Berita Harian, Perpustakaan

Van buku bantu kanak-kanak miskin Nigeria

LAGOS: Funmi Ilori pernah bermimpi membina perpustakaan terbesar di Afrika. Kini beliau memandu van yang dipenuhi dengan buku ke kawasan miskin di Lagos untuk membantu kanak-kanak menemukan perasaan cinta untuk membaca.

“Pembaca ialah apa?” tanyanya kepada kira-kira 15 remaja yang duduk di kerusi plastik dalam kelas yang diubah suai daripada lori.

“Pemimpin!” Mereka menyahut serentak.

Salah satu perpustakaan bergerak Ilori, iRead Mobile Library berhenti di sekolah rendah Bethel yang terletak di daerah kelas pekerja, Ifako di tengah-tengah Lagos.

Dalam kawasan sekolah, gelungsur dan jongkang-jongket berkarat dalam udara lembap. Guru Besarnya, Ruth Aderibigbe, berkata kira-kira 200 pelajarnya hanya memiliki sebuah buku teks.

“Buku memerlukan banyak wang,” katanya.

Apabila iRead muncul di sekolah itu dua tahun lalu dengan pilihan buku yang luas daripada buku mewarna untuk kanak-kanak hinggalah novel kanak-kanak serta beberapa judul untuk dewasa, beliau menerimanya dengan tangan terbuka.

Kanak-kanak yang terbabit dalam program itu kini sudah boleh bercakap dan mengeja dalam bahasa Inggeris dengan lebih baik,” katanya.

Di dalam van, kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 tahun memegang naskhah Half of a Yellow Sun, iaitu karya terlaris di pasaran antarabangsa oleh novelis Nigeria, Chimamanda Ngozi Adichie.

Buku itu jelas sudah banyak kali dibaca: tulang buku itu hampir-hampir tidak dapat memegang halamannya.

Adichie sebelum ini terbabit dalam kontroversi apabila wartawan Perancis melontarkan soalan kepadanya dalam kunjungannya ke Paris sama ada Nigeria memiliki kedai buku atau tidak.

“Saya fikir ia mencerminkan bagaimana orang Perancis sangat miskin sehingga anda terpaksa bertanya soalan begitu kepada saya,” balas Adichie yang menambah maksudnya adalah berkaitan sifat rasis dan pandangan kolonial Perancis kepada Afrika.

Ilori sedar akan kontroversi itu dan memahami mengapa soalan berkenaan menyinggung perasaan. Bagaimanapun, beliau melihat isu terbabit dengan luas dan mendedikasikan diri untuk menyelesaikannya.

“Perpustakaan awam berfungsi di Nigeria, sekurang-kurangnya di Lagos. Namun tidak ramai yang memaksimumkan penggunaannya.

“Kita perlu menarik pembaca baharu sejak dari awal usia. Dalam masyarakat luar bandar, ada kanak-kanak yang tidak pernah memegang buku,” katanya.

Ilori ialah bekas guru sekolah rendah yang memulakan perniagaan peminjaman buku pada 2013.

“Buku dalam bakul. Saya pergi dari pintu ke pintu,” katanya.

Buku boleh dipinjam dengan bayaran beberapa ratus naira (beberapa ringgit) tetapi daripada pengalaman itu, beliau menyedari hanya ada beberapa orang yang bertungkus-lumus dalam ekonomi seharian memiliki masa terluang untuk membaca.

Selepas 10 tahun memulakan skim ‘buku dalam bakul’, beliau mendapat idea perpustakaan bergerak dan memohon dana daripada inisiatif pembangunan kerajaan Nigeria.

Permohonan itu berjaya dan kerajaan menyalurkan 10 juta naira dengan kadar pertukaran ketika itu bersamaan AS$60,000 (RM234,000).

Dengan dana itu, beliau membeli lori dan bas mini yang kecil.

Kini dengan dana dan tajaan, beliau mampu untuk mengambil 13 pekerja, membeli 1,900 buku dan empat van.

Beliau berkunjung ke empat hingga enam sekolah setiap hari, menganjurkan bengkel membaca pada waktu petang dan memperuntukkan masa pada hujung minggu untuk kanak-kanak yang keciciran di kawasan miskin bandar dengan bantuan sukarelawan.

Van berfungsi seperti perpustakaan sebenar: kanak-kanak memilih buku untuk dibaca di rumah dan memulangkannya seminggu selepas itu dan menulis ‘ulasan’ yang diwajibkan mengenai isi kandungannya.

Sade memilih cerita pengembaraan kegemarannya meskipun dia sudah pun menghafaznya.

“Membaca adalah hobi saya. Buku memberikan idea dan membantu saya untuk lebih tahu,” katanya.

