2017, Inovasi, utusan malaysia

Cabaran sektor pertanian

Penggunaan jentera moden  mentransformasikan sektor pertanian.
Penggunaan jentera moden  mentransformasikan sektor pertanian.5
Penggunaan jentera moden mentransformasikan sektor pertanian.

 

Malaysia bermula dengan sebuah negara pertanian dengan tumpuan kepada tanaman komoditi seperti sawit, getah dan kelapa.

Sejarah negara memang jelas bergantung sektor tanaman komoditi yang kini dikenali sebagai pertanian industri yang dikendalikan bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Malaysia dikenali antara pengeluar terbesar komoditi tersebut sejak dahulu hingga sekarang dan tidak ada masalah timbul mengenainya dari segi teknologi dan ekonomi pengeluarannya.

Namun bagi sektor tanaman makanan yang menjadi tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, banyak perkara perlu dilihat dan diberikan perhatian serius, kerana terdapat banyak kekangan dalam pengeluarannya.

Isunya adalah bagaimana meningkatkan pengeluaran bagi semua subsektor yang melibatkan tanaman dan ternakan.

Ini bermakna pengeluaran yang tidak cukup tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi bagi menampung kekurangan tersebut, oleh itu kerajaan terpaksa mengimport bahan makanan.

Pada 2015 misalnya, import makanan mencecah RM43 bilion dengan defisit atau kekurangan dalam dagangan (BOT) sebanyak RM18 bilion.

Untuk sumber makanan, hanya produk ayam dan telur yang mampu dikeluarkan melebihi permintaan atau melepasi kadar 100 peratus tahap sara diri (SSL) sedangkan padi sebagai contoh, hanya 72 peratus SSL dapat dipenuhi.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan Malaysia berdepan cabaran bagi meningkatkan pengeluaran makanan menerusi pertanian.

Ketua Kluster Pertanian dan Makanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr. Ghizan Saleh berkata, bahawa, ada antara faktor tersebut adalah faktor biologi, faktor fizikal dan alam sekitar.

Beliau berkata, faktor biologi merangkumi varieti atau baka, iaitu Malaysia masih kekurangan varieti tanaman dan baka ternakan tempatan yang unggul. Kita masih banyak mengimport varieti dan baka ini dari luar.

Beliau berkata, antara faktor fizikal yang mempengaruhi adalah tanah di negara ini yang kebanyakannya berasid dan ini memerlukan kerja-kerja pengapuran untuk merawatnya sebelum dapat dimanfaatkan untuk tujuan penanaman.

“Ini telah menambahkan kos pengeluaran dan juga merosakkan struktur dan komposisi tanah. Keadaan alam sekitar yang sentiasa berubah dan tidak menentu juga banyak mempengaruhi kestabilan pengeluaran bahan pertanian,” ujarnya.

Ketika ini kata beliau, terdapat kira-kira 7.6 juta hektar tanah yang sesuai untuk pertanian tetapi 70 peratus daripadanya merupakan tanah berasid

Faktor tanah terbiar juga amat penting, iaitu sekarang terdapat sekitar 120,000 hektar (ha) tanah terbiar, dan angka ini meningkat setiap tahun kerana masalah pemegangan tanah yang tidak tukar nama daripada tanah pusaka atau tidak ada kesepakatan dalam keluarga untuk melakukan pembahagian tanah.

Dalam masa sama, keperluan baja dan sistem pengairan akan mengakibatkan kos-kos pertanian akan meningkat.

Menurut Dr Ghizan lagi, faktor yang berkaitan dengan persekitaran banyak memberi impak dan memberi kesan kepada bidang pertanian di negara ini.

Beliau berkata, antaranya, perubahan suhu bumi yang meningkat sehingga 0.2 darjah Celsius dalam tempoh tiap 10 tahun, akan mengakibatkan dijangka suhu naik sebanyak dua darjah Celsius pada tahun 2100.

