Pendidikan Awal, Program

Urus sisa organik

Dr. Irnis Azura Zakaria (kanan) bersama pelajar SK. IPGM yang

Dr. Irnis Azura Zakaria (kanan) bersama pelajar SK. IPGM yang terlibat dalam program penghasilan baja kompos
Pernahkah terlintas di fikiran bahawa sampah yang kita buang setiap hari sebenarnya boleh dikitar semula untuk menghasilkan baja organik? Cuba bayangkan berapa banyak kawasan tapak pelupusan sampah yang dapat dijimatkan sekiranya amalan kitar semula sisa makanan untuk menjadikan baja kompos dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Berdasarkan data tahun 2014, rrakyat Semenanjung Malaysia dikatakan telah menghasilkan sebanyak 30,764 tan sisa pepejal (sampah) sehari dan 36,659 tan sisa pepejal sehari untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Lebih memburuk keadaan, 45.5 peratus daripada jumlah tersebut adalah sisa makanan dan hampir keseluruhan sisa makanan ini akan dihantar ke tapak pelupusan.

Ini menunjukkan bahawa, rakyat Malaysia secara sedar mahupun tidak banyak membazir makanan dengan membuang 16,680 tan makanan sehari ke dalam tong sampah dan seterusnya ke tapak pelupusan.

Perkara tersebut jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Situasi seperti ini perlu dihentikan segera dan tidak sepatutnya dibiarkan terus berlaku, biarpun kita masih hidup dalam keadaan yang cukup mewah dan belum diuji dengan kekurangan makanan serius.

Sewajarnya juga, kita mengambil peluang untuk mencipta peluang menjana kewangan melalui hasil pengkomposan bahan organik ini.

Pengkomposan merupakan satu proses pereputan atau penguraian bahan organik seperti sisa makanan dan sisa perkarangan rumah yang diuraikan menjadi humus atau dalam erti kata lainnya menjadi bahan yang mirip seakan tanah.

Pengkomposan adalah teknik semula jadi untuk kitar semula sisa organik menjadi tanah baharu yang dapat digunakan untuk penanaman bunga, sayur, landskap dan banyak lagi.

Anggaran 45.5 peratus sisa yang dibuang ke tapak pelupusan adalah daripada sisa organik dan ini menjadi lebih serius dari tahun ke tahun apabila kadar populasi penduduk negara semakin bertambah.

Justeru, pengkomposan sisa pepejal organik seperti sisa makanan adalah salah satu cara atau kaedah awal dalam pengurangan sisa organik ke tapak pelupusan sampah.

Bagi memacu pelaksanaan kaedah pengkomposan sisa organik ini dan menjadikannya amalan atau budaya dalam kalangan masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS) dengan kerjasama Solid Waste Corporation (SWCorp) Perlis menjalankan Program Penambahbaikan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal Organik di Negeri Perlis.

Program tersebut turut dibantu oleh dua orang pelatih siswazah di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (Komuniti) atau Program Pemindahan Ilmu (KTP).

Penyelaras program, Dr. Irnis Azura Zakariya berkata, program tersebut yang memberi fokus kepada pengurangan sisa makanan organik khususnya yang dihasilkan daripada premis makanan.

Ujar beliau, objektif program antara lainnya adalah memperluaskan penggunaan kitar semula dan meningkatkan tahap kesedaran pemilik premis terhadap sisa makanan yang dihasilkan di premis makanan dan pada masa sama dapat memberi pendedahan dan latihan penyediaan kompos dengan menggunakan sisa makanan yang dihasilkan di premis makanan.

“Matlamat penyelidikan ini hanya satu iaitu untuk mendidik masyarakat di negeri Perlis terutama kepada pemilik premis makanan bagi mengurangkan sisa makanan mereka dengan melakukan kaedah pengkomposan sisa makanan seterusnya membantu mengurangkan bebanan sisa di tapak pelupusan sampah di Padang Siding danTapak Pelupusan Baharu di Rimba Emas yang bakal dibuka.

“Sebagai permulaan, program ini dimulakan dengan penglibatan 20 buah premis makanan di negeri Perlis serta ke kafeteria di bawah kelolaan Unimap selaras dengan hasrat universiti itu sendiri untuk menjadikan kampus universiti sebagai Kampus Alam di bawah Projek Kelestarian Kampus.

“Di peringkat Unimap misalnya, baja-baja organik ini digunakan sebagai bahan pemangkin kepada projek tanaman pokok di sekitar kampus Unimap,” ujar beliau.