Sementara itu, Adinga memilih Bioenergy Insight, iaitu majalah mengenai tenaga yang boleh diperbaharui yang ditemui di rak buku.

“Adakah anda pasti anda akan membacanya?” tanya seorang sukarelawan. Budak lelaki itu menarik mukanya dan meletakkan majalah itu kembali, lalu memilih komik.

Tidak lama kemudian, kanak-kanak sekolah beruniform putih dan hijau dengan tali leher, kembali ke kelas dengan bangga.

Di tangan mereka, ada buku seperti Toy Story atau Goldilocks and the Three Bears.

Ilori melihat mereka dan mengakui ada sesuatu yang hilang.

“Kita perlukan lebih banyak buku kanak-kanak Afrika sekarang,” katnaya.

Memetik pandangan Adichie dalam wawancara yang diterbitkan dalam The Atlantic pada Februari tahun lalu, buku yang dibacanya ketika kecil dan juga “saya fikir benar untuk kebanyakan kanak-kanak di negara yang pernah dijajah, tidak mencerminkan realiti saya yang sebenar.” – AFP

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Advertisements
Berita Harian, Rencana

Nasib jurnal akademik Islam impak tinggi

Rencana ditulis oleh Dr. Hakimah Yaacob

SEPANJANG pengalaman saya sebagai ahli akademik, kajian berimpak tinggi menjadi satu objektif dan kebanggaan ahli akademik. Berhempas pulas siang dan malam untuk memastikan artikel yang ditulis diterima oleh jurnal berimpak tinggi.

Setiap kali artikel ditulis, maka abstrak akan menerangkan mengenai impak atau sumbangan sesebuah penulisan berkenaan.

Kajian yang bermutu negara Islam pada hari ini akan dihantar ke negara Barat, terutama Amerika Syarikat (AS) untuk ditentukan, sama ada layak diberikan hak untuk diterbitkan dalam jurnal mereka. Jika gagal, maka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau kedudukan ahli akademik terbabit akan tergugat. Maka, idea pemikir Islam akan tersekat hanya kerana tulisan mereka tidak diterima Barat.

Selain itu, bahasa adalah kekangan utama bagi ahli akademik yang berlatarbelakangkan pengajian agama. Kebanyakan pengajian agama dijalankan dalam bahasa tempatan ataupun Arab. Pemikir hebat ini tersisih daripada arus pemikir. Jadi, akhirnya pemikir Barat diagungkan dan diberi hadiah Nobel Antarabangsa.

Universiti Islam yang ditubuhkan juga membuat acuan sama dengan universiti Barat. Penerbitan dalam jurnal kajian berimpak tinggi dijadikan syarat kenaikan pangkat bagi ahli akademik. Sedangkan, kursus ditawarkan oleh universiti tiada kaitan dengan kategori jurnal berimpak tinggi. Malah, disyaratkan lagi supaya mendapat Q1 dan Q2 sedangkan kebanyakannya adalah sains, teknologi, perubatan dan ekonomi.

Pengajian agama, eskatologi Islam, tauhid, usuluddin dan bahasa Arab, sepanjang pengetahuan saya tiada ditempatkan di Q1 atau Q2. Jika permasalahan diatas berterusan, maka pemikir hebat dalam kalangan orang Islam akan terus ketinggalan dan tenggelam.

Menurut University of Western Australia, kajian berimpak tinggi bermaksud; kajian yang mengkaji isu global, serantau dan domestik untuk menjadikan dunia lebih baik. Kajian mereka memberi impak kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar. Sementara itu, University of York menyatakan, ia adalah kajian yang melintasi batas akademik.

Ubah hidup manusia

Bahagian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu pula mendefinisikan, impak sebagai impak yang secara tidak langsung mampu mengubah hidup manusia. Perubahan itu termasuk positif atau negatif secara tempoh yang lama ke atas populasi atau kumpulan yang boleh dikenal pasti.

Apa pun pengertian diberikan, semuanya seperti bersetuju bahawa corak kajian itu mesti ke arah membawa perubahan. Ia mampu mengubah sesebuah masyarakat, tingkah laku manusia, malah polisi sesebuah negara.

Menurut kajian oleh Simon Linacre, dari Business, Management and Economics Journals, impak boleh diberikan kepada tiga bahagian iaitu pengaruh, perhatian dan perubahan.

Al-Quran ternyata impak paling utama kerana mempunyai ketiga-tiga bahagian berkenaan. Hampir setiap artikel merujuk al-Quran sebagai autoriti. Setiap ceramah dipetik al-Quran atau hadis. Dari al-Quran juga adanya kajian susulan. Kajian demi kajian dilakukan berdasarkan al-Quran dan hadis, tetapi masih tiada pengiktirafan dalam jurnal yang membabitkan pengajian Islam hanya kerana petikan dan ranking berdasarkan kebaratan.