Kenaikan suhu ini akan menyebabkan terjejasnya kehidupan tanaman dan ternakan yang banyak bergantung pada suhu sebagai faktor kehidupan.

Masalah pemanasan global ini juga akan menyebabkan kenaikan paras air laut dan sungai melimpah menyebabkan kawasan pertanian rosak akibat limpahan air masin.

Masalah kerosakan akibat banjir boleh mencecah sehingga berbilion-bilion ringgit .

Sebagai contoh bencana banjir di Thailand pada tahun 2011 telah menyebabkan kerugian pertanian sebanyak RM40 bilion manakala di Acheh, Sumatera semasa kejadian tsunami pada 2004 menyebabkan kerugian RM16 bilion kepada industri pertanian.

Menurut Ghizan lagi, kejadian kemarau dan banjir di negara kadangkala mencecah RM50 juta setahun.

Masalah seterusnya adalah kekurangan tenaga buruh menyebabkan industri pertanian terpaksa bergantung kepada 80 peratus buruh asing.

Ketika ini, sektor pertanian makanan tempatan terlalu bercirikan buruh intensif sedangkan rakyat tempatan lebih berminat kepada pekerja di bawah pendingin hawa.

Faktor teknologi juga kata Dr. Ghizan menjadi masalah yang tidak kurang pentingnya dan menjadi ancaman dalam usaha pemodenan pertanian.

“Teknologi kita banyak, tetapi banyak juga yang kurang sesuai kerana kurang diadaptasikan,” ujar beliau.

Contohnya teknologi rumah kaca di negara Barat dimanfaatkan untuk mengelak cuaca sejuk, manakala suasana di negara kita berbeza dan memerlukan rumah kaca tidak mengakibatkan suhu yang terlalu panas di dalamnya.

Penghasilan teknologi untuk membantu memodenkan sektor pertanian kurang berjaya kerana tidak sampai kepada pengguna menerusi pemindahan teknologi.

Peranan ini wajar dimainkan oleh jabatan dan kementerian tertentu yang terlibat.

Faktor ekonomi juga penting kerana ia berkait dengan cara memasarkan hasil pertanian

Sebagai contoh kata Dr. Ghizan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu berusaha lebih dalam memberikan jaminan harga yang stabil kepada pengusaha, bagi memastikan petani mempumyai saluran pemasaran yang melindung mereka.

Jika tidak, mungkin satu sistem insentif harga seperti padi juga perlu diwujudkan untuk tanaman-tanaman lain yang kritikal, seperti jagung bijian untuk ternakan ayam dan beberapa sayuran terpilih.

Beliau juga menyentuh mengenai isu keselamatan makanan yang memerlukan kerajaan memantapkan jaminan bekalan bagi mengelakkan berlakunya krisis seperti yang pernah berlaku pada 2008.

Stok penimbal makanan utama, seperti beras perlu dimantapkan, dan setakat ini untuk beras, ia sudah meningkat dari 30 hari kepada 45 hari. Ini bermakna, jika tidak ada pengeluaran atau import beras, Malaysia boleh bertahan tanpa bekalan ini selama tempoh tersebut.

“Adalah dicadangkan agar sistem stok penimbal seumpama ini juga diwujudkan untuk jagung bijian yang merupakan makanan penting untuk ayam ternakan,” katanya.

Malaysia juga katanya berdepan dengan isu kenaikan harga makanan terutama padi, gandum, jagung dan kacang soya.

Terdapat beberapa isu yang menghambat sektor pertanian makanan iaitu kenaikan harga seperti mana yang berlaku ketika krisis dahulu (2007/2008) yang mencatatkan kenaikan antara 125 hingga 150 peratus.

Kenaikan harga makanan seperti jagung juga antara lain disebabkan oleh polisi kerajaan negara luar yang menggunakan bahan makanan seperti jagung diproses menjadi bahan bakar bio (biofuel).