Menurut Dr. Irnis, program tersebut juga diteruskan ke sekolah-sekolah yang berminat dengan memberi fokus kepada mengurangkan sisa makanan yang terhasil di kantin sekolah.

Jelasnya, antara sekolah yang awal melaksanakan program tersebut untuk tahun ini adalah Sekolah Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Perlis dan Sekolah Kebangsaan Oran yang telah menjalankan program pengkomposan ini bagi tujuan Projek Tanaman Anggur di sekolah.

Pendedahan awal berbaloi

Program tersebut dianggap menarik kerana dapat memberi pendedahan awal kepada golongan muda. Ia dianggap berbaloi kerana merekalah yang akan mewarisi serta menjadi harapan untuk menerus dan memperkasa dasar-dasar pemuliharaan alam sekitar untuk dekad seterusnya ibarat kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Dr. Irnis Azura Zakariya berkata, daripada pelbagai program kesedaran yang dijalankan, satu organisasi yang berjaya dan mampu dijadikan contoh dalam bidang pengkomposan sisa makanan ini adalah dari Sekolah Menengah (SMK) Sanglang.

Jelasnya, ia melibatkan pelajar Pendidikan Khas Intergrasi dengan bantuan guru-guru dalam menjadikan sisa makanan daripada kantin sekolah dan juga Dewan Makan Asrama sebagai sumber bahan pengkomposan mereka.

“Dalam tempoh enam bulan yang pertama sahaja, mereka telah berjaya melupuskan hampir 300 kilogram (kg) sisa makanan yang diperoleh dan menjual hampir 200 kg baja kepada orang awam.

“Bermula dengan hanya sebuah raga, kini sekolah tersebut berjaya mengembangkan saiz penghasilan baja organik mereka kepada tiga buah tangki plastik hasil sumbangan daripada SWCorp. dan Environment Idaman Sdn. Bhd.

“Adalah sesuatu yang mengagumkan apabila kelompok pelajar ini yang dikategorikan sebagai kurang upaya mampu melaksanakan misi dan visi memulihara alam sekitar melalui pengkomposan bahan organik,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, lebih mengujakan lagi apabila kelompok pelajar tersebut juga melihat peluang dan ruang yang tidak terlihat oleh pandangan mata kasar manusia normal lainnya untuk menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti yang boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah bersama keluarga.

“Sekiranya semua rakyat Malaysia mampu mengubah minda masing-masing, nescaya kita tidak hanya akan melahirkan negara yang bersih dan terpelihara sebaliknya mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan,” katanya

 

Sumber diperolehi daripada Utusan Malaysia Online

Advertisements
2017, Program, utusan malaysia

Taman Ilmu dijangka beroperasi Oktober ini

Friday, Februry 2, 2016
By WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
Kuala Lumpur
news@ http://www.utusan.com.my/

KUALA TERENGGANU 2 Feb. – Projek Taman Ilmu di Tembila, Besut yang sekian lama menjadi tanda-tanya tentang masa depannya, dijangka akan memulakan operasi pada Oktober ini.

Pembangunan yang diilhamkan ketika era pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dengan kos dianggarkan sebanyak RM300 juta kini sedang dalam fasa terakhir disiapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri sedang me­ngadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pusat kecemerlangan ilmu bertaraf antarabangsa itu dapat beroperasi.

“Dalam masa terdekat kita akan menguruskan apa-apa kekurangan dan berkerjasama dengan KPT di bawah Datuk Seri Idris Jusoh kerana asalnya Taman Ilmu ini adalah ilham beliau.

“Kita akan mengambil prospek daripada Datuk Seri Idris untuk merealisasikan dan memastikan Taman Ilmu ini dapat beroperasi,”katanya.

Beiau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Angkat Sumpah Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Taman Ilmu dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dibangunkan sejak 2004 melibatkan kawasan seluas 280 hektar.

Ia disasarkan sebagai projek perkongsian kemudahan pendidikan asas yang mampu menampung perjalanan enam buah institusi pengajian tinggi (IPT).

Ahmad Razif berkata, setiap projek tergendala sebelum beliau mengambil alih teraju kepemimpin­an negeri termasuk Strawberry Park di Kemaman akan diteruskan kerana mampu membawa kebaikan bagi rakyat dan negeri.

