Rencana, utusan malaysia

Bila maju, jurang semakin melebar?

TELAH menjadi kesimpulan umum kini, berdasarkan kajian yang sistematik oleh ramai pengkaji bahawa jurang pendapatan dan jurang berada dan tidak berada adalah semakin melebar di seluruh dunia. Majoriti negara di dunia berhadapan dengan fenomena ini. Dunia akan bergolak kerananya.

Buku yang ditulis oleh Joseph Stiglitz bertajuk The Price of Inequality: How Today’s Divided Society Endangers Our Future (2012), memperihalkan tentang fenomena jurang sosio-ekonomi yang semakin meluas di Amerika Syarikat. Buku tulisan Danny Darling yang bertajuk Inequality and the 1% (2014) memperlihatkan bahawa fenomena golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin semakin menjadi-jadi di Great Britain.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana Amerika Syarikat dan Great Britain adalah dua negara kuasa besar ekonomi yang menjadi penaung utama kepada sistem ekonomi pasaran atau kapitalisme yang menggalakkan pengumpulan harta dan kekayaan, dan mengizinkan pasaran menentukan sebahagian besar proses ekonomi. Sangat menarik, fenomena jurang sosio-ekonomi yang meluas ini juga wujud di negara-negara yang dulunya mengamalkan sistem ekonomi Marxist dan komunis yang sangat benci kepada kewujudan kelas pemodal dan elit ekonomi yang kaya raya di bawah kapitalisme. Persoalannya, adakah kewujudan jurang miskin kaya atau berada dan tidak berada ini harus menjadi kebimbangan kita semua?

Jurang Berada dan 
Tidak Berada di Malaysia

Adakah Malaysia kini sedang berhadapan dengan senario yang membimbangkan ini? Dalam buku tulisan Muhammed Abdul Khalid yang bertajuk The Colour of Inequality- Ethnicity, Income, And Wealth In Malaysia (2014) perasaan bimbang terhadap ekonomi Malaysia yang sedang mencipta jurang kaya dan miskin atau berada dan tidak berada, yang cukup lebar dan semakin melebar telah disuarakan dengan bukti-bukti yang membimbangkan.

Secara ringkas, data ekonomi menunjukkan bahawa peningkatan pendapatan dan pengumpulan harta kekayaan tertumpu kepada golongan yang sedia berada. Ini menyebabkan jurang berada dan tidak berada semakin melebar, terutamanya daripada segi pemilikan harta kekayaan, terutamanya rumah. Muhammed Abdul Khalid membuktikan bahawa 20 peratus daripada rakyat Malaysia (golongan berada) memiliki 52.1 peratus harta kekayaan dan 40 peratus lagi (golongan tidak berada atau the bottom 40%) hanya memiliki kurang daripada 8 peratus harta kekayaan. Selain itu, 95 peratus aset kewangan berada di tangan 20 peratus rakyat yang berada dan 80 peratus rakyat biasa hanya memiliki 5 peratus.

Peratusan Rakyat Malaysia Peratusan Pemilikan 
Harta Kekayaan

Kesedaran pelbagai pihak terhadap nasib golongan the bottom 40 (TBF) ini telah tumbuh baru-baru ini. Dalam hal ini, para pemimpin politik, pemimpin ekonomi, pembuat dasar dan pemikir negara perlu berganding tenaga mencari jalan terbaik supaya hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 akan tercapai dan jurang rakyat berada dan tidak berada ini dapat diperkecilkan.

Penyebab Jurang

Jurang miskin dan kaya wujud di Malaysia sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Di Tanah Melayu, golongan elit ekonomi yang menguasai pelaburan dalam industri perladangan, perlombongan, pembangunan hartanah, menguasai industri pembinaan, menguasai perdagangan antarabangsa, perkapalan, pengangkutan dan perdagangan dalam negeri ialah para usahawan Inggeris dan China. Proses pengumpulan harta kekayaan ini terjadi selama lebih seratus tahun, sejak 1870an.