Sumber daripada Utusan Malaysia Online

Advertisements
Inovasi

Tutor lonjak pencapaian UPSR

KANDUNGAN akhbar pendidikan terbaharu Utusan Malaysia, Tutor yang kini memasuki kali kedua keluarannya tahun ini, diakui mampu membantu meningkatkan pencapaian murid sekali gus membaiki Gred Purata Sekolah (GPS) sekolah.

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang, pertaruhan sekolah melanggan Tutor bagi melengkapkan persediaan murid menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sangat berbaloi.

Hal ini kerana, menurut Guru Besarnya, Khodijah Aziz, peratus muridnya yang lulus dalam peperiksaan tersebut meningkat selepas menggunakan Tutor untuk membuat latihan ulang kaji dalam bilik darjah.

Katanya, murid-murid juga memberi kerjasama yang baik dan menunjukkan minat menggunakan Tutor dalam pembelajaran mereka sama ada dalam bilik darjah mahu pun di rumah.

‘‘Kita dapati Tutor amat membantu sekolah dalam melengkapkan persediaan murid dalam minggu-minggu terakhir UPSR, walaupun pada waktu itu, keadaan murid agak tertekan namun dengan adanya Tutor, ia sedikit sebanyak membantu melengkapkan persediaan mereka,’’ katanya.

Beliau ditemui dalam majlis penyerahan Tutor UPSR sebanyak 400 naskhah di SK Ampang, Selangor baru-baru ini.

Selain itu, kata Khodijah, pihak sekolah berhasrat meluaskan penggunaan Tutor untuk murid Tahun 4 berbanding hanya diperuntukkan sebelum ini untuk Tahun 5 dan 6 di sekolah itu.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris SK Ampang, Rozina Abdullah berpendapat, kandungan Tutor khususnya mata pelajaran Bahasa Inggeris lebih lengkap dan padat dengan soalan berkualiti.

‘‘Semestinya pihak sekolah dan guru amat yakin untuk menggunakan Tutor memandangkan ia dihasilkan oleh guru pakar mata pelajaran dan disokong oleh Kementerian Pendidikan.

‘‘Malah, set soalan latih tubi yang terdapat pada Tutor ringkas dan padat, tidak terlalu sukar untuk difahami oleh murid,’’ katanya.

Bagi murid Tahun 5, Mohd. Danish Danial Azrai, dia sudah serasi menggunakan Tutor selepas mula mengenalinya di pusat sumber sekolah.

Katanya, dia ada mencuba set soalan Tutor dan mendapati ia agak mencabar serta memerlukan rujukan dengan guru mata pelajaran.

‘‘Agak sukar melakukan soalan Tutor secara sendirian, kebiasaannya saya lakukan dengan rakan atau guru.

‘‘Biasanya guru akan suruh murid mencuba terlebih dahulu di rumah dan kami semua akan mencari penyelesaiannya bersama dengan guru keesokan harinya,’’ katanya.

Bagi Nur’izatul Humaira Hasbullah, 10 tahun, dia menggemari Tutor disebabkan ruang muka surat akhbar itu yang ceria dengan grafik berwarna dan kartun menarik.

Katanya, faktor itu mendatangkan suasana ceria dan murid tidak bosan menggunakan bahan tersebut di samping Tutor boleh dibaca pada bila-bila masa walaupun dalam bas awam ketika pulang ke rumah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140120/pe_01/Tutor-lonjak-pencapaian-UPSR#ixzz2rGvDBVvg
© Utusan Melayu (M) Bhd

ICT/Teknologi, Inovasi, Program

SK Kandis tempat kelima pertandingan robotik dunia

BACHOK 25 Nov. – Tiga anak petani yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kandis dekat sini, berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila merangkul tempat kelima dalam Pertandingan Inovasi Robotik Dunia 2013 di Jakarta, Indonesia pada 14 hingga 17 November lalu.

Mereka ialah Mohd. Safuan Abdul Rahim, 12; Mohd. Muaz Mat Lazim, 12, dan Mohd. Haziq Nordin, 11.