Sementara itu, majlis serah tugas dan angkat sumpah jawatan baharu didahului dengan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Ne­geri (UPEN), Datuk Abdul Rahman Yahya yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri menggantikan Datuk A. Rahim Jusoh yang bersara bulan lalu.

Datuk Mohd. Akil Mat pula me­nyandang jawatan Pengarah Jabatan Tanah Dan Galian menggantikan Datuk Mohd Kamil Othman yang menerima tugas baharu sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan (pe­nempatan sementara sebelum bersara wajib pada 16 Februari).

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/terengganu/taman-ilmu-dijangka-beroperasi-oktober-ini-1.439545#sthash.uyMDbg1R.dpuf

Program

Seminar Hebat UPSR beri 
nilai tambah kepada murid

Seminar Hebat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dikendalikan secara eksklusif oleh Berkat Minda Resources dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini mampu memberi nilai tambah terhadap kebolehan murid-murid di daerah itu menguasai setiap kan­dungan pengajaran dengan lebih baik.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Azri Jaafar berkata, ketika ini, murid-murid tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya terhadap sesi pengajaran dan pembe­lajaran oleh guru di sekolah semata-mata.

Sebaliknya kata Azri, murid, ibu bapa dan sekolah perlu mencari kaedah alternatif lain termasuk penganjuran seminar seperti ini untuk mendapatkan teknik, petua berguna, selain lebih kefahaman bagi meningkatkan kecemerla­ngan akademik masing-masing.

Menurutnya, di sekolah, murid belajar mengikut sukatan ditetapkan dan dalam proses itu, mungkin ada yang ketinggalan kerana kurang jelas atau tidak memahami teknik-teknik yang diajar.

“Sebagai seorang anak nela­yan yang hidup susah dahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga ADUN Pangkor sangat menitikberatkan usaha untuk meningkatkan pencapaian murid-murid di negeri ini khususnya yang kurang berkemampuan.

“Justeru, melalui inisiatif beliau itu, sebanyak 200 murid da­ri 27 sekolah rendah di Parlimen Lumut dapat dilibatkan hari ini dan mungkin lebih banyak penyer­taan lagi pada masa depan supaya semua mendapat peluang keemasan se­perti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas penutupan Seminar Hebat UPSR yang dianjurkan Pusat Khidmat ADUN Pangkor dan Biro Pendidikan dan Pengajian Tinggi UMNO Bahagian Lumut yang diadakan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Urusan Berkat Minda Resour­ces, Mahmod Mat Ali dan Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung, Mudzaffar Shah Mohammed Rajamal yang juga Pengerusi Biro Pendidikan dan Pengajian Tinggi UMNO Bahagian Lumut.

Tambah Azri, pada masa sama, semua murid yang menyer­tai se­minar ini diharap dapat menggunakan ilmu yang diberikan de­ngan sebaik-baiknya, selain menggunakan panduan dan tek­nik yang diajar untuk mening­katkan prestasi masing-masing.

“Pada zaman ini, ilmu sangat penting. Justeru saya harap, murid-murid akan menggunakan ilmu yang diberikan sebaiknya.

“Ingatlah, hanya dengan ilmu sahaja mampu keluarkan kita dan keluarga daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Mahmod ber­kata, program dua hari bermula semalam itu turut melibatkan 50 murid lain yang ditaja Kiffah Travel Tours (M) Sdn. Bhd. dan dibiayai sendiri.

“Tenaga pengajar yang kita bawa adalah guru-guru yang berkaliber serta mempunyai pe­ngalaman luas dalam setiap subjek yang terlibat .

“Apa yang penting murid-murid yang menyertai program ini akan mendapat kelebihan apabila dapat memahami kehen­dak soalan dalam format baharu seterusnya lebih bersedia menghadapi pe­pe­riksaan UPSR,” kata­nya

Program

Kualiti guru penentu PPPM

TANJUNG MALIM 13 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan isu kualiti guru harus ditangani bagi mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menyasarkan negara berada dalam kelompok satu pertiga sistem pendidikan terbaik dunia.

Beliau berkata, bagi menyokong hasrat tersebut, Kementerian Pendidikan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Skim Geran Penyelidikan Nic bagi mengkaji pembangunan model pendidikan guru untuk menyediakan tenaga pengajar berkualiti pada masa hadapan.

“UPSI perlu menampilkan suatu model yang benar-benar dapat dijadikan rujukan untuk melahirkan guru berkualiti pada masa hadapan. Bermula dengan pengambilan 30 peratus lepasan terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai bakal guru sehingga kepada pembangunan profesional berterusan (CPD), profesion keguruan akan terus dimartabat menjadi pilihan.

