2011, Arkib Berita, Biasiswa/Pinjaman/Bantuan/Insentif, ICT/Teknologi

Microsoft: Penuntut Malaysia juara dunia

04 Ogos 2011, Khamis

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm
CLEMENT Ng Chwin Chiat (dua dari kiri) berjaya meraih biasiswa bernilai AS$5,000 pada pertandingan dunia Microsoft Word 2010 di San Diego, California, kelmarin. – BERNAMA

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Penuntut Malaysia, Clement Ng Chwin Chiat, yang memenangi pertandingan Microsoft Word 2010, muncul sebagai juara dunia.

Clement, meraih biasiswa bernilai AS$5,000 pada pertandingan dunia Microsoft Office 2011, yang menarik penyertaan kira-kira 228,000 orang dari 57 negara, bersaing untuk menunjukkan kepakaran mereka dalam produk Microsoft Office.

Certiport, penyedia utama pembangunan pensijilan peperiksaan, perkhidmatan pengurusan program dan penawaran yang menganjurkan pertandingan itu, memilih penuntut Malaysia itu sebagai pemenang pada majlis yang berlangsung di San Diego, California, semalam.

Ia juga mengumumkan juara bagi kategori lain iaitu Chen Xing dari China dalam Microsoft Excel 2010; rakyat Jepun, Mizuki Terao (Microsoft Word 2007); warga Britain, Rebecca Rickwood (Microsoft Excel 2007) dan rakyat Taiwan, Liao Yu-Xuan (Microsoft PowerPoint 2007).

Dalam kenyataannya, Certiport berkata, para peserta yang mengambil bahagian bersaing untuk menunjukkan kepakaran mereka dalam produk Microsoft Office dan 79 finalis daripada 29 negara mengambil bahagian pada pusingan akhir pertandingan. – BERNAMA

Advertisements
2011, Arkib Berita, Keselamatan Pelajar/Kesihatan, Masalah Pelajar, Program

Kem motivasi bagus, tapi modul kena tukar

04 Ogos 2011, Khamis

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Selepas pendedahan dibuat oleh 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) berhubung deraan secara fizikal ketika mengikuti kursus motivasi dilaporkan semalam, sebuah sekolah lagi tampil mendedahkan perkara sama hari ini.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 2 (SMKPJ2), Yip Siew Ling memberitahu, seramai 54 pelajar lelaki dan 44 pelajar perempuan sekolah itu yang mengikuti kem tersebut di tempat sama dari 26 hingga 28 Februari tahun lalu turut merasai pengalaman serupa.

Menurutnya, selepas kem tersebut tamat, kira-kira 10 laporan diterima daripada ibu bapa pelajar terbabit mengenai layanan kurang baik yang diterima anak mereka ketika menyertai kem tersebut yang didakwa turut ditampar, disepak, dilemparkan dengan kata-kata kesat tetapi tidak dibotakkan kepala.

Bagaimanapun, beliau tetap menyokong supaya kem seumpama itu diteruskan memandangkan sekolah berkenaan memang berdepan dengan masalah disiplin pelajar seperti ponteng sekolah dan kelas, tidak buat kerja rumah dan bercakap kasar dengan guru.

“Hasil kursus yang diadakan itu, pihak SMKPJ2 mendapati masalah disiplin di sekolah berkenaan berkurangan, malah majoriti ibu bapa juga bersetuju dengan objektif kem itu dianjurkan iaitu untuk membantu pelajar terlibat menjadi lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Siew Ling berpendapat modul yang diguna pakai pihak terlibat perlu diubah mengikut kesesuaian pelajar.

“Bagi kami, sepatutnya latihan yang dikenakan ke atas banduan tidak wajar dijalankan kerana ia agak kasar,” katanya.

2011, Arkib Berita, Forum, Masalah Guru, Surat

Boleh mohon naik pangkat ke Gred DG48

Rabu , 03 Ogos 2011

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BolehmohonnaikpangkatkeGredDG48/Article

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia ingin merujuk kepada surat pembaca ‘Teropong Jauh, Johor’ dalam ruangan Surat Berita Harian bertarikh 18 Julai 2011 – Guru Ex-PPLD minta diberi kelonggaran naik pangkat.

Kerajaan membuat keputusan pada akhir Oktober 2009 untuk membenarkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang dinaikkan pangkat ke Gred DG44 menggunakan pengalaman sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) untuk diambil kira bagi kenaikan pangkat ke Gred DG48 (terpakai kepada PPPS DG44 yang belum menggunakan pengalaman tersebut semasa kenaikan pangkat secara Time-Based ke Gred DG44).