Mereka telah menunjukkan keupayaan dan ketangkasan membina robot untuk bersaing dengan peserta dari 26 buah negara di seluruh dunia.

Guru pengiring, Khairul Azman Awang Hamat berkata, tiga anak petani itu adalah murid pintar sekolah luar bandar yang menjuarai pertandingan robotik peringkat sekolah rendah negeri ini.

Beliau berkata, mereka dipilih mewakili negara setelah dinobatkan sebagai juara pemasangan komponen robotik peringkat kebangsaan yang di Melaka pada 24 hingga 26 September lalu.

“Hanya mereka anak Melayu tunggal dari kawasan luar bandar yang berpeluang menunjukkan keupayaan di pentas pertandingan tersebut.

“Walaupun gagal menewaskan murid dari Rusia dan Taiwan, namun penglibatan mereka cukup membanggakan kerana berjaya mengharumkan Malaysia,” katanya ditemui di SK Kandis hari ini.

Pertandingan Inovasi Robotik Dunia 2013 anjuran World Robotic Oliympiad Association Ltd., yang berdaftar di Singapura menyaksikan murid berusia 12 tahun ke bawah dari Kumpulan Newton dan Betta yang mewakil Rusia mendapat tempat pertama.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan Hao-Bang-Bang dari Taiwan dan tempat ketiga (Kumpulan CJ7), manakala dua pasukan negara iaitu SK Kandis Robotics Team (kelima) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min A (keenam), seterusnya menewaskan pasukan tuan rumah, China, Jepun dan Greece.

Khairul Azman berkata, bakat murid itu dicungkil bersandarkan kepada kecemerlangan mereka dalam mata pelajaran Sains, selain memiliki aspek kepemimpinan di sekolah berkenaan.

“Dengan kejayaan tersebut, SK Kandis dinobatkan sebagai penerima anugerah Kecemerlangan Sains dan Teknologi dalam aktiviti kokurikulum peringkat negeri Kelantan tahun ini,” katanya.

“Kejayaan ini juga hasil dorongan semua pihak termasuk guru besar, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok dan Jabatan Pelajaran negeri,” katanya.

Sementara itu, ketua peserta SK Kandis Robotics Team, Mohd. Safuan berkata, kejayaan itu membuktikan murid sekolah luar bandar berupaya bersaing dengan sekolah-sekolah bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan pembelajaran.

“Saya bangga kerana berpeluang untuk ke peringkat antarabangsa dan ini adalah kali pertama saya ke luar negara. Kami sudah berusaha untuk meletakkan Malaysia di tempat pertama, namun tewas dari segi tempoh ketangkasan waktu ditetapkan.

“Sepanjang tempoh di luar negara, saya turut dihadiahkan dengan khabar gembira iaitu mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Ayah yang mengambil keputusan ketika saya berada di Indonesia baru-baru ini,” katanya yang bercita-cita menjadi pereka automotif.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Hussain Awang ketika dihubungi berkata, JPN akan terus memberi sokongan kepada sekolah-sekolah yang berupaya mengetengahkan bakat pelajar dalam pelbagai kegiatan di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, kejayaan yang dicapai bukan sahaja menunjukkan piawaian dan standard pendidikan berjaya ditempa oleh guru dan pelajar tetapi merupakan bakti yang perlu mendapat penghargaan kerana mengharumkan nama jabatan, sekolah dan negara di peringkat global.

Inovasi

Transformasi Sekolah Amanah berjaya

Sejak beberapa tahun lalu, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kangkar Pulai, Johor, S. Santhakumari dan barisan kakitangannya menghadapi kesukaran dalam melakukan perubahan untuk meningkatkan pencapaian sekolah.

Usaha yang digerakkan juga lebih sukar tanpa penglibatan ibu bapa yang tidak berminat untuk menyertai apa sahaja program yang digerakkan oleh sekolah selain hanya mengikuti perkembangan pencapaian anak mereka melalui laporan kad penilaian akademik sahaja.