Hakikatnya, banyak artikel akademik tidak dipetik iaitu 82 peratus bagi sastera dan humaniti. Munurut kajian Smithsonian, 1.8 juta artikel diterbitkan setiap tahun di dalam 28,000 jurnal.

Kajian Schimago pula menunjukkan, kebanyakan kajian berimpak tinggi, merujuk kepada sains dan teknologi. Amat sedikit dan sukar bagi artikel berbentuk Islamiah yang dikategorikan di bawah sastera dan humaniti mampu menembusi jurnal impak faktor yang tinggi.

Artikel tidak dibaca

Menurut laporan Schimago lagi, 10,134 jurnal dan buku yang mempunyai ranking Q1-Q4 adalah diasaskan dari AS. Kajian yang dilakukan pada 2007 menunjukkan, bahawa 50 peratus artikel tidak dibaca langsung. Kajian yang dikumpulkan oleh Institute of Science Information (ISI) pada 1990, mengatakan 90 peratus artikel tidak dibaca.

Impak yang tinggi dalam penulisan, tidak boleh diukur hanya dengan mendapat tempat di dalam jurnal berimpak tinggi, kerana jurnal ini tidak dibaca. Tambahan pula, untuk mendapatkan akses kepada jurnal ini agak mahal.

Bahasa juga faktor utama kenapa pemikir Islam terpinggir. Tidak dinafikan ada sesetengah universiti sudah mula membuka dimensi baharu dalam menaik taraf akademik pensyarahnya. Contohnya, universiti sudah mula mengambil kira pengajaran menerusi internet seperti Youtube sebagai satu daripada alat untuk kenaikan akademik. Namun, masih banyak universiti yang menjadikan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi sebagai syarat utama untuk kenaikan pangkat dalam akademik.

Realitinya, lebih memberi impak adalah bersifat percuma seperti Youtube, blog dan media sosial. Yang memberi impak juga adalah bersifat cepat disampaikan dan mudah didapati seperti WhatsApp dan Twitter. Namun, berapa banyak universiti yang mengambil kira kenaikan pangkat sekiranya seorang pensyarah mempunyai blog mengenai agama atau subjek yang menjadi kepakarannya?

Adakah jurnal berimpak tinggi ini hanya dilihat dari sudut bahasa Inggeris yang tinggi, teknik penulisan yang rumit dan struktur rangka susun yang teratur? Jika ini yang dipentingkan, maka ia lebih bersifat teknikal dan bukanlah idea yang diutamakan. Alangkah baiknya jika media sosial dan metod inovatif yang mengiktiraf kedudukan ahli akademik juga harus diambil kira. Inovasi dalam pendidikan Islam harus dipelbagaikan dan ditentukan oleh kita sendiri.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Berita Harian

Perkukuh iman, jiwa anak jadi berani

Rencana ditulis oleh Fairuz Nordin

GALAK anak bergaul dengan rakan sebaya kerana ia mampu membentuk keyakinan diri anak. – Foto hiasan

IBU bapa perlu membina keberanian dalam diri anak-anak melalui sirah Nabi Muhammad SAW dan bukannya kisah khayal berkaitan hantu. Ikuti penjelasan bagaimana menyemai sifat terpuji itu bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati IKIMfm.

Setiap bayi baru dilahirkan lumrahnya akan disertai dengan tangisan, lalu Islam menggalakkan bayi itu diazan dan diiqamatkan kerana ia dapat memberi kekuatan kepada jiwa mereka. Malah dengan mendengar azan yang dikumandangkan lima kali sehari, ia mampu menguat dan mengukuhkan jiwa orang mukmin yang seharusnya menjalani kehidupan dalam keadaan yang berani dan tidak takut menghadapi cabaran.

Ujian ketakutan ialah antara bentuk ujian diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia.

Sekiranya ketakutan ini tidak dibendung sejak usia kecil, maka ia akan memberi impak yang sangat buruk kepada manusia sehinggalah mereka dewasa kelak. Akhirnya mereka takut untuk berbicara mengenai kematian, syurga dan neraka serta tidak bersedia untuk berbicara keadaan di Padang Mahsyar.

