak dan kesahihan hikayat Hang Tuah, begitu daif dan corot.

Jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun dunia yang lain, kualiti dan kesemestaan perekodan sejarah Melayu jauh tercicir.

Kesinambungan warisan ilmu dan budaya ilmiah para cendekiawan, ahli akademik dan pemikir asing mahupun tanah air juga rontok.

Jarang sekali kerja-kerja pemikir intelektual dan para filasuf diketengahkan dalam sistem pendidikan dan diskusi arus perdana seharian.

Ujian litmusnya mudah sekali, tanyakan sahaja orang awam kini sekiranya mereka mengenali personaliti ilmuan dan juga nama-nama pencipta sejarah mahupun fakta dan pengetahuan umum.

Jangan terkejut jika yang dikenali hanyalah artis-artis dan ahli perniagaan semata-mata.

Kaji selidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 dan 2005 menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun secara purata.

Rakyat Jepun dan Perancis membaca 10 buku, manakala Rakyat Amerika dan Kanada paling hadapan dengan 17 buku.

Kurangnya tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sememangnya membimbangkan. Golongan belia dan dewasa kini lebih menjerumus ke arah hedonisme dan hiburan berasaskan digital. Mereka tidak lagi menemukan keseronokan dalam membaca sebagai hobi di waktu lapang, jauh pula sebagai sumber hiburan.

Akibatnya, hujah dan perbualan harian semakin tegar dinodai pandangan peribadi yang kurang berasas dengan kesahihan yang berpaksikan maklumat picisan daripada Facebook dan Twitter.

Membaca Buku Mempertingkat Pendidikan dan Kualiti Hidup
Pendidikan merupakan prasyarat peningkatan status sosio-ekonomi individu dan isi rumahnya, lantas mutu kehidupannya.

Kajian Jeanne Chall membongkar bahawa terdapat satu hubungan rapat dan eksklusif di antara pendidikan dan membaca. Maksudnya seseorang yang berpendidikan tinggi akan mudah untuk lebih membaca dan seseorang yang banyak membaca akan mudah ke arah berpendidikan tinggi.

Jelas bahawa membaca memangkin dan memperkukuh pendidikan seseorang dan sebaliknya.

Kajian empirikal juga telah membuktikan bahawa kualiti hidup berkadar secara langsung dengan bilangan buku yang dibaca.

Secara purata golongan yang membaca sebuah buku seminggu atau 50 buku setahun didapati mempunyai taraf kualiti kehidupan yang tinggi.

Sebaliknya, golongan yang hanya membaca majalah atau surat khabar dan kurang membaca secara amnya dilaporkan mempunyai kualiti kehidupan yang rendah.

Membaca ialah kaedah terpantas untuk memperolehi ilmu dan mendapatkan fakta. Secara langsung, membaca juga memperkukuh perbendaharaan kata dan penguasaan linguistik pembaca.

Perolehan ilmu ini seterusnya dapat melatih kefasihan berbicara, serta menambah fakta-fakta yang baru dan memperlengkap fakta sedia ada.

Pemikiran pembaca seterusnya dapat mempertajam kesedaran sivik, sosial, ekonomi, politik, sejarah dan isu-isu berbangkit masa kini.

Membaca turut menawarkan kaedah senaman minda yang berkesan. Sebagai aktiviti yang lebih kompleks daripada menonton televisyen; membaca bukan sahaja memperkuat rangkaian dalam otak manusia, malah berupaya merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baru.

Hasilnya ialah penambahbaikan konsentrasi minda dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa, serta dapat mengatasi masalah jangka masa perhatian yang singkat.

Buku juga mampu membawa pembaca ke dimensi berbeza seterusnya melatih daya imaginasi kreatif serta perkembangan emosi EQ pembaca.

Dimensi lain ini membawa pembaca menerokai pengalaman maya yang mungkin tidak dapat dirasai dalam kehidupan sehariannya, serta mencanangkan perspektif alternatif untuk melihat dunia melalui kaca mata yang berbeza.