Orang Melayu dan golongan Bumiputera Sabah dan Sarawak berada sekadar di pinggiran, bergiat dalam ekonomi tani desa secara secukup hidup dan bergelumang dengan kemiskinan.

Di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB 1970-1990), orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak berpeluang mengisi perezapan kuota untuk memegang jawatan dalam perkhidmatan awam, diberikan bantuan persekolahan di peringkat sekolah rendah dan menengah, diberikan biasiswa atau danasiswa untuk belajar di institusi pengajian tinggi dan diberikan lesen perniagaan yang belum dimiliki oleh sesiapa.

Ini adalah strategi penyusunan semula masyarakat di Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia, yang diselitkan sebagai Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh penggubalnya, iaitu Suruhanjaya Reid yang dilantik oleh Parlimen British pada 1956. Namun begitu, Artikel 153 ini juga menjamin bahawa harta kekayaan kaum-kaum lain terus kekal mendapat perlindungan daripada pihak kerajaan.

Jurang sosio-ekonomi yang tercipta di zaman penjajahan ini cuba diperkecilkan menerusi DEB dan dasar pembangunan pasca-DEB. Hasilnya, wujud kelas menengah baharu dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang berpeluang menikmati tingkat pendapatan yang agak tinggi dan mula berupaya mengumpul harta kekayaan. Ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapat manfaat daripada program pembasmian kemiskinan. Dan dalam masa sama, masih ramai warga golongan tidak berada dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak masih kekal di takuk lama. Begitu juga halnya dengan warga golongan tidak berada dalam kalangan kaum lain.

Malaysia Negara Maju

Pada 1991, kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan agenda Wawasan 2020, yang antara lain, mengisytiharkan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju (berpendapatan tinggi) dengan acuannya sendiri menjelang 2020. Hasrat ini akan tercapai jika ekonomi negara mengalami pertumbuhan pada kadar 7 peratus setahun sehingga tahun 2020.

Baru-baru ini, beberapa orang pemimpin negara dan pakar ekonomi Malaysia menyatakan bahawa hasrat tersebut akan tercapai lebih awal daripada tahun 2020, apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menghasilkan pendapatan perkapita rakyat Malaysia ke tahap AS$15,000, iaitu ukuran yang digunakan sebagai takrif status negara maju berpendapatan tinggi.

Ini juga bermakna bahawa berkemungkinan besar, dalam masa kurang dari lima tahun dari sekarang, kira-kira 20% daripada rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi akan menjadi “warga sebenar negara maju”, dan 80% yang lain, yang masih berpendapatan rendah akan menunggu gilirannya. Ini kerana jurang pendapatan yang lebar masih wujud dan akan terus menjadi ciri utama struktur sosio-ekonomi masyarakat Malaysia selepas tahun 2020 kelak jika satu strategi baharu bagi penyusunan semula struktur ini tidak dilancarkan.

Cabaran

Tidak dapat dinafikan cabaran untuk merapatkan jurang kehidupan ini adalah sangat sukar. DEB berjaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur sosio-ekonomi rakyat Malaysia. Sejak 1970 hingga kini, ekonomi negara tumbuh dengan baik, kecuali pada masa terjadinya krisis ekonomi. Namun, secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi yang baik akan membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Tetapi, sebuah negara maju tidak akan aman damai jika jurang antara kumpulan rakyatnya yang berada dan tidak berada semakin melebar.