Perkongsian menerusi slot Mau’izati yang bersiaran di radio IKIMfm setiap Khamis jam 5.15 petang bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, menjelaskan sepanjang perjalanan hidup manusia, selalunya anak perempuan mempunyai perasaan takut yang lebih berbanding anak lelaki, malah anak lelaki lebih cekal sifatnya. Ini antara sebab lelaki lebih layak menjadi pemimpin. Namun, ia tidak bermakna anak lelaki tidak langsung memiliki rasa takut dan terdapat beberapa faktor yang membentuk perasaan takut berkenaan dalam diri anak.

Ulama membicarakan berkaitan sebab wujudnya perasaan takut dalam kalangan anak yang antaranya berpunca daripada ibu mereka sendiri. Si ibu menakutkan anak kepada benda tertentu sama ada haiwan, tempat yang gelap atau orang yang tidak mereka kenali. Apabila anak ditakut-takutkan secara keterlaluan, akhirnya mendorong mereka berkelakuan pasif dan tidak berani melakukan sesuatu.

Selain itu, seorang ibu yang terlalu memanjakan anaknya sehingga menyebabkan mereka terlalu bergantung kepadanya untuk menjalani kehidupan seharian, tidak mampu berdikari atau terlalu takut melakukan sesuatu. Seharusnya si ibu perlu memberi dorongan kepada anak untuk melakukan sendiri sesuatu perkara, memikul tanggungjawab, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan berpegang kepada kepercayaan bahawa Allah akan sentiasa berada bersama mereka.

Terlalu mengongkong

Faktor lain yang mendorong perasaan takut dalam diri anak ialah apabila si ibu tidak membenarkan mereka bergaul dengan orang luar, terlalu mengongkong dan mengurung mereka dalam rumah. Pergaulan yang sangat terbatas mendatangkan pengaruh buruk, malah lebih memudaratkan apabila mereka membesar dalam keadaan berdampingan dengan gajet dan media sosial sahaja serta interaksi yang sangat terhad dengan manusia di luar alam maya. Malah ibu bapa yang sering mendedahkan dan menceritakan kepada anak dengan kisah khayalan berkaitan hantu dan jin, terlalu asyik dengan animasi dan kartun akan mengakibatkan mereka dibayangi rasa takut dan alam khayalan.

Untuk memulihkan situasi anak yang berhadapan dengan perasaan takut yang melampau, seharusnya ibu bapa mengambil langkah seperti disarankan dalam Islam. Iman yang kukuh mampu menangani situasi ini, dengan melakukan amal ibadat kepada Allah SWT agar dapat ditanam keyakinan dalam diri anak bahawa mereka hanya takut kepada Allah semata-mata.

Apabila berhadapan dengan ujian dalam hidup, diharapkan mereka tidak lagi takut menghadapi manusia dan jawatan. Sebaliknya hanya Allah yang menjadi sumber kekuatan dan keberanian untuk menangani permasalahan hidup serta mengelakkan mereka daripada melakukan kemaksiatan sehingga terhumban ke dalam neraka.

Sesungguhnya manusia itu diciptakan Allah secara fitrahnya berada dalam keadaan berkeluh kesah dan serba salah apabila dilanda ujian. Namun sekiranya dikurniakan harta dan kesenangan, mereka terdorong bersikap kedekut, melainkan orang yang tetap amal ibadatnya kepada Allah. Selain itu, untuk mengelakkan anak dibelenggu ketakutan, ibu bapa perlu memberi ruang kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri dan memikul tanggungjawab mengikut kadar perkembangan dirinya seperti pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya, bahawa setiap dalam kalangan manusia adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang di bawah pimpinannya.

Perkara lain perlu diberi perhatian ialah jangan sesekali menakut-nakutkan anak dengan hantu, jin dan orang yang jahat, terutama ketika mereka sedang menangis dengan tujuan menghentikan dirinya daripada terus menangis kerana perbuatan itu hanya akan menambahkan ketakutan dalam diri anak.

Berkomunikasi

Sewajarnya perlu diingatkan kepada anak bahawa orang Mukmin yang kuat dan berani lebih baik di sisi Allah berbanding manusia lemah. Mereka juga digalakkan bergaul dengan komunikasi yang berkesan dalam kalangan anak yang lain sejak usia mereka masih kecil dan memberi peluang untuk mereka sering bertemu dan kenal-mengenali di antara satu sama lain. Situasi ini akan membentuk sifat diri penyayang, berkeyakinan tinggi dan boleh dipercayai dalam kalangan kenalannya, malah dapat mengelakkan terjebak dalam gejala buli yang kini semakin berleluasa.

Rasulullah SAW menjelaskan orang Mukmin adalah orang yang mesra, memudahkan urusan orang lain dan Baginda sendiri tidak menyukai umatnya yang sukar didekati atau tidak suka bergaul dengan orang lain. Malah sebaik-baik manusia ialah mereka yang mendatangkan manfaat kepada orang lain.