Tambah nilai utama pengalaman maya ini ialah galakan perkembangan peribadi pembaca. Bukan sahaja daripada sudut intelektual dan IQ semata-mata, membaca juga boleh merangsang aspek psikologi, kognitif dan EQ pembaca.

Dalam menterjemahkan tulisan yang dibaca kepada bentuk-bentuk imaginasi visual dan emosi tanpa batasan, membaca menggalakkan sifat empati dan simpati.

Google dan rakannya tidaklah menawarkan ilmu pengetahuan yang lengkap tetapi cuma maklumat manakala buku menawarkan ilmu pengetahuan yang lebih dari sudut hujah dan pengolahan yang lebih terperinci, bertongkatkan ilmu latar belakang penulis yang lazimnya pakar di dalam disiplin ilmu terbabit.

Bibit-bibit maklumat sahaja tidak mencukupi jika tidak disusunrangka menjadi suatu sistem ilmu yang dapat dimanfaat.

T.S. Eliot merintih, “Di manakah kehilangan ilmu di tengah-tengah maklumat?”

Ilmu pengetahuan yang unggul telah digantikan dengan maklumat-maklumat berbentuk picisan sahaja.

Cabaran Membentuk Budaya Malaysia Yang Membaca
Desakan keperluan ekonomi isi rumah boleh dikatakan salah satu punca rakyat Malaysia kurang membaca. Peningkatan kos kehidupan negara membangun seperti Malaysia menghimpit kita untuk mengejar kesenangan material dengan mengorbankan masa untuk membaca dan perolehan ilmu pengetahuan.

Buku-buku terbitan arus perdana, lebih-lebih lagi yang diimport, begitu mahal sehingga mencecah ratusan Ringgit Malaysia.

Mustahil bagi 80 peratus isi rumah Malaysia yang memperolehi pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan untuk menggembleng sebuah koleksi buku yang komprehensif.

Lebih membimbangkan ialah sifat cintakan ilmu pengetahuan yang semakin menipis. Masyarakat hanyut dibawa arus hedonisme sehinggakan tabiat membaca terbatas kepada buku-buku teks dan nota-nota kuliah untuk tujuan peperiksaan, dan bukannya lahir daripada kecintaan ilmu dan keinginan meneroka perbatasan ilmu yang sedia ada.

Komuniti setempat berperanan penting meringankan beban ini melalui penubuhan kelab-kelab buku dalam kalangan para penduduk sekampung atau setaman perumahan. Sedikit sebanyak, beban kos buku berkualiti yang tinggi dapat dipikul bersama.

Malahan, kelangsungan budaya membaca dan kebertanggungjawaban membaca sebagai ahli kelab buku juga dapat diterapkan.

Langkah-langkah memperkasa koleksi perpustakaan tempatan serta kempen-kempen mengimarahkannya turut berperanan melengkapi usaha menggalakkan budaya membaca dan menyegarkan kecintaan terhadap ilmu.

Menurut Walter Cronkite, “Sebesar mana pun jumlah harga pembinaan perpustakaan-perpustakaan kita, harganya jauh lebih murah berbanding dengan harga sebuah negara yang jahil!”

Kempen Membaca Untuk Warga Malaysia
Tabiat membaca memerlukan kepada perubahan minda yang peka dan dimulakan dari awal. Justeru, beban menerapkan sifat suka membaca di kalangan anak-anak kecil terletak pada bahu ibu bapa.

Individu-individu ini seterusnya diharapkan dapat menjadi asas kepada sebuah masyarakat Malaysia yang berpengetahuan, terpelajar dan dapat menyinambungkan gunapakai manfaat ilmu dalam perbincangan dan pekerjaan masing-masing.

Perubahan satu generasi ke generasi yang lain akan dapat memastikan kemampanan tabiat membaca dan juga penerusan budaya ilmu dalam kalangan generasi yang berikutnya.

Rebutlah peluang untuk membeli buku dan bahan bacaan pada harga yang murah. Pesta buku Popular dan Big Bad Wolf contohnya menawarkan peluang baik untuk mengumpul keperluan bacaan keluarga anda selama setahun.

Kedai buku terpakai dan perkhidmatan pinjaman buku turut menyediakan alternatif untuk mendapatkan buku dengan murah.