Dasar pembangunan negara yang di bawah DEB dan pasca-DEB terbukti berupaya mencetuskan transformasi sosio-ekonomi bagi seluruh rakyat Malaysia. Strategi tindakan afirmatif (sistem kuota) yang memberikan bantuan serta keutamaan kepada golongan miskin dan terpinggir berjaya membantu mereka membebaskan diri daripada lingkaran kemiskinan dan kemunduran. Pihak kerajaan masih perlu melaksanakan strategi baharu bagi merapatkan jurang sosio-ekonomi yang wujud. Di Malaysia, selain kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan turut memainkan peranan dalam penyusunan semula struktur sosio-ekonomi rakyat Malaysia. Namun begitu, kini, ideologi global yang didukung oleh kuasa-kuasa Barat lebih cenderung memilih untuk memperkasakan kuasa pasaran berbanding kuasa kerajaan dan SOE. Perundingan TPP (Trans Pacific Partnership) yang kedengaran samar-samar kini, telah pun mempersoalkan keterlibatan kerajaan dan SOE dalam dunia ekonomi.

Ini bererti usaha untuk merapatkan jurang kehidupan ini akan menjadi lebih sukar. Oleh itu, Malaysia akan berjaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi tidak lama lagi, tetapi akan terus berhadapan dengan cabaran untuk merapatkan pelbagai jurang yang membezakan kualiti kehidupan golongan berada dan golongan tidak berada.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/bila-maju-jurang-semakin-melebar-1.150718#ixzz4zB5qRa00
Saumber diperolehi daripada © Utusan Melayu (M) Bhd Online

Advertisements
2017, Berita Harian, Rencana

Faridah Anak Melayu Pertama Profesor di AS


Faridah anak Melayu pertama profesor di AS

Oleh Norhafzan Jaafar

hafzan@bh.com.my


PROF Dr Faridah membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai keazaman kuat dalam mengejar apa yang diimpikan. – Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi warga asing untuk membina kerjaya di Amerika Syarikat terutama dalam bidang pendidikan, apatah lagi diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai profesor penuh di universiti tempatan negara itu, sejak 2011 hingga sekarang.

Namun, anak Malaysia yang berasal dari Endau, Johor ini, Prof Dr Faridah Awang, 51, membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai keazaman kuat dalam mengejar apa yang diimpikan.

Dengan pengalaman selama 29 tahun dalam bidang pendidikan dan 22 tahun merantau di negara orang, Faridah boleh berbangga apabila beliau mungkin menjadi satu-satunya wanita Islam asing yang pernah diberi tanggungjawab sebagai profesor penuh dalam bidang Teknologi dan Komunikasi Korporat, Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Eastern Kentucky, Amerika Syarikat.

Semangat kental ibu tunggal ini yang baru mendapat kerakyatan Amerika Syarikat, Julai tahun lalu terserlah apabila beliau pernah meraih anugerah tertinggi dan berprestij di negara itu menerusi kajian tesis bagi melengkapkan pengajian ijazah sarjana dan doktor falsafah di Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat.

Keunikan pada nama

“Semuanya bermula dengan cita-cita saya sejak kecil lagi iaitu untuk mencipta kelainan diri bagi membezakan dengan orang lain. Ini kerana nenek yang membesarkan saya pernah mengatakan bahawa nama Faridah yang diberikan itu mempunyai keunikan tersendiri.

“Jadi untuk menyerlahkan keunikan berkenaan saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza daripada orang lain iaitu dengan menonjol dalam bidang pelajaran,” katanya kepada BH, ketika kunjungan singkat ke tanah air.

Mengimbau pendidikan awalnya, Faridah berkata, walaupun cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau memilih melanjutkan pengajian ke sekolah vokasional dalam bidang perdagangan dan seterusnya ke Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang sains kesetiausahaan.

Atas kecemerlangan juga beliau ditawarkan menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Manjung, Perak sebelum mendapat tajaan melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat pada 1994.

Namun, beliau tidak melalui jalan yang mudah untuk menggenggam ijazah yang diidamkan apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan ujian termasuk diminta pulang ke tanah air berikutan masalah kegawatan ekonomi yang melanda sekitar 1999 hingga 2000.