Namun, apabila terpilih antara 10 buah sekolah perintis Sekolah Amanah di bawah program Yayasan Amir tahun 2011, pemikiran Santhakumari dan seluruh warga SJKT Kangkar Pulai berubah dan pada hari ini, mereka sedang menikmati hasil transformasi yang baharu sebahagian dilaksanakan di bawah program tersebut.

Baharu dua tahun digerakkan di bawah program Sekolah Amanah, sekolah tersebut telah mengalami pelbagai perubahan dan paling ketara menurut Santhakumari, kedatangan murid ke sekolah meningkat dengan cemerlang, suasana bilik darjah kini lebih ‘bising’ berbanding sebelum ini dan yang paling menggembirakan para guru adalah sambutan ibu bapa dalam setiap program sekolah.

”Segalanya sudah nampak mudah dan lebih baik berbanding sebelum ini kerana murid kelihatan teruja dan seronok untuk ke sekolah, hubungan antara murid dengan guru lebih rapat, kami mudah bergurau antara satu sama lain berbanding dahulu seperti ada jurang, termasuk juga dengan ibu bapa.

“Program Sekolah Amanah mengajar saya dan guru-guru agar menekankan keseronokan pembelajaran bukan lagi hanya guru sahaja memberi kerana pada waktu ini, guru hanya menjadi penasihat atau fasilitator dan selebihnya, murid memainkan peranan,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis lawatan ke sekolah itu dan taklimat media mengenai perkembangan Sekolah Amanah anjuran Yayasan Amir yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan LeapEd Services, John D. Chacko.

SJKT Kangkar Pulai merupakan salah sebuah daripada 13 buah Sekolah Amanah di negara ini yang diterajui Yayasan Amir iaitu sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Objektif penubuhan Sekolah Amanah adalah untuk meningkatkan pembangunan modal insan di samping melahirkan pemimpin masa hadapan.

Sekolah Amanah adalah sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan terpilih yang diurus secara usahasama oleh sektor swasta dan pentadbir-pentadbir sekolah di bawah naungan Kementerian Pendidikan.

Dari segi pengurusan sekolah, Kementerian Pendidikan memberi kebebasan kepada pentadbir, guru-guru dan pihak swasta dalam bidang-bidang tertentu seperti kurikulum, kewangan dan perolehan, pengurusan kakitangan serta carta aliran pelaporan di samping menyediakan garis panduan akauntabiliti bagi mengelak pertindihan tugas.

Yayasan Amir melantik LeapEd Services, sebuah penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan yang diasaskan di Malaysia untuk menggerakkan program dan melatih guru-guru di sekolah terpilih dalam tempoh lima tahun bagi mencapai standard yang diperlukan.

Selain berjaya meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah, menurut Santhakumari, peratus pencapaian keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu turut meningkat walaupun baharu setahun program itu digerakkan iaitu dari 56.14 peratus tahun 2011 meningkat kepada 66.18 tahun lalu.

“Gred purata sekolah (GPS) UPSR juga sudah mula menampakkan perubahan iaitu 2.26 pada 2011 turun kepada 1.84 tahun lalu, malah pencapaian kokurikulum murid juga meningkat dengan cemerlang antaranya termasuklah menjadi johan pertandingan syarahan bahasa Malaysia peringkat negeri dan johan Science Fair For Young Children,” katanya.

Perubahan positif dan kecemerlangan SJKT Kangkar Pulai turut dikongsi salah seorang bapa murid, R. Manimaran, 41, yang mengakui perubahan turut berlaku ke atas anaknya, Mukeshakumar, 10, yang kini lebih berkeyakinan dan gemar memulakan perbualan berbanding sikap pendiam sebelum ini.

“Dulu anak saya lebih suka mendiamkan diri dan tidak mengambil bahagian dalam bilik darjah tetapi sekarang sejak sekolah terpilih sebagai Sekolah Amanah, sikap negatif anak sudah berubah malah dia seolah-olah tidak mahu langsung terlepas apa sahaja aktiviti yang diatur oleh sekolah,” katanya.