Bagi membina keberanian dalam diri anak, mereka perlu diceritakan sirah peperangan Rasulullah agar dapat mengenali dengan lebih dekat tokoh yang berada di sebalik peperangan walaupun pada ketika itu masih berusia belasan tahun dan gugur syahid di jalan Allah. Semoga keberanian itu mampu dijadikan contoh kepada anak-anak yang bakal mengharungi cabaran yang menanti di sepanjang perjalanan kehidupan mereka kelak.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

2017, Berita Harian, Rencana, Sastera

Jasa, sumbangan Sasterawan Negara dikenang

PROF Emeritus Datuk Shahnon Ahmad. – Foto Zuhainy Zulkiffli

Rencana oleh Dr Ismail Ibrahim

KINI Shahnon Ahmad, sasterawan Negara, sudah meninggalkan dunia ini, kembali ke alam kekal, menghadap Allah SWT. Pemergiannya kita doakan penuh tawakal dan pasrah kepada Allah SWT agar diberikan keberkatan dan kesejahteraan oleh Maha Pencipta.

Ketika meneliti kembali perutusan saya dengan Allahyarham, saya menemui satu tulisan saya yang tersiar di dalam blog saya pada 16 Oktober 2012, yang antara lainnya saya catatkan: ‘Setelah sekian lama tidak kedengaran suaranya, maka akhirnya Shahnon kembali bersuara.

Penantian sepi yang sekian lama dirasakan, tiba-tiba dikejutkan dengan kembalinya sasterawan negara yang ulung itu ke persada persuratan bangsa dan negara seminggu dua ini. Shahnon kini kembali tanpa berselindung atau bersikap apologetik menyuarakan rasa hatinya sebagai seorang budayawan dan sasterawan Melayu Islam yang bimbang melihat perkembangan pincang yang berlaku di dalam dunia Melayu dan Islam di negara kita pada masa kini”.

Ungkapan saya di atas saya hamburkan setelah kira-kira lapan tahun sebelum ini, iaitu pada 13 Jun 2004, saya pernah menulis di dalam kolum tetap saya di akhbar sebagai respon kepada tulisannya seminggu sebelum tulisan saya ini.

Dalam tulisannya itu, Shahnon hampa kerana tidak dapat menulis selama lima tahun disebabkan oleh satu penyakit ganjil yang amat tenat yang menyerangnya, bernama Myasthenia Gravis. Di antara lainnya, Shahnon menulis …”Bahawa keuzurannya yang memakan masa berbulan dan bertahun, asyik keluar masuk hospital, tidak mampu lagi bergerak menyebabkan ‘dia’ akan dibiarkan begitu sahaja. Dia terus jadi kera sumbang. Tidak ada siapa lagi yang sampai hati hendak mendekatinya.

Tidak ada lagi yang punya hati untuk bertanya khabar atau memberi salam, bertegur sapa jauh sekali, malah kalau boleh perlu dijauhkan, kerana orang sakit memang tak berguna lagi…” Saya menyedari kehampaan hatinya yang amat sangat kerana dunia penulisan yang dirampas oleh kesakitannya itu amat menghiris perasaan dan pemikirannya, sakitnya bukan hanya sekadar sakit fizikal, pedih dan bisa pada jasadnya dan kulit serta otot-ototnya, tetapi kepedihan rohani dan jiwanya itu yang lebih menyiksakannya.

Apabila sakit, lalu dia dibiarkan menderita berseorangan, tanpa salam dan kalam terutamanya dari orang yang selama ini menjadi kawan dan penyokongnya, yang sekali gus menunjukkan hati budi rakan-rakan yang mengajaknya berjuang dalam arena parti politik bersama-sama mereka berlandaskan ajaran agamanya sendiri.

Sebab itulah di dalam tulisan yang sama dia menulis “…..Ruparupanya bilamana seorang wakil rakyat jatuh sakit, lama kelamaan dia akan disisih dan dilupakan oleh anggota masyarakat, kawan dan lebih-lebih lagi lawan”.

Penuh syukur, amal bakti

Kini segala-galanya itu sudah ditinggalkan, namun melihat kepada hati budi dan perilaku laku Allahyarham sebagai seorang penulis yang halus jiwa seninya, beliau tentunya sudah mengakhiri hidupnya dengan penuh syukur, penuh amal baktinya kepada Allah SWT.

Hal ini pernah juga dinyatakan oleh Allahyarham di dalam tulisannya yang menyatakan bahawa dengan penyakit yang menimpanya itu, maka dia kembali bebas sebagai seorang manusia seni di kampungnya di Banggol Derdap, ketika beliau meneruskan tulisannya itu dengan berkata bahawa “Saya lebih bertenang di kampung, bercakap dengan bukit bukau, kerbau lembu, ayam itik, jagung, pisang, ular dan lipan bara”.