Buku dalam bentuk digital e-Book ataupun format .pdf yang dimuat turun melalui internet juga praktikal bagi yang dilengkapi kemudahan internet.

Tetapkan 10 minit setiap hari untuk membaca! Tekadkan iltizam untuk membaca sebelum bermain Angrybird.

Bawalah buku ke mana jua agar anda dapat menyelitkan sedikit pembacaan di waktu ruangan kosong. Langkah menyenaraikan buku dan tema yang ingin dibaca juga dapat membantu memotivasikan diri untuk sentiasa menghabiskan bacaan anda.

Budaya Membaca kearah Kecemerlangan Negara Tanggungjawab Bersama
Charles Jung menemui bahawa terdapat ciri-ciri bangsa yang sebenarnya telah dikodkan dan diwarisi melalui DNA. Hal ini menyebabkan setiap bangsa mempunyai ciri-ciri yang unik kepada mereka; maka tabiat suka membaca secara teorinya turut bergantung kepada keturunan dan kod DNA.

Ini boleh diubah dan wajib diubah! Dr Fadzilah Kamsah sering menegaskan semua tabiat dapat diubah sekiranya diulangi dan dirohkan lebih dari 40 kali.

Bukankah kita juga telah dijanjikan di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (13:11).
Sejarah tamadun negara-negara dunia pertama membuktikan kuasa membaca dan menimba ilmu pengetahuan dalam pembentukan tamadun manusia dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Malaysia kini menghampiri halangan yang terakhir tetapi paling sukar dalam mengecapi kekayaan dan kemakmuran ekonomi; iaitu dalam membentuk sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan yang dianggotai oleh para ilmuwan dan rausyanfikir.

Hasrat murni ini harus diletakkan sebagai tanggungjawab bersama oleh setiap individu. Tabiat membaca mampu dan akan mengubah nasib negara kita.

Marilah kita menerapkan budaya minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, menggalakkan budaya cintakan ilmu, serta mempertingkat status sosio-ekonomi kita demi merealisasikan impian untuk sebuah Malaysia yang lebih baik ke arah kecemerlangan negara.
“Bagaimana sibuk sekalipun, anda mesti mencari masa untuk membaca, jika tidak anda akan kalah dengan jalan kejahilan yang anda pilih sendiri” — Confucius

Masalah Pelajar, utusan malaysia

Autisme… bukan masalah psikologi

Kanak-kanak ini lebih cenderung kepada satusatu perkara sahaja.

Sebenarnya ramai kanak-kanak lambat dikesan mempunyai masalah autisme tanpa pemantauan keluarga terdekat seperti ibu bapa atau penjaga mereka. Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi kemampuan seseorang kanak-kanak dalam berkomunikasi, interaksi sosial serta tingkah laku.

Biasanya kanak-kanak autisme akan menunjukkan respon yang negatif semasa berkomunikasi dengan orang lain, suka mengasingkan diri, membuat kerja sendiri dan keadaan tidak fleksibel dengan orang lain.

Walaupun dikategorikan dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak autisme biasanya mempunyai tenaga yang sangat aktif sehingga mereka boleh berpusing-pusing atau berlari-lari tanpa rasa penat.

“Autisme bukanlah masalah berkaitan dengan psikologi tetapi digolongkan dalam OKU masalah pembelajaran,” kata Pakar Runding Psikologi, Pusat Rehabilitasi KPJ KL, Pusat Kesihatan Tawakkal, Dr. Ignatius Lee Kuan Beng.

Masalah autisme jelas Dr. Ignatius, biasanya boleh dikenal pasti seawal usia dua atau tiga tahun. Biasanya ibu bapa atau penjaga akan membawa anak mereka berusia dua atau tiga tahun ke hospital untuk mendapatkan rawatan apabila mempunyai tanda-tanda autisme.

“Kanak-kanak autisme biasanya mempunyai tanda-tanda seperti kelakuan yang stereotaip atau cenderung hanya kepada sesuatu benda atau kelakuan yang sama. Dan mereka lakukannya secara berulang-ulang.