Sementara itu menurut John D. Chacko, antara matlamat pengenalan Sekolah Amanah adalah memberi kemahiran kepada murid untuk berfikir, membina dan membuat keputusan selain mewujudkan suasana pembelajaran yang tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Kata beliau, sepanjang lima tahun program itu akan menekankan kepada penyediaan model transformasi pendidikan di sekolah, berkongsi dengan guru pelan praktis pembelajaran, program bertindak sebagai rujukan setiap praktis pembelajaran dan akhirnya sekolah akan bertindak sendirian melaksanakan model pembelajaran yang ditetapkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131111/pe_01/Transformasi-Sekolah-Amanah-berjaya#ixzz2kOF89nIQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Inovasi

Ketahui hak intelek pelajar

Setiap pelajar harus mengetahui hak paten produk inovasi yang dihasilkan dan dilindungi di bawah agensi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelak ia diciplak oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata, pencapaian pelajar dalam ciptaan produk inovasi amat membanggakan dan sering memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.

Misalnya, kata beliau, pada pertandingan World Robotic Olympiad, Malaysia memenangi kejuaraan itu sebanyak tiga kali iaitu 2009, 2010 dan yang terbaru memenangi 11 anugerah cemerlang dan dua anugerah khas pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, hasil inovasi tersebut tidak difailkan bagi mendapat perlindungan harta intelek dan telah mengakibatkan peniruan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Apa yang lebih menyedihkan, apabila kos mengambil tindakan mahkamah terlalu mahal dan ini terus memberi ruang kepada pihak terbabit untuk mengeksploitasikan hasil inovasi pelajar,” katanya ketika Menutup IP Summer Camp 2013 di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya baru-baru ini.

Perkhemahan selama tiga hari dua malam itu dianjurkan buat julung-julung kali oleh MyIPO dan berjaya menarik penyertaan 200 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara.

Ia diadakan bertujuan untuk mendedahkan kepada golongan pelajar mengenai kepentingan dan usaha mereka terhadap perlindungan harta intelek menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang perkhemahan berlangsung.

Selain itu menurut Azizan, melalui penganjuran IP Summer Camp diharap mampu meningkatkan pemahaman dan meluaskan ilmu pengetahuan pelajar terhadap kepentingan penjagaan harta intelek agar tidak boleh diciplak sewenangnya oleh pihak lain.

“Ini kerana, harta intelek merupakan satu bentuk kekayaan baru dalam penjanaan ekonomi dan kreativiti ini dapat menyediakan peluang yang lebuh luas ke arah meningkatkan pendapatan,” ujarnya.

Katanya, program itu mampu mendidik pelajar membudayakan elemen kreativiti dan inovasi pada diri setiap pelajar dan menyediakan ruang kepada mereka untuk menterjemahkan kreativiti masing-masing melalui aktiviti yang diadakan.

Sementara itu, pelajar yang ditemui melahirkan rasa teruja mereka terhadap penganjuran program tersebut malah membantu mereka menambah pengetahuan dalam ilmu harta intelek.

Seorang pelajar Tingkatan Empat, Nurfaezah Atiqah Shafe’ee, 14, berkata, program yang diadakan secara santai melalui pendekatan ‘learn lerning’.

“Setiap pelajar juga terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan berpeluang menunjukkan bakat masing-masing dalam bidang yang dikuasai berbanding proses pembelajaran sehala biasa,” katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Tiga SMK Putrajaya Presint 9 (1), Muhammad Afiq Samsudin, dia merasa seronok dan terhibur walaupun program berlangsung pada masa agak panjang.

Ujarnya, pelajar juga didedahkan dengan penggunaan media sosial seperti Facebook dan Twitter dalam memperolehi maklumat berhubung kepentingan harta intelek.

Pelajar SM Sains Tuanku Munawir, Muhammad Arid Hafiz Roslan, 14, berkata dia mula mengetahui kepentingan dan hak melindungi hasil inovasi pelajar.