Seterusnya beliau membisikkan rasa ketenangannya bahawa hal ini sudah menjadikannya seorang insan yang dapat berasakan kehidupan lebih tinggi dan akrab dengan Tuhan ketika beliau menegaskan “Namun pengalaman seumpama ini mematangkan lagi makna kehidupan, kerana dalam kesepian dan keseorangan inilah saya dapat menilai diri dan jiwa saya dengan Yang Maha Esa, mengenal siapa kawan dan siapa lawan saya”.

Hari Selasa tanggal 8 Rabiulakhir 1439 bersamaan 26 Disember 2017 adalah saat berakhirnya hayat seorang sasterawan dan sarjana negara, pejuang bangsa dan agama, ketika Allahyarham Shahnon Ahmad menyahut panggilan Ilahi ke alam baqa’.

Namun sejarah dan zaman penghayatan segala sumbangan akal dan roh, jasmani dan rohaninya, pengucapan dan tulisannya, akan kekal bersemarak di dalam dunia kita ini untuk jangka waktu yang amat lama dan panjang sekali, selagi berputarnya alam, wujudnya bulan dan matahari ciptaan Allah SWT. Al-Fatihah

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

Berita Harian, Perpaduan

Perpaduan dalam kepelbagaian

Artikel oleh Tan Sri Dr. Abdullah Muhammad Zin, bhrencana@bh.com.my

Tarikh 16 September 1963 detik bersejarah penubuhan Persekutuan Malaysia, penyertaan bersama Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak membentuk Malaysia. Laporan Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan telah meninjau pandangan penduduk di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak mengenai pembentukan Malaysia menyatakan lebih 80 peratus bersetuju dengan pembentukan gagasan itu yang disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengisytiharan penubuhan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Di Jesselton (Kota Kinabalu), Kuching dan Singapura pula dihadiri pemimpin masing-masing iaitu Tun Mohammad Fuad Stephen, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Lee Kuan Yew. Namun, pada 1965, ekoran beberapa masalah, Singapura dikeluarkan dari Malaysia.

Kepelbagaian adalah realiti yang diakui Islam. Ia adalah sunnatullah yang mesti diuruskan dengan bijaksana supaya menjadi faktor kekuatan dan keharmonian. Islam menganjurkan umatnya menerima perbezaan agama dan etnik sebagai lumrah seperti Surah al-Baqarah ayat 13, mengelakkan cemuhan budaya, etnik dan agama, bersopan santun serta berbudi seperti Surah al-Nahl ayat 125, Surah Toha ayat 44 dan Surah al-Hujurat ayat 11.

Perpaduan bangunkan negara

Ada beberapa aspek persamaan di antara penggubalan Piagam Madinah dan Perlembagaan Persekutuan. Piagam Madinah dan Perlembagaan Persekutuan adalah platform membangunkan negara melalui perpaduan. Kedudukan semua kaum terbela dan tiada mana-mana pihak dipinggirkan. Komposisi penduduk terdiri daripada kepelbagaian bangsa dan budaya. Anggaran penduduk Tanah Melayu ketika pembentukan Malaysia, 50 peratus merangkumi Bumiputera, 36.9 peratus etnik Cina, selebihnya kaum India dan lain-lain.

Apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar. Majoriti rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju menyertai Malaysia, menerima pakai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, menerima Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi.

Perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas membentuk Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan beberapa pindaan digubal bagi memastikan kepentingan khas negeri Borneo terjamin dan dimasukkan di dalam Perjanjian Malaysia. Perlembagaan Persekutuan berperanan membentuk negara Persekutuan dengan Kerajaan Pusat yang kuat, mengekalkan hak dan kedudukan Raja Melayu sebagai pemerintah berperlembagaan, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta hak kaum lain, sekali gus mewujudkan pemerintahan adil, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat serta menjamin kestabilan negara.

Sirah merakamkan pengalaman yang sangat hebat dalam menangani masyarakat majmuk. Menurut Muhammad Hamidullah dalam bukunya The First Written Constitution in the World, ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah, daripada 10,000 penduduk Madinah, bilangan umat Islam kombinasi Ansar dan Muhajirin Makkah hanya ratusan orang.

Hampir 50 peratus penduduk Madinah ketika itu terdiri daripada keturunan Yahudi yang terbahagi kepada sepuluh puak, sementara penduduk keturunan Arab kepada 12 kabilah. Keadaan penduduk Arab di Madinah pula tidak sehebat Quraisy Makkah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan serta mempunyai struktur politik yang tersusun. Negara Madinah dibangunkan atas dokongan rakyat pelbagai agama, kaum, puak dan kabilah.