“Secara amnya, kelakuan mereka sama dengan kanak-kanak lain kecuali mereka terlebih obses terhadap sesuatu sehingga 90 peratus selain mempunyai masalah sensori dan komunikasi,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Ignatius menambah, kanak-kanak autisme memerlukan bimbingan dan galakan meliputi tingkah laku positif dan boleh dicapai melalui lima langkah berikut.

“Pertama mereka memerlukan persekitaran insklusif bagi mempengaruhi tingkah laku di mana mereka memerlukan sokongan dan galakan daripada keluarga dan komuniti.

“Ini supaya hidup mereka lebih berkualiti dan pada masa yang sama akan mengurangkan masalah tingkah laku. Secara amnya keperluan pesakit autisme adalah sama dengan kanak-kanak lain,” kata beliau yang banyak melibatkan diri dalam penjagaan kanak-kanak autisme bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Kedua, jelas Dr. Ignatius, kanak-kanak autisme perlu mendapat pendidikan secara berterusan untuk mengawal tingkah laku kerana tingkah laku perlu diajar dan dipelajari bagi mengukuhkan kelakuan harian.

“Pendidikan akan menambah pengetahuan dan kemahiran mereka kerana kedua-duanya penting. Sebaik-baiknya kanak-kanak autisme perlu belajar lebih awal kerana segala masalah yang dihadapi perlu dilihat dari perspektif berbeza.

“Mereka juga perlu memenuhi kepuasan peribadi bermula daripada peringkat prasekolah, sekolah, universiti, kerjaya, keluarga dan masyarakat kerana pesakit autisme sangat peka dengan sebarang perubahan tetapi mereka sukar untuk meluahkan. Ini boleh menyebabkan mereka mengamuk,” katanya.

Langkah ketiga, jelas Dr. Ignatius, adalah tingkah laku ‘human’ atau insan. Oleh itu kaedah komunikasi amat penting kerana masyarakat perlu memahami kelakuan kanak-kanak autisme dan ibu bapa juga perlu berubah untuk memahami anak-anak mereka.

Keempat adalah berkaitan dengan keperluan khusus seseorang individu. Misalnya perancangan pada seluruh sistem keluarga bukan hanya ibu bapa tetapi juga adik-beradik, saudara mara serta sahabat sebagai sokongan dan galakan.

Langkah terakhir adalah penekanan bagi pencegahan iaitu campur tangan sebelum sesuatu berlaku. Seperti pendidikan awal kerana ini memerlukan kesabaran semasa mendidik mereka.

“Di sini saya menekankan pesakit autisme bukan masalah psikitri tetapi mereka dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran.

“Tetapi jangan salah sangka kerana ada antara mereka yang pintar atau genius kerana mereka biasanya hanya fokus kepada sesuatu seperti lukisan, muzik atau matematik”, katanya.

Dr. Ignatius berkata, proses pembelajaran secara berterusan amat penting dan tidak boleh berhenti kerana mereka sentiasa memerlukan sokongan, perubahan gaya hidup dan kualiti hidup.

“Mereka memerlukan keyakinan diri dari awal, padanan kerja yang sesuai, keazaman diri dan kebahagiaan. Mereka perlu diberikan kebebasan untuk memilih tempat tinggal, pekerjaan, masa lapang berkualiti, integrasi dengan komuniti, ambil bahagian dalam komuniti dan gaya hidup.

“Ibu bapa adalah guru terbaik dan rumah adalah sekolah terbaik untuk anak-anak ini,” katanya.

Dr. Ignatius berkata, ibu bapa perlu memahami jika mereka tidak berubah kita perlu berubah untuk mereka.

Simptom Autisme

Kanak-kanak yang mengalami autisme mempunyai rupa bentuk fizikal sama seperti kanak-kanak normal lain. Hal ini menyukarkan untuk dikenal pasti kecuali ibu bapa peka akan simptom-simptom yang ditunjukkan secara konsisten oleh anak mereka. Setiap penghidap autisme memiliki simptom berbeza antara satu sama lain.

Antara simptom-simptom autisme ialah:

– Tidak menunjukkan ‘eye contact’.