“Semua institusi pendidikan guru perlu proaktif dalam menghasilkan guru-guru yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan pedagogi, tetapi juga keghairahan dan kesungguhan tinggi dalam memastikan anak bangsa kita mampu bersaing dan berjaya di peringkat global,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Nasional Ke-14 di UPSI di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pro Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa serta Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman UPSI, Datuk Ahmad Burak.

Konvensyen selama tiga hari yang bermula hari ini dihadiri kira-kira 1,000 warga pendidik itu antara lain membentangkan tentang keutuhan sistem pendidikan dan hubungannya dengan Perlembagaan negara, pembinaan nilai dan jati diri, pemerkasaan bahasa Melayu serta kualiti produk latihan guru.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kualiti guru merupakan faktor paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid, justeru cabaran para pendidik pada abad ke-21 berbeza kerana para pelajar mempunyai akses kepada pengetahuan di hujung jari, hasil perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi.

Sehubungan itu katanya, para guru perlu sedar bahawa pengajaran dan pembelajaran ilmu perlu berlaku secara aktif dengan mengaplikasikan sumbangan murid dalam proses perkongsian ilmu.

“Guru bukan lagi a sage on the stage tetapi a guide on the side. Selaras dengan aspirasi PPPM yang antara lain menekankan kemahiran berfikir dan memimpin, pembelajaran berpusatkan kepada perkembangan murid perlu menjadi teras pendekatan pedagogi guru pada masa kini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yakin, UPSI boleh berperanan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan guru secara lebih komprehensif, apatah lagi ketika negara sudah berada pada landasan betul bagi menjayakan PPPM dalam masa 12 tahun lagi.

Tambah beliau, transformasi pendidikan negara tidak lagi sekadar menuntut UPSI untuk meneruskan tradisi menyampaikan ilmu semata-mata, malah mengkehendaki para sarjana menghasilkan dapatan kajian yang boleh menyumbang kepada penghasilan inovasi selain dimanfaatkan untuk pembangunan modal insan dan negara

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140314/dn_01/Kualiti-guru-penentu-PPPM#ixzz2vtR7q8EQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Program

Tutor sebagai alat bantu mengajar

Akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor kini dijadikan alat bantu mengajar dan bahan rujukan pembelajaran di semua 45 cawangan Pusat Tuisyen Mawar Sdn. Bhd., di seluruh negara bagi menambah variasi pembaharuan di pusat tuisyen berkenaan.

Pengarah Pusat Tuisyen Mawar, Ahmad Rizal Muhammad Said berkata, pihaknya yakin kandungan Tutor yang padat dengan soalan latih tubi dapat membantu murid meningkatkan pemahaman terhadap mata pelajaran tertentu.

Menurutnya, selain soalan Tutor yang dilihat agak mencabar, kandungan soalan akhbar itu juga disediakan oleh guru pakar mata pelajaran dan diperakui oleh Kementerian Pendidikan.

“Keyakinan ini mendorong pihak Mawar untuk menjadikan Tutor sebagai bahan rujukan kepada murid dan menambah koleksi soalan murid malah kita juga tidak perlu berasa ragu dengan kualiti soalan pada Tutor kerana ia diperakui kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama Akhbar Tutor Utusan Malaysia Dengan Pusat Tuisyen Mawar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perjanjian tersebut mencipta sejarah tersendiri kepada Tutor yang sebelum ini hanya diedarkan di sekolah sejak pertama kali diterbitkan pada 2002.

Utusan Malaysia diwakili Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad serta Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim manakala Mawar diwakili Ahmad Rizal dan Pengurus Operasi, Nurhelmy Muhd. Said.

Utusan Malaysia memperkenalkan lima akhbar pendidikan iaitu Tutor UPSR, Tutor SPM dan Tutor PMR pada setiap Isnin, Tutor Junior (Selasa) dan Tutor English (Rabu).

Selain faktor pendidikan, menurut Ahmad Rizal, pihaknya percaya akhbar Utusan Malaysia berperanan menegakkan agama, bangsa dan negara dan sesuai dijadikan bahan bacaan setiap individu.

“Sejak kecil, saya sendiri didedahkan dengan Utusan Malaysia dan ini memudahkan saya menulis karangan dalam Bahasa Melayu di sekolah kerana mampu menguasai nahu dan tatabahasa.