Pupuk hubungan harmoni

Kebijaksanaan Rasulullah SAW melalui Piagam Madinah merangkai kerjasama, menyatu penduduk pelbagai pegangan dan fahaman agama, status ekonomi serta kaum dan kabilah. Baginda memupuk hubungan harmoni, menyemai sifat saling menghormati, mempamer toleransi, merangkai hubungan produktif serta merangka strategi tanggungjawab pertahanan menghadapi musuh.

Islam mencorakkan kehidupan rakyat Malaysia. Dengan petunjuk Islam, Malaysia membangun dengan pesat dan harmoni. Pembangunan negara berkembang pesat meliputi bidang pentadbiran dan pembangunan berteraskan Islam.

Islam memainkan peranan mewujudkan toleransi, keseimbangan, keadilan dan kesederhanaan dalam diri orang Melayu yang peka terhadap keperluan dan aspirasi kaum lain. Masa depan negara ditentukan oleh perpaduan rakyat berbilang kaum, bukannya kuasa asing. Setiap kaum mempunyai peranan membentuk Malaysia.

Sambutan Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas adalah cuti umum. Sesetengah negeri turut memberi kelepasan am sempena sambutan lain seperti Tadau Kaamatan dan Hari Gawai di Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian budaya adalah kekuatan dalam pembinaan Malaysia.

Pada era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, pendekatan wasatiyyah dijadikan pendekatan penting dalam pentadbiran. Pendekatan ini menekankan ajaran Islam secara sederhana, berimbang dan syumul dengan memberi penekanan kepada meningkatkan kualiti hidup dari segi ilmu, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pengetahuan dan perpaduan.

Pendekatan wasatiyyah pendekatan terbaik memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat menjadikan Malaysia negara sejahtera diredai Allah SWT.

Inilah Malaysia. Kita perlu menjadi rakyat kebanggaan negara, bukan yang meruntuhkan, pembina bukan perosak dan penyatu bukan pemecah. Budayakan perpaduan, raikan kepelbagaian. Selamat Hari Malaysia. Malaysia. # Sehati Sejiwa.

Sumber diperolehi daripada Berita Harian Online

2017, Berita Harian, Rencana

Faridah Anak Melayu Pertama Profesor di AS


Faridah anak Melayu pertama profesor di AS

Oleh Norhafzan Jaafar

hafzan@bh.com.my


PROF Dr Faridah membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai keazaman kuat dalam mengejar apa yang diimpikan. – Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi warga asing untuk membina kerjaya di Amerika Syarikat terutama dalam bidang pendidikan, apatah lagi diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai profesor penuh di universiti tempatan negara itu, sejak 2011 hingga sekarang.

Namun, anak Malaysia yang berasal dari Endau, Johor ini, Prof Dr Faridah Awang, 51, membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai keazaman kuat dalam mengejar apa yang diimpikan.

Dengan pengalaman selama 29 tahun dalam bidang pendidikan dan 22 tahun merantau di negara orang, Faridah boleh berbangga apabila beliau mungkin menjadi satu-satunya wanita Islam asing yang pernah diberi tanggungjawab sebagai profesor penuh dalam bidang Teknologi dan Komunikasi Korporat, Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Eastern Kentucky, Amerika Syarikat.

Semangat kental ibu tunggal ini yang baru mendapat kerakyatan Amerika Syarikat, Julai tahun lalu terserlah apabila beliau pernah meraih anugerah tertinggi dan berprestij di negara itu menerusi kajian tesis bagi melengkapkan pengajian ijazah sarjana dan doktor falsafah di Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat.

Keunikan pada nama

“Semuanya bermula dengan cita-cita saya sejak kecil lagi iaitu untuk mencipta kelainan diri bagi membezakan dengan orang lain. Ini kerana nenek yang membesarkan saya pernah mengatakan bahawa nama Faridah yang diberikan itu mempunyai keunikan tersendiri.

“Jadi untuk menyerlahkan keunikan berkenaan saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza daripada orang lain iaitu dengan menonjol dalam bidang pelajaran,” katanya kepada BH, ketika kunjungan singkat ke tanah air.

Mengimbau pendidikan awalnya, Faridah berkata, walaupun cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau memilih melanjutkan pengajian ke sekolah vokasional dalam bidang perdagangan dan seterusnya ke Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang sains kesetiausahaan.

Atas kecemerlangan juga beliau ditawarkan menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Manjung, Perak sebelum mendapat tajaan melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat pada 1994.