Ini kerana, katanya, dia beranggapan kepentingan tersebut terletak pada tanggungjawab pihak berkuasa.

Manakala kata Nurul Najwa Sidik, melalui program itu, dia berpeluang meluaskan pemahamannya terhadap budaya kreativiti dan inovasi.

Dia yang merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Seri Puteri berkata, pada masa yang sama, dia berpeluang memperolehi maklumat dalam menghayati dan menghormati harta intelek.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130624/pe_01/Ketahui-hak-intelek-pelajar#ixzz2XBM0dbTf
© Utusan Melayu (M) Bhd

2013, Inovasi

Teruja perpustakaan ‘manusia’

Bayangkan kalau sebelum ini membaca tentang kisah seorang pengembara menerusi catatan beliau tapi kini anda berpeluang bertanya terus pengalaman tersebut dan mendapat jawapannya serta merta dalam suasana penuh santai dan telus.

Lebih menarik anda dapat menyelami hati dan nada suara si pencerita yang pastinya akan memberikan lebih impak berbanding pembacaan sahaja.

Idea tercetusnya Human Library yang pertama ialah pada tahun 2000 di Denmark oleh sekumpulan belia daripada pertubuhan Stop The Violence.

Tujuan mereka sungguh murni iaitu mahu mengurangkan isu perkauman dan keganasan di kalangan belia di Denmark.

Konsep Human Library ini kemudian telah berkembang ke lebih daripada 30 negara di seluruh dunia dan terus meningkat tahun demi tahun.

Idea untuk memperkenalkan Human Library di Malaysia dicetuskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Scope Group, Christoffer Erichsen, yang juga merupakan salah seorang pengasas Human Library di Denmark.

“Perancangan projek ini telah bermula sejak tahun 2011 lagi ketika kami meninjau jenis buku untuk disertakan serta maklum balas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kerajaan yang relevan.

“Kami menyedari bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam usaha untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat yang terpinggir (marginalised population) di komuniti, seperti stigma, diskriminasi dan sebagainya,” ujar Erichsen.

Projek perintis Human Library telah diadakan sempena Persidangan Women Deliver 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Pihak KLCC dan Women Deliver 2013 berbesar hati memberi ruang kepada penganjuran julung kali Human Library di Malaysia.

Sama seperti meminjam buku di perpustakaan

Proses Human Library ini sama seperti proses meminjam buku di perpustakaan biasa, di mana pembaca akan mendaftar nama dan kemudian diberikan kad perpustakaan.

Melalui kad ini, pembaca kemudiannya akan dibantu oleh pustakawan untuk bertemu dengan ‘buku manusia’ (human book) yang menjadi pilihan pembaca.

“Pembaca dan human book kemudian diberi masa 15-20 minit untuk berdialog dan ini adalah kaedah ‘membaca’ di Human Library.

“Ketika sesi ‘bacaan’ ini, pembaca akan mendapat peluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang human book berkenaan – seolah-olah membaca sebuah buku, tetapi pembaca berpeluang untuk ‘membaca’ manusia yang mewakili tajuk-tajuk buku yang menarik.

” ‘Buku-buku’ ini dijemput melalui rakan NGO dan rangkaian kami, dan mereka mewakili golongan yang dianggap tersisih daripada masyarakat umum disebabkan penyakit, keadaan hidup mahupun pekerjaan,” jelas Erichsen lagi.

Objektif Human Library adalah untuk menggalakkan dialog, mengurangkan prejudis dan meningkatkan toleransi sesama manusia.

Ia juga satu platform untuk memberikan ruang kepada kumpulan masyarakat yang terpinggir daripada pelbagai latar belakang.

“Platform ini mengiktiraf kepelbagaian, membina persefahaman, merapatkan jurang dan mewujudkan perpaduan sesama manusia.