– Tidak bertindak balas terhadap senyuman.

– Mengamuk keterlaluan tanpa sebab hingga mencederakan diri seperti menghantukkan kepala ke dinding.

– Tidak menunjukkan minat untuk berkawan dan bermain dengan kanak-kanak lain, malah selesa bermain sendiri.

– Sering menyebut sesuatu perkataan secara berulang-ulang dan kerap melentikkan badan seolah-olah mengelak apabila dipeluk.

– Terlalu sensitif dan mempunyai minat pelik kepada sesuatu seperti cahaya, bunyi atau pergerakan

– Mereka sering kali menunjukkan obses kepada sesuatu perkara seperti permainan tertentu sahaja.

– Gemar mengibarkan tangan dan memusingkan badan setempat. Kanak-kanak berusia 18 bulan ke atas lebih suka menggunakan isyarat berbanding perkataan.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

Uncategorized

Mengenali tanda autisme

Artikel ditulis oleh Zaitie Satibi

Ramai kanak-kanak autisme tidak didiagnosis dengan masalah perkembangan kompleks ini sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya empat tahun atau lebih menyebabkan tanda autisme gagal dikenal pasti di peringkat awal.

Mengesan autisme seawal mungkin adalah penting kerana kajian menunjukkan intervensi dilakukan terhadap kanak-kanak autisme selepas pemeriksaan awal menghasilkan keputusan lebih baik dari segi pembelajaran, komunikasi dan kemahiran sosial berbanding mereka yang dikesan lewat.

Malah, menyediakan terapi dan pendidikan untuk kanak-kanak autisme pada usia masih muda iaitu dalam tempoh perkembangan otak kanak-kanak paling mudah menyerap ilmu juga diharap dapat mengubah perjalanan autisme.

Pada masa kini tiada pemeriksaan perubatan untuk mendiagnosis autisme, sebaliknya autisme didiagnosis dengan memerhatikan tingkah laku kanak-kanak dan mencari tanda-tanda tertentu yang juga ciri-ciri autisme.

Menerusi kajian dilakukan penyelidik mengenai tanda awal autisme membolehkan doktor tahu apa yang perlu dicari dan seterusnya penghidap autisme mendapat bantuan diperlukan secepat mungkin. Namun, mengesan ciri-ciri autisme boleh jadi sukar berikutan kebanyakan kanak-kanak bukan autisme kadangkala menunjukkan tingkah laku yang sama.

Tanda-tanda awal autisme pada setiap penghidapnya juga berbeza. Ada yang menunjukkan kelainan pada usia beberapa bulan selepas lahir, manakala yang lain menunjukkan ciri-ciri yang jelas pada usia antara 18 hingga 24 bulan.

Pengarah Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, ibu bapa perlu menghantar anak yang menghidap autisme ke sekolah khas supaya kanak-kanak istimewa berkenaan mendapat pendidikan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pelan pendidikan untuk kanak-kanak autisme biasanya menekankan pelbagai kemahiran pembangunan, akademik, komunikasi dan bahasa, kemahiran sosial, kemahiran berdikari, isu tingkah laku dan kemahiran lain yang berkaitan.

Oleh itu, guru kanak-perlu mempunyai latihan khusus dalam masalah perkembangan kompleks bagi membantu anak-anak istimewa itu mendapat manfaat daripada program pendidikan yang diikuti.

“Di Singapura dan Amerika Syarikat, kanak-kanak autisme didiagnosis dengan masalah terbabit ketika berusia tiga hingga empat tahun dan pada usia seawal itu mereka dihantar ke pusat atau sekolah khas bagi mendapat pendidikan dan terapi sekali gus.

“Perkara sedemikian wajar dicontohi kerana berbeza di negara ini yang tiada pusat sehenti untuk melatih dan mendidik kanak-kanak autisme apabila ada pusat hanya menyediakan terapi tetapi tiada pendidikan khusus,” katanya.

Katanya, ibu bapa perlu sedar mengenai keperluan latihan dan pendidikan khas kanak-kanak autisme dan dapatkan maklumat sebanyak mungkin untuk membantu meningkatkan pembelajaran serta perkembangan anak istimewa mereka.