FARIDAH boleh berbangga apabila beliau mungkin menjadi satu-satunya wanita Islam asing yang pernah diberi tanggungjawab sebagai profesor penuh dalam bidang Teknologi dan Komunikasi Korporat, Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Eastern Kentucky, Amerika Syarikat. – Foto Mahzir Mat Isa

Pernah sehari tidak makan

“Saya cuma tinggal satu semester lagi untuk menamatkan pengajian di peringkat sarjana sebelum kerajaan memutuskan untuk memanggil pulang semua pelajar yang belajar di luar negara.

“Tetapi saya bertegas untuk tidak pulang hingga biasiswa dan gaji saya dihentikan. Saya hilang sumber kewangan bagi meneruskan pengajian dan kehidupan bersama anak tunggal saya, Hafiz yang ketika itu berusia sembilan tahun,” katanya mengimbas kenangan masa lalunya.

Biarpun perit sehingga ada kalanya kedua beranak itu tidak makan seharian kerana tidak mempunyai wang, Faridah mampu membuktikan semua itu tidak mengubah impian asalnya berada di negara Uncle Sam itu.

Beliau semakin bersemangat apabila dimaklumkan pensyarah mengenai kejayaannya memperoleh markah penuh 100 peratus dalam salah satu subjek penting bagi peperiksaan akhir sekali gus mencatat sejarah tersendiri bagi dirinya.

“Saya masih ingat pensyarah saya memaklumkan sepanjang 30 tahun beliau mengajar itu adalah kali pertama pelajarnya mendapat markah cemerlang berkenaan. Ini menjadi dorongan kuat untuk saya meneruskan pengajian.

“Atas bantuan profesor berkenaan juga selepas menyedari masalah kami dua beranak, saya mendapat kerja sebagai tukang cuci di universiti tempat saya belajar bagi menampung pengajian termasuk menyambungnya ke peringkat doktor falsafah (PhD),” katanya.

Martabatkan wanita Islam

Tidak berakhir di situ, Faridah berkata, beliau sekali lagi diuji apabila ditimpa kemalangan jalan raya bersama anaknya, Hafiz menyebabkan beliau terlantar selama enam bulan.

Itu juga tidak melemahkan semangat dan cita-citanya untuk menjadi pensyarah di universiti di Amerika Syarikat sehingga berjaya berada di kedudukan sekarang.

Melihatkan latar belakang pengajiannya dalam tiga bidang berbeza, Faridah berkata, beliau sememangnya merancang sedemikian untuk menjadikan dirinya mudah bersaing dalam pasaran kerja di peringkat global.

“Malah azam utama saya sebelum memutuskan untuk menetap di Amerika Syarikat ini adalah untuk memartabatkan Islam selain memberi mesej positif mengenai agama suci ini terutama apabila memperkatakan soal wanita Islam.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/246830

Sumber: Berita Harian

2017, Berita Harian, Rencana

Minda Serabut Petanda Kurang Ilmu.


Minda serabut petanda kurang ilmu

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

bhagama@bh.com.my


Umur tidak membataskan seseorang untuk menuntut ilmu. – Gambar hiasan

Islam mementingkan ilmu. Ilmu yang berkesan apabila ia seimbang dengan akal. Ilmu yang baik boleh digunakan sebaiknya untuk manfaat di dunia dan akhirat.

Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin ketika membincangkan tajuk Minda Kepoh di IKIMfm, berkata, berfikir memerlukan seseorang itu melengkapkan diri dengan ilmu dan idea.

Allah SWT menjadikan manusia ciptaan-Nya yang paling baik dan teristimewa kerana dikurniakan akal, tetapi apa gunanya akal jika tidak digunakan untuk berfikir. Minda membezakan manusia dengan haiwan.

Manusia mempersia-siakan anugerah jika gagal menggunakan akal. Mereka tidak layak untuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup sebenar.

Salah satu cara untuk menggunakan nikmat kurniaan Allah SWT itu ialah dengan berfikir. Setiap orang mempunyai potensi hebat dalam diri dan hanya dapat dimanfaatkan apabila mereka sanggup mencari dan menggalinya.