Namun, beliau tidak melalui jalan yang mudah untuk menggenggam ijazah yang diidamkan apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan ujian termasuk diminta pulang ke tanah air berikutan masalah kegawatan ekonomi yang melanda sekitar 1999 hingga 2000.

FARIDAH boleh berbangga apabila beliau mungkin menjadi satu-satunya wanita Islam asing yang pernah diberi tanggungjawab sebagai profesor penuh dalam bidang Teknologi dan Komunikasi Korporat, Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Eastern Kentucky, Amerika Syarikat. – Foto Mahzir Mat Isa

Pernah sehari tidak makan

“Saya cuma tinggal satu semester lagi untuk menamatkan pengajian di peringkat sarjana sebelum kerajaan memutuskan untuk memanggil pulang semua pelajar yang belajar di luar negara.

“Tetapi saya bertegas untuk tidak pulang hingga biasiswa dan gaji saya dihentikan. Saya hilang sumber kewangan bagi meneruskan pengajian dan kehidupan bersama anak tunggal saya, Hafiz yang ketika itu berusia sembilan tahun,” katanya mengimbas kenangan masa lalunya.

Biarpun perit sehingga ada kalanya kedua beranak itu tidak makan seharian kerana tidak mempunyai wang, Faridah mampu membuktikan semua itu tidak mengubah impian asalnya berada di negara Uncle Sam itu.

Beliau semakin bersemangat apabila dimaklumkan pensyarah mengenai kejayaannya memperoleh markah penuh 100 peratus dalam salah satu subjek penting bagi peperiksaan akhir sekali gus mencatat sejarah tersendiri bagi dirinya.

“Saya masih ingat pensyarah saya memaklumkan sepanjang 30 tahun beliau mengajar itu adalah kali pertama pelajarnya mendapat markah cemerlang berkenaan. Ini menjadi dorongan kuat untuk saya meneruskan pengajian.

“Atas bantuan profesor berkenaan juga selepas menyedari masalah kami dua beranak, saya mendapat kerja sebagai tukang cuci di universiti tempat saya belajar bagi menampung pengajian termasuk menyambungnya ke peringkat doktor falsafah (PhD),” katanya.

Martabatkan wanita Islam

Tidak berakhir di situ, Faridah berkata, beliau sekali lagi diuji apabila ditimpa kemalangan jalan raya bersama anaknya, Hafiz menyebabkan beliau terlantar selama enam bulan.

Itu juga tidak melemahkan semangat dan cita-citanya untuk menjadi pensyarah di universiti di Amerika Syarikat sehingga berjaya berada di kedudukan sekarang.

Melihatkan latar belakang pengajiannya dalam tiga bidang berbeza, Faridah berkata, beliau sememangnya merancang sedemikian untuk menjadikan dirinya mudah bersaing dalam pasaran kerja di peringkat global.

“Malah azam utama saya sebelum memutuskan untuk menetap di Amerika Syarikat ini adalah untuk memartabatkan Islam selain memberi mesej positif mengenai agama suci ini terutama apabila memperkatakan soal wanita Islam.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/246830

Sumber: Berita Harian

2017, Berita Harian, Semasa

Sindiket Jual Ijazah Palsu Tak Akan Lepas


Sindiket Jual Ijazah Palsu Tak Akan Terlepas

Oleh    bharian.com.my


DATUK Seri Idris Jusoh. – Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil tindakan tegas ke atas sindiket yang menjual kelulusan akademik palsu secara dalam talian.

Menteri, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kementerian sedang mencari pendekatan bagi membolehkan pihak terbabit diambil tindakan mengikut undang-undang.

“Saya ingin memberi amaran keras bahawa kementerian tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan tegas.

“Kita sedang berbincang cara mana kita boleh ambil tindakan tegas, kita tidak mahu penyelewengan seperti ini terus berlaku,” katanya selepas menghadiri majlis kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT) di sini, hari ini.

Yang turut hadir hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching; Pengerusi Eksekutif CMEDT, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Media baru-baru ini mendedahkan terdapat laman sesawang yang menawarkan pelbagai peringkat kelulusan akademik termasuk doktor falsafah (PhD) yang boleh didapati dalam masa 24 jam.

Kelulusan berkenaan ditawarkan antara RM11,000 hingga RM15,000 dan mendakwa boleh mendapatkan kelulusan dari universiti terkenal pelbagai negara di seluruh dunia.

Kementerian sebelum ini dalam satu kenyataan berkata sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket itu.

Sementara itu, Idris berkata kerjasama yang dijalinkan UPSI dengan CMEDT bertujuan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris di UPSI melalui aplikasi yang baru dibangunkan