“Autisme bukanlah penyakit sebaliknya gangguan perkembangan otak yang menjejaskan kemahiran sosial dan komunikasi. Latihan dan pendidikan khas mampu merangsang sel-sel otak di bahagian yang terjejas.

“Namun, sepanjang pengalaman saya menguruskan pusat pendidikan khas ini lebih setahun lalu, segelintir ibu bapa sukar menerima hakikat anak mereka autisme menyebabkan hak kanak-kanak berkenaan mendapat pendidikan dinafikan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat mengenai autisme terutama bagaimana mengenal tanda-tandanya kini banyak didedahkan dan dengan teknologi terkini ia boleh diperoleh semudah di hujung jari, malah dunia juga memperuntukkan April sebagai bulan kesedaran autisme untuk mendidik masyarakat dan menyebarkan kesedaran.

Tanda-tanda berikut boleh dijadikan petunjuk anak mungkin berisiko hidap austisme

• Tidak mengukir senyum, tergelak atau menunjukkan ekspresi gembira atau suka ketika bayi berusia enam bulan.

• Tiada hubungan mata atau hubungan mata yang terhad ketika bayi berusia enam bulan.

• Tidak membuat bunyi, senyum atau ekspresi wajah ketika bayi berusia sembilan bulan.

• Tidak mengagah ketika bayi berusia 12 bulan.

• Tidak membuat gerak isyarat untuk berkomunikasi seperti melambai, mencapai ketika bayi berusia 12 bulan.

• Tidak memberi tindak balas ketika namanya dipanggil ketika bayi berusia 12 bulan.

• Tidak berceloteh ketika bayi berusia 16 bulan.

• Tidak mengeluarkan perkataan ketika kanak-kanak berusia dua tahun.

• Langsung tidak bercakap atau menunjukkan kemahiran sosial pada semua peringkat umur.

Tanda-tanda lain yang boleh diperhatikan

• Mengelak hubungan mata dan lebih suka bersendirian.

• Sukar memahami perasaan orang lain.

• Perkembangan pertuturan yang lambat.

• Mengulang perkataan atau frasa berulang-kali (echolalia).

• Cepat marah dengan perubahan kecil dalam rutin atau persekitaran.

• Mempunyai minat yang sangat terhad.

• Menunjukkan tingkah laku berulang-ulang seperti berpusing atau goyang badan.

• Mempunyai tindak balas luar biasa atau reaksi keterlaluan terhadap bunyi, bau, rasa, tekstur, cahaya atau warna.

Sumber diperolehi daripada Harian Metro Online

Uncategorized

Orang ramai digesa derma darah

darah

KUALA LUMPUR – Kadar penderma sepanjang Ramadan menurun hampir 40 peratus menyebabkan Pusat Darah Negara (PDN) mengalami kekurangan bekalan darah terutamanya semasa Aidilfitri.

Sehubungan itu, Pengarah PDN, Dr Noryati Abu Amin menggesa rakyat Malaysia tampil menderma darah bagi menampung keperluan 2,000 pek darah sehari di seluruh negara, termasuk di kawasan Lembah Klang yang memerlukan 500 pek darah sehari.

“Selain kes-kes kecemasan, bekalan darah  juga diperlukan untuk pesakit thalassemia dan kanser,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau melahirkan rasa bimbang dengan kekurangan  penderma darah pada Ramadan kerana ia  boleh menyebabkan pusat itu tidak dapat menampung permintaan bekalan darah yang memuncak pada Aidilfitri.

Seramai 1,000  pesakit di seluruh negara menerima bekalan darah setiap hari.

“Apa yang paling dirisaukan adalah bekalan untuk dua minggu pertama Syawal. Orang ramai tidak datang menderma kerana sibuk menyambut hari raya bersama keluarga manakala yang bukan Islam pula dalam mood bercuti.

“Keadaan ini adalah cabaran buat kami di PDN dan mana-mana unit transfusi darah. Walaupun masing-masing sibuk bercuti dan beraya, saya minta orang ramai supaya tidak lupa menderma darah bagi membantu menampung keperluan untuk pesakit,” katanya.

Sebagai persiapan berdepan keadaan kritikal itu, katanya, PDN dan pihak hospital menggiatkan kempen sepanjang Ramadan dengan melanjutkan tempoh pendermaan darah di PDN selain mengadakan kempen pada waktu malam di masjid dan rumah-rumah ibadat yang lain.

“Bekalan darah untuk kegunaan sepanjang Ramadan masih mencukupi kerana kami siap sedia sejak dua minggu sebelum bulan puasa bermula walaupun jumlah ini dikira mencukupi untuk keperluan semasa. Namun, ia akan menjadi kritikal sekiranya orang ramai tidak datang menderma,” jelasnya.

Dr Noryati berkata bekalan darah yang kurang adalah bagi kesemua jenis darah dengan A, B dan O amat diperlukan selain platelet dan plasma.

Beliau berkata, pihaknya perlu bertindak proaktif untuk meningkatkan bekalan darah berikutan adanya sebahagian komponen darah yang mempunyai tempoh hayat singkat dan perlu diganti dengan kerap.

“Tiap-tiap jenis darah mempunyai jangka hayat yang berbeza dan cara penyimpanannya juga berbeza,” katanya sambil memberitahu PDN atau mana-mana hospital terpaksa menghubungi penderma tetap bagi meminta mereka menderma sekiranya bekalan darah berdepan tahap kritikal,” katanya.

Dr Noryati berkata, sebanyak 2.3 peratus daripada 30 juta penduduk Malaysia merupakan penderma darah dengan 2015 menyaksikan peningkatan penderma iaitu lebih 230,000 penderma baharu.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan supaya jumlah itu terus meningkat dan masyarakat sedar tentang kebaikan serta kepentingan menderma darah. – Bernama

Uncategorized

Tahap kesedaran derma 
darah masih rendah

Ayub RAHMAT (kanan) melihat penderma darah semasa Kempen Derma

AYUB RAHMAT (kanan) melihat penderma darah semasa Kempen Derma Darah di Balai Islam Muafakat Abadi, Masjid Muhajirin Bukit Siput, Segamat, Johor, semalam. UTUSAN/Mohamed Saari

SEGAMAT 10 Jan. – Walaupun pelbagai promosi giat dijalankan oleh kerajaan, namun tahap kesedaran masyarakat untuk menderma darah masih rendah berbanding negara membangun lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, setakat ini hanya 2.5 peratus rakyat yang menderma darah secara berkala dan jumlah itu terlalu rendah serta gagal memenuhi keperluan negara ini.

“Ini adalah satu angka yang sa­ngat rendah berbanding 3.5 hingga lima peratus yang direkodkan di negara membangun lain dan sebab itu usaha menderma darah perlu ditingkatkan bermula di peringkat sekolah lagi.

“Selain itu, para penderma ti­dak perlu gusar dengan tahap ke­selamatan dan kebersihan peralatan yang digunakan kerana setiap penderma akan diberikan jarum baharu selain dikendalikan oleh petugas kesihatan terlatih serta profesional,” katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Balai Islam Muafakat Abadi, Masjid Muhajirin Bukit Siput, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, para penderma juga tidak akan mengalami kesan sampingan daripada amalan menderma darah, sebaliknya proses penghasilan darah baharu dalam badan akan terus berlaku.

Katanya, orang ramai tidak perlu terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak dalam media sosial kononnya menderma darah boleh menyebabkan obesiti sedang­kan dakwaan tersebut tidak benar, malah akan menjadikan badan penderma lebih sihat.

“Kita juga memerlukan bekalan darah yang mencukupi kerana selain pesakit talasemia yang memerlukan jumlah darah yang ba­nyak setiap bulan, kita turut bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk kemalangan dan bencana alam,” katanya.

“Setakat ini, bekalan darah di hospital-hospital kerajaan di nege­ri ini masih berada dalam keadaan mencukupi dan saya harap penglibatan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memenuhkan tabung darah dapat dicontohi,” katanya.

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online