Ketika membincangkan tajuk Minda Kepoh dalam rancangan Pesona D’Zahra, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkata, berfikir memerlukan seseorang itu melengkapkan diri dengan ilmu dan idea.

Kedatangan Islam membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Tujuan menuntut ilmu sebagai wasilah atau jalan untuk memahami dan menguasai ilmu bagi melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT.

Menuntut ilmu fardu bagi setiap Muslim. Terdapat banyak dalil al-Quran dan hadis yang menjelaskan kewajipan menuntut ilmu.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa menginginkan soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajib ia mengetahui ilmunya pula dan barang siapa yang menginginkan kedua-duanya, wajib ia memiliki ilmu kedua-duanya pula.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ilmu rangsang minda

Selain itu, perlu diingatkan peningkatan aktiviti mencari ilmu pengetahuan hendaklah dilakukan secara berterusan. Menambah ilmu akan merangsang minda, sekali gus memandu manusia supaya bijak berfikir.

Apabila kita mula berfikir, ia akan membentuk idea dan menghasilkan satu proses mencari makna serta mencapai keputusan yang wajar. Proses ini bertujuan membina ilmu dan kefahaman dalam minda kita. Justeru, ibu bapa yang peka dan prihatin terhadap anaknya sentiasa membantu menyelesaikan masalah, mencari jalan keluar serta memberi idea kepada anak mereka. Idea yang muncul dalam minda seseorang itu daripada dua sumber iaitu yang memberi ilham atau membuat kita dalam keadaan resah gelisah.

Tiada manusia di dunia ini yang tidak berdepan masalah dan hadirnya masalah itu yang mendorong mereka berfikir. Berfikir secara positif ibarat satu beban berat bagi sesetengah orang mungkin kerana sikap ego atau ada hasutan supaya berfikiran negatif.

Sudah pasti apabila kita sentiasa berfikiran negatif, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada orang sekeliling, seterusnya mereka menjauhkan diri. Jiwa juga sentiasa kacau jika seseorang membiarkan perasaan dan pemikiran negatif menguasai dirinya.

Sentiasa bersikap positif

Dalam kehidupan ini kita perlu sentiasa bersikap positif, cuba melakukan yang terbaik dan bersyukur dengan apa yang ada. Tentu kehidupan menjadi lebih bermakna dan bahagia.

Menurut Muhammad, berburuk sangka, merungut dan dendam adalah antara sifat yang menggambarkan diri seseorang itu tidak dapat berfikir secara baik. Mereka sudah termakan dengan pujukan dan bisikan syaitan untuk terus melakukannya.

Islam itu indah, perkara prasangka ditetapkan dalam Islam. Su’udzon membawa maksud berprasangka negatif, menyangka buruk atau menaruh curiga. Sebahagian daripada prasangka adalah dosa.

Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Kita juga dianjurkan untuk tidak merungut sebagai manifestasi kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu itu.

Akhir sekali jauhkan diri daripada berdendam kerana sifat itu menyempitkan hati. Selain itu dendam akan menyebabkan perpecahan dan pertikaian.

Kesimpulannya, memiliki minda berserabut atau ‘kepoh’ menjadikan diri jauh daripada perlindungan Allah SWT. Semoga kita dikurniakan akal fikiran yang sihat untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/245076

Rencana

UiTM dipastikan terus relevan

Pelbagai usaha diambil jadikannya universiti berdaya saing, pilihan lanjut pengajian