“Kejayaan ini yang saya mahu kongsi dengan anak-anak murid di Pusat Tuisyen Mawar dan paling utama, kita mahu anak-anak yatim, ketiadaan ibu bapa menuntut ilmu dengan Mawar tanpa dikenakan apa-apa bayaran,” katanya.

Kesungguhan Ahmad Rizal itu turut disambut oleh beberapa tenaga pengajar Pusat Tuisyen Mawar yang menyifatkan usaha kerjasama tersebut sebagai satu jalinan kerjasama bijak dan situasi menang-menang kepada kedua pihak.

Joripal Yazit daripada Pusat Tuisyen Mawar Saujana Utama berkata, beliau teruja dengan kerjasama pihak Utusan Malaysia dan menjadikan Tutor sebagai alat bantu mengajar guru di pusat tuisyen dalam masa terdekat ini.

“Tutor boleh membantu guru mempelbagaikan rujukan pembelajaran dalam bilik darjah malah murid boleh membuat rujukan pada bila-bila masa dengan menggunakan Tutor,” katanya.

Bagi Bazrul Ozair Saharudin daripada Pusat Tuisyen Mawar Kulim, dia sudah mendengar kewujudan Tutor di sekolah-sekolah dan tidak berpeluang memperolehnya kerana pengedaran akhbar itu hanya eksklusif untuk langganan di sekolah.

“Namun, saya berasa amat teruja apabila pihak pengurusan Mawar menjalin kerjasama ini dengan Utusan Malaysia untuk menjadikan Tutor sebagai alat bantu mengajar di Pusat Tuisyen Mawar,” katanya.

Rakannya, Mohd. Farid Ahmad daripada Pusat Tuisyen Mawar Bandar Seri Iskandar memberitahu, Tutor mampu berperanan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran yang efektif kepada guru tuisyen Mawar yang sebelum ini banyak bergantung kepada bahan rujukan di pasaran

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140224/pe_01/ITutorI-sebagai-alat-bantu-mengajar#ixzz2uCGUHsCf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pembangunan Sekolah, Program

Guru tak perlu laksana PBS

Kuala Lumpur: Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan memaklumkan keputusan kajian semula berkenaan setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu kementerian, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Teliti semula perlaksanaan

“Kementerian mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.

Masalah Pelajar, Program

Murid Orang Asli diberi elaun

PUTRAJAYA 23 Jan. – Pemberian elaun pengangkutan merupakan antara strategi yang dilaksana kerajaan untuk mengurangkan keciciran dalam kalangan murid Orang Asli

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian elaun tersebut dapat menggalakkan ibu bapa Orang Asli menghantar anak mereka ke sekolah.

“Sesetengah kampung Orang Asli terletak jauh dari sekolah, pembinaan asrama pula tidak mendapat sambutan kerana anak-anak Orang Asli yang masih kecil tidak mahu berpisah dengan ibu bapa mereka.

“Disebabkan demikian, kita beri elaun pengangkutan untuk meringankan beban ibu bapa Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengarah-pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, matlamat kerajaan ialah mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli daripada 25 peratus kepada 23 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata, usaha mengurangkan masalah keciciran murid Orang Asli memerlukan masa kerana membabitkan faktor cara hidup dan budaya di mana sesetengah pelajar mahu bekerja pada usia muda.

Menurutnya, berikutan itu, Jakoa bersama Kementerian Pendidikan perlu terus mendekati ibu bapa untuk memberi nasihat mengenai kepentingan pendidikan.

“Kita turut memberi nasihat kepada ibu bapa supaya anak-anak Orang Asli tidak ponteng sekolah.

“Murid Orang Asli yang kerap tidak menghadiri kelas merupakan antara faktor yang menyumbang kepada masalah keciciran,” katanya.

Tambahnya, pemberian tuisyen juga dapat meningkatkan penguasaan ilmu dan mengelakkan keciciran murid Orang Asli.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, seramai 25 orang pelajar cemerlang Orang Asli telah melanjutkan pengajian di luar negara termasuk di United Kingdom, Australia, Rusia, India, Kanada, Indonesia dan Ireland.

“Daripadanya, dua orang berada dalam pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dan lapan orang pula sedang belajar di peringkat sarjana,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140124/dn_03/Murid-Orang-Asli-diberi-elaun#ixzz2rGuCsv3e
© Utusan Melayu (M) Bhd