Sehubungan itu, pengadu boleh memohon untuk kenaikan pangkat ke Gred DG48 secara Time-Based Ex-PPPLD dengan menggunakan pengalaman semasa PPPLD tertakluk kepada syarat-syarat umum dan khusus yang ditetapkan sebelum dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Kaedah yang dibenarkan adalah tiga tahun pengalaman sebagai PPPLD bersamaan satu tahun pengalaman di Gred DG44.

Dalam hubungan ini, syarat kelayakan asal yang ditetapkan bagi urusan time-based dalam surat JPA(S) 324/14/9 Klt.22 (44) bertarikh 28.10.2002 bagi kenaikan pangkat ke Gred DG48 masih diguna pakai, iaitu kelayakan mata gaji dan tempoh perkhidmatan yang ditetapkan masih perlu dipatuhi semasa menimbangkan PPPS terlibat ke Gred DG48.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

2011, Arkib Berita, Bahasa, IPT, Kurikulum, Masalah Guru, Pembangunan Sekolah

Lagi 3,793 guru sandaran dilantik semula

03 Ogos 2011, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Seramai 3,793 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) daripada baki 7,258 orang yang belum dilantik telah dilantik semula ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan pelantikan itu dibuat menerusi perjumpaan khas antara kementeriannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Kementerian Kewangan pada 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Rosli Mohamed pada 1 Julai lalu.

“Seramai 972 orang daripada kumpulan yang dilantik ini akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Disember ini.

“Seramai 2,821 yang lain akan mengikuti latihan perguruan di institut pendidikan guru (IPG) untuk sesi pengambilan Januari 2012,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pada bulan Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan seramai 13,184 GSTT tahun 2010 akan dilantik semula bagi tahun 2011 dan berikutan itu pada Mei lalu seramai 5,926 orang telah dilantik sebagai GSTT semula dan tinggal baki seramai 7,258.

Menurut Muhyiddin, guru yang memiliki ijazah dan berkursus di IPG, mereka dijadual mengikuti latihan selama 18 bulan dan bagi yang tidak mempunyai ijazah akan mengikuti latihan untuk tempoh 66 bulan iaitu di bawah program ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Beliau menjelaskan, bagi baki GSTT berjumlah 3,465 orang itu, kedudukan mereka akan ditentukan kelak selepas disahkan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

“Daripada jumlah ini mungkin ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas selesai semakan semula ke atas maklumat mereka.

“Bagi yang dikenal pasti tidak layak untuk dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos ini,” kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya berkata, penempatan bagi mereka yang dilantik semula itu tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau pilihan asal.

Katanya, penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

“Kerajaan amat prihatin dengan segala keluh-kesah dan permasalahan GSTT, baik yang sering dibangkitkan di dada-dada akhbar dan media elektronik mahupun di setiap pertemuan bersama-sama guru-guru tersebut,” kata Muhyiddin.

2011, Arkib Berita, Keselamatan Pelajar/Kesihatan, Masalah Pelajar, Program

Botakkan pelajar: Laporan dihantar kepada Kementerian Pelajaran

03 Ogos 2011, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

JOHOR BAHRU 2 Ogos – Laporan penuh mengenai dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang mereka didera secara fizikal termasuk dibotakkan kepala ketika mengikuti kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu sudah dihantar kepada Kementerian Pelajaran semalam.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, laporan itu disediakan hasil maklumat pihak yang terlibat iaitu pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru.

“Kita telah serahkan laporan kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan lanjut. Laporan itu perlu diserahkan segera bagi memastikan ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan 33 pelajar SMKBBU yang bukan sahaja dibotakkan tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Sementara itu, Pengetua SMKBBU, Siti Raudah Moh memberitahu, beberapa pegawai Jemaah Nazir Sekolah turut berkunjung ke sekolah itu untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.

“Mereka yang terbabit secara langsung dalam siasatan itu termasuk saya dan dua guru pengiring kumpulan pelajar berkenaan semasa menjalani program itu di Penjara Kluang,” katanya.

Kata beliau, pihaknya turut mengadakan perjumpaan dengan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru, beberapa kakitangan yang berkaitan daripada Jabatan Pelajaran negeri dan wakil Perunding Latihan Koperasi Penjara (Kopen), Kluang yang bertanggungjawab mengendalikan kursus itu.

“Sebelum kursus dan selepas isu ini timbul, saya dimaklumkan oleh perunding tersebut bahawa dakwaan pelajar didera secara fizikal termasuk dipukul, digari dan dipukul di perut adalah tidak betul.

“Ia sekadar simulasi bagi menerangkan keadaan dan perkara yang dialami oleh banduan di dalam penjara. Mesej yang hendak diterjemahkan kepada para pelajar adalah supaya bencikan penjara dan elakkan diri daripada masuk penjara,” katanya.