KOTA SAMARAHAN: Pelbagai usaha akan terus dilakukan bagi memastikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak terus relevan sebagai salah sebuah universiti yang berdaya saing sekali gus menjadi pilihan masyarakat untuk melanjutkan pengajian.
Misalnya, jelas Pro Cancelor UiTM Tan Sri Datuk Seri Arshad Ayub ialah pengenalan program baharu seperti Diploma Pengurusan Halal di Kampus Samarahan 2, yang merupakan satu usaha relevan kerana dapat membantu melonjakkan lagi nama UiTM Sarawak sebagai pilihan pelajar memandangkan industri halal kian berkembang kukuh di negara ini.
“Malah, saya difahamkan kerajaan negeri sudah bersetuju untuk menempatkan sebuah makmal halal yang bakal menjadi pusat saringan produk halal pertama di negeri ini iaitu di UiTM Sarawak Kampus Samarahan 2,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-79 di UiTM Sarawak Kampus Samarahan di sini, semalam.
Menurut Arshad, UiTM Sarawak telah mengukir sejarah tersendiri apabila menjadi kampus negeri yang pertama menerima projek pembinaan kampus baharu iaitu Kampus Samarahan 2 yang diserahkan oleh pihak kontraktor pada 1 Oktober lalu.
Katanya projek pembinaan kampus yang mengguna pakai konsep Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bakal memberi kemudahan tambahan kepada kampus sedia ada kerana ia mampu menampung kira-kira 4,000 pelajar.
Tambah beliau, keadaan ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang akan melanjutkan pengajian di UiTM Sarawak adalah seramai 10,000 orang.
Malah, katanya jumlah tersebut juga tidak termasuk pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di Kampus Mukah iaitu seramai 2,000 orang apabila kampus tetapnya siap menjelang 2015 nanti.
“Segala usaha ini adalah sejajar dengan matlamat penubuhan UiTM iaitu menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar khususnya pelajar miskin, anak yatim dan pelajar luar bandar untuk melanjutkan pengajian mereka.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua masyarakat supaya merebut peluang yang disediakan ini agar lebih ramai tenaga mahir yang diperlukan oleh negeri dan negara dapat disediakan tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar,” katanya.
Sementara itu, Arshad menyeru kepada semua graduan supaya mempunyai keberanian dan inisiatif untuk melakukan inovasi serta kreativiti dalam menghadapi persekitran ekonomi global yang mencabar.
Jelas beliau, model baharu ekonomi dan transformasi ekonomi memerlukan graduan yang mempunyai kemahiran ilmu dalam pelbagai bidang dan kreatif supaya mereka dapat melangkah keluar dari zon selesa.
“Sekiranya para graduan dapat menguasai model baharu ekonomi ini, saya yakin mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan atau lebih baik mampu mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.
“Graduan tidak perlu hanya bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan sebaliknya boleh mencipta peluang pekerjaan dengan berniaga, menceburi aktiviti pertanian dan sebagainya,” katanya.
Justeru, beliau menyaran-kan para graduan agar merebut peluang pinjaman mudah alih sehingga RM500,000 yang ditawarkan kepada kalangan siswazah, seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2014 yang memperuntuk- kan sebanyak RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah.
Hadir sama Rektor UiTM Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Sarawak Profesor Madya Dr Rosita Suhaimi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Sarawak Profesor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Sarawak Prof Madya Dr Rasidah Mahdi dan Penolong Rektor UiTM Sarawak Kampus Samarahan 2 Profesor Madya Dr Firdaus Abdullah

Read more: http://www.theborneopost.com/2013/11/13/uitm-dipastikan-terus-relevan/#ixzz2kTwNCOTU

Rencana

Membudayakan keusahawanan

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melabur RM10 juta setiap tahun bagi memastikan program pembangunan koperasi sekolah di seluruh negara lebih kompetitif sebagai strategi jangka panjang untuk memakmurkan ekonomi rakyat di semua peringkat.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah (gambar) berkata, peruntukkan itu memfokuskan pembangunan koperasi sekolah agar lebih terarah untuk memenuhi aspirasi kerajaan dalam melahirkan modal insan berbudaya keusahawanan.

“Koperasi sekolah menyediakan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi seimbang dengan tuntutan intelektual, kerohanian dan jasmani.