“Untuk Human Library yang pertama ini, sebanyak 12 jenis ‘buku’ telah kami tawarkan, antaranya, The Transwoman, The Lady with The Veil, The Muslim Feminist, The Person living with HIV, The Sex Worker, The Single Mother, The Young Entrepreneur, The African Student, The Arab, The Civil Engineer, The Teenager dan The People Champion.

“Sesiapa sahaja boleh meminjam dan membaca ‘buku-buku’ tersebut. Human Library juga terbuka kepada semua ahli masyarakat yang berminat.

“Berdasarkan pengalaman penganjuran di KLCC, apa yang dapat dilihat tentang sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan.

“Dalam tempoh empat jam acara berlangsung, seramai 90 pembaca telah mengambil bahagian dan membaca ‘buku-buku’ di Human Library.

“Ramai yang teruja kerana belum pernah ada acara sebegini di negara ini. Ramai juga yang teruja dan sangat terharu kerana berpeluang untuk bertemu dan berbual dengan ‘buku-buku’ yang sebelum ini mungkin tidak pernah terlintas untuk dikenali.

“Ada juga ‘buku’ yang mengatakan mereka terharu dengan sambutan dan galakan pembaca. Maklum balas yang diterima menunjukkan pembaca dan buku sama-sama mendapat manfaat melalui platform unik ini,” jelas Erichsen.

Erichsen berkata, untuk Human Library pertama ini, pihak Scope Group berkerjasama dengan Chaserz, sebuah organisasi belia, sebagai mentor dalam membantu mereka untuk menjayakan program tersebut.

Mereka juga telah melibatkan sukarelawan di kalangan pelajar universiti untuk membantu dan bertindak sebagai pustakawan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130613/pe_01/Teruja-perpustakaan-manusia#ixzz2W90Nff8g
© Utusan Melayu (M) Bhd

2012, Arkib Berita, Forum, ICT/Teknologi, Inovasi, Pembangunan Sekolah, Rencana

Sekolah Malaysia raih emas robot dunia

31 Disember 2012, Isnin

Kontinjen Malaysia meraikan kejayaan memenangi satu emas dan beberapa anugerah lain dalam pertandingan International Robot Olympiad 2012 di Gwangju, Korea Selatan, baru-baru ini.

Kontinjen Malaysia yang disertai oleh 18 orang pelajar dan lima guru berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi satu emas, dua gangsa dan tiga Anugerah Khas dalam International Robot Olympiad 2012 di Gwangju, Korea Selatan, baru-baru ini.

Ketua Kontinjen, Halimah Karim berkata, pencapaian itu merupakan yang terbaik pernah dicapai oleh pasukan Malaysia sejak lima tahun lepas.

“Malah lebih membanggakan apabila pasukan kita berjaya memenangi hampir kesemua anugerah yang dipertandingkan dalam kategori kreatif,” katanya dalam satu kenyataan melalui e-mel baru-baru ini.

Pasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu telah mendapat pingat emas kategori kreatif melalui robot ciptaan mereka yang berperanan menjaga kesihatan warga emas.

Dalam kategori yang sama, MRSM Tun Abdul Razak Pekan dan MRSM Kuching masing-masing memenangi pingat gangsa.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan dan MRSM Kuching berjaya memenangi dua anugerah Highly Commended dan satu anugerah Technical Award.

Kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Robot Prison Break dan Robot Transporter.

Pertandingan dengan tema Caring For Age People itu disertai oleh pasukan dari seluruh dunia seperti Kanada, Amerika Syarikat, Mexico, China, Korea Selatan dan Indonesia.

Pelbagai inovasi baharu dan kreatif telah dihasilkan dalam pertandingan anjuran IRO 2012 Comittee dengan kerjasama Gwangju Techno Park ini.

Pada pertandingan kali ini, kontinjen Malaysia turut disertai oleh beberapa ibu bapa pelajar sebagai tanda sokongan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121231/pe_03/Sekolah-Malaysia-raih-emas–robot-dunia#ixzz2GmCw4BrG
© Utusan Melayu (M) Bhd