Siti Raudah berkata, pihaknya membuat keputusan menghantar pelajar berkenaan yang menghadapi masalah disiplin menjalani kursus itu setelah mendapat maklum balas dari Sekolah Menengah Seri Rahmat dan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir, Majidee Baru yang turut menghantar pelajarnya menjalani kursus sama.

“Saya mendapat maklum balas daripada pihak pengurusan kedua-dua sekolah terbabit bahawa impak kursus itu cukup baik apabila para pelajar menunjukkan perubahan akhlak yang bagus berbanding sebelum menjalani kursus tersebut,” katanya.

2011, Arkib Berita, Keselamatan Pelajar/Kesihatan, Masalah Pelajar, Program

Kursus motivasi tidak wajar dera pelajar – NGO

03 Ogos 2011, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan guru dan ibu bapa hari ini melahirkan rasa terkilan dan mengecam pelaksanaan kursus motivasi yang dikatakan mendera 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU).

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, tujuan program itu mungkin baik, namun cara penyampaian dengan mendera tidak sepatutnya berlaku.

“Sebelum sesuatu program dibuat, pihak terlibat perlu teliti sedalam-dalamnya aktiviti yang dijalankan. Kejadian itu dilihat memberi penekanan kepada motivasi fizikal apabila membotakkan peserta sementara latihan keras ala tentera sehinggakan memukul pelajar pula, bukanlah cara yang wajar.

“Perubahan yang penting datang dari dalam bukan luaran. Motivasi dengan cara yang lebih halus dan manis bagi menyedarkan hati sanubari seseorang tanpa perlu menyakitkan mereka adalah lebih baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sekumpulan pelajar sekolah berkenaan yang mendakwa mereka didera secara fizikal semasa menyertai kem motivasi di Penjara Kluang minggu lalu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan meminta pihak Jabatan Pelajaran menyiasat bagaimana program seperti itu boleh dilaksanakan.

“Pihak sekolah tidak pernah menganjurkan program yang mendera pelajar. Lagipun, cara mendera sudah tidak diguna pakai di zaman ini kerana ia kurang membawa kebaikan dan hanya kesengsaraan kepada pelajar,” ujarnya.

Tambah Hashim, pihak yang melakukan penderaan perlu bertanggungjawab dengan tindakan mereka.

Katanya, Jabatan Pelajaran Negeri juga perlu menyemak dengan teliti kertas kerja program yang dihantar sebelum memberi kelulusan.

2011, Arkib Berita, Keselamatan Pelajar/Kesihatan, Masalah Pelajar, Program

Tiada layanan luar batasan

03 Ogos 2011, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm
Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 2 Ogos – Siasatan awal Jabatan Penjara mendapati dakwaan para pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) Johor Bahru, bahawa mereka diberi layanan di luar batasan semasa menyertai kursus motivasi baru-baru ini, adalah tidak benar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkifli Omar berkata, ia berdasarkan siasatan awal pihaknya terhadap kakitangan yang terlibat dalam mengendalikan kursus tersebut.

Beliau bagaimanapun mengakui tindakan membotakkan kepala para pelajar kerana ia merupakan sebahagian daripada modul kursus.

Katanya, tujuan utama program adalah untuk memotivasi dan memberi kesedaran kepada pelajar menerusi pendidikan pencegahan penjenayah dan bukannya mendera.

“Lokasi sebenar kursus adalah di Pusat Latihan Penjara Kluang dan bukannya di Penjara Kluang seperti dilaporkan.

“Namun begitu, kita akan membuat siasatan terperinci dan jika ada pihak cuba mengambil kesempatan dan sengaja mereka-reka cerita tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi memberi penjelasan mengenai dakwaan 33 pelajar SMKBBU didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi, minggu lalu.

Menurut Zulkifli, tiada masalah timbul sepanjang enam siri kursus motivasi sama diadakan sebelum ini, malah pihaknya dimaklumkan mendapat reaksi positif daripada pihak sekolah dan ibu bapa.

“Dakwaan pelajar kononnya mereka tidak diberi penerangan awal modul kursus adalah tidak berasas, kerana segala perancangan melibatkan kerjasama semua pihak.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pihak sekolah telah memberi penjelasan mengenai kursus kepada setiap pelajar terlibat,” katanya.

Beliau memberitahu, meskipun demikian, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci dan meminta pihak-pihak tertentu membantu jika mempunyai maklumat tambahan.

Zulkifli menegaskan, pihak Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib ke atas kakitangannya jika terbukti wujud layanan sedemikian.

Pada sidang akhbar sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar dan pengetua sekolah berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah terlebih dahulu bagi mendengar penjelasan mereka, keputusan untuk meneruskan atau menghentikan kursus motivasi itu akan diketahui selepas pertemuan tersebut,” katanya.