“Bermula 2006, Angkasa memperuntukkan lebih RM10 juta setiap tahun bagi tujuan pembangunan koperasi sekolah dan RM5 juta sempena sambutan Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah peringkat kebangsaan yang disambut setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah peringkat kebangsaan (PPKKS) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nik Ali Mat Yunus; Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang juga Naib Presiden Angkasa, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad.

Dalam majlis itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin Bhd., Jerantut, Pahang muncul sebagai johan bagi Anugerah 6 Bintang HKS manakala Koperasi SMK Kota Bhd. pula di tempat kedua dan SMK Simpang Beluru Bhd. (ketiga).

Abdul Fattah berkata, hasil daripada pelaburan yang besar ini telah menunjukkan prestasi cemerlang penglibatan koperasi sekolah dalam aktiviti perniagaan yang membabitkan keperluan pelajar serta memberi ruang kepada pengurusan koperasi mendapat keuntungan lebih tinggi.

“Apa yang membanggakan sambutan HKS di peringkat sekolah yang bermula sejak 2006 ini, akhirnya telah menjadi acara tahunan koperasi sekolah serta masyarakat setempat setiap tahun.

“Seluruh sekolah terutamanya pelajar dapat melibatkan diri dalam pelbagai bidang aktiviti sosial, budaya, ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah menambah, PPKKS juga menjadi titik permulaan kepada pelajar menterjemahkan apa juga nilai keusahawanan dalam kegiatan yang dilaksanakan.

“Selain itu, PPKKS dapat dijadikan satu asas yang kukuh kepada pengurusan koperasi untuk mengetengahkan kewujudan dan peranan koperasi sekolah secara berkesan,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131104/pe_01/Membudayakan-keusahawanan#ixzz2jp641LSC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rencana

Pengetua, guru besar dimantap

BENTONG 2 Julai – Proses pelantikan pengetua dan guru besar akan dimantapkan mulai tahun depan melalui pelaksanaan Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan Institut Aminuddin Baki (IAB), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, perkara itu sejajar dengan anjakan utama untuk mentransformasi Sistem Pendidikan Negara dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

Menurutnya, selain NPQEL, penilaian bagi sesuatu pelantikan akan dibuat berdasarkan kemampuan bakal pengetua dan guru besar melaksanakan tanggungjawab, kreativiti dan inovasi di samping mempunyai rekod cemerlang sepanjang kerjaya sebagai guru.

”Sudah sampai masanya jawatan pengetua dan guru besar tidak boleh lagi disandang secara automatik tetapi perlu melalui suatu proses penapisan yang teliti dan melalui program latihan serta bimbingan yang komprehensif.

”Ini bermakna mereka (guru) harus melalui proses penilaian dari segi tahap kepemimpinan dan perkara lain berkaitan dengan kemampuan melaksanakan tanggungjawab. Kita nak menekankan soal kepimpinan sekolah untuk bukan hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian tetapi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan Ke-20 di IAB Genting Highlands dekat sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Repositori IAB yang berfungsi sebagai pusat bagi menyimpan, mengumpul dan menyediakan hasil penerbitan karya ilmiah dan penyelidikan institut berkenaan.

Muhyiddin berkata, pemantapan proses pelantikan pengetua dan guru besar dilakukan berdasarkan rekod beberapa sekolah yang mencapai status cemerlang atas faktor daya kepimpinan sekolah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan pertukaran sekolah bagi guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing.

Walau bagaimanapun ujarnya, perkara itu bergantung kepada kekosongan yang ada selain sebab munasabah.

”Masalah penempatan guru (pertukaran) kita hadapi sepanjang masa dan tahun lalu kita menerima hampir 20,000 permohonan. Tetapi realitinya, jumlah yang memohon adalah jauh lebih banyak berbanding kekosongan.

”Kita tidak boleh tukar begitu sahaja kecuali tempat yang dimohon ada kekosongan. Kalau guru bahasa Inggeris mahu pindah ke sekolah yang sudah ada ramai guru subjek itu dan mahu menukar opsyen (subjek lain), ini akan menjejaskan pembelajaran dan pengajaran,” tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130703/dn_03/Pengetua-guru-besar-dimantap#ixzz2XwHqeAva
© Utusan Melayu (M) Bhd

Program, Rencana

Martabatkan sastera kanak-kanak

Mengantarabangsakan karya kanak-kanak Malaysia merupakan suatu cabaran besar. Justeru Perbadanan Kota Buku (PKB) menggunakan Festival Kandungan Buku Kanak-kanak Asia (AFCC) di Singapura baru-baru ini sebagai platform untuk membantu mengangkat genre sastera itu ke persada antarabangsa supaya setanding dengan karya yang diiktiraf dunia.

Pengerusi PKB, Tan Sri Dr. Asiah Abu Samah berkata, penglibatan utama negara adalah untuk memberi peluang kepada penggiat buku kanak-kanak yang terdiri daripada penerbit, penulis serta ilustrator supaya mampu melonjakkan karya sastera kanak-kanak tempatan ke persada antarabangsa.

Katanya, penglibatan Malaysia di AFCC dapat mengetengahkan himpunan penerbit buku kanak-kanak dari Malaysia, Asia serta negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Sebagai negara tumpuan, Malaysia telah diberi penghormatan membentangkan karya sastera kanak-kanak Malaysia kepada khalayak antarabangsa .

“Dalam masa sama, kita menghantar tujuh wakil terdiri daripada penulis, penerbit dan ilustrator terbaik Malaysia untuk menggunakan peluang memperkenalkan diri dan hasil nukilan mereka dalam seminar yang dianjurkan,” katanya ketika ditemui di AFCC di Perpustakaan Negara Singapura baru-baru ini.

Festival itu direalisasikan menerusi kerjasama antara PKB Malaysia dengan Lembaga Pembangunan Buku Kebangsaan Singapura (NBDCS).

Malah, festival itu turut diserikan dengan kehadiran Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang berkenan menghadiri Majlis Malam Malaysia sempena AFCC.

Keberangkatan baginda diiringi Pengerusi Jawatankuasa Ahli Lembaga Pengarah AFCC, Claire Chang dan Pengarah Eksekutif Perbadanan Pembangunan Buku Kebangsaan Singapura, P. Ramachandran.

Yang turut hadir, Pengurus Kanan PKB, Razin Abd. Rahman dan Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku PKB, Norhayati Razali.

Dalam majlis tersebut, Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan cenderamata penghargaan kepada wakil-wakil Malaysia yang terlibat dalam AFCC.

Asiah berkata, penglibatan Malaysia di AFCC memberi pendedahan kepada penggiat sastera kanak-kanak tempatan mengenai aplikasi terbaharu dunia buku termasuk bentuk digital.

“Usaha ini dapat mengangkat lagi karya sastera kanak-kanak dari Malaysia memandangkan pasaran dunia sarat dipenuhi karya sastera Barat.

“Malaysia juga memberi tumpuan khusus kepada aspek kandungan berkualiti memandangkan karya buku kanak-kanak boleh diperluas dalam pelbagai medium termasuk buku digital, animasi dan filem di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Asiah berkata, Perbadanan Kota Buku akan terus menjadi pusat perkembangan sastera kanak-kanak supaya bidang tersebut akan lebih tersusun dari segi penulisan, pengkaryaan dan penerbitan.

“Saya menaruh harapan tinggi untuk melihat Malaysia maju di persada dunia dengan penghasilan karya kanak-kanak yang bermutu, baik dari segi kandungan mahupun ilustrasi melalui usaha yang dijalankan Perbadanan Kota Buku,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130603/pe_01/Martabatkan-sastera-kanak-kanak#ixzz2VOBuZcrz
© Utusan Melayu (M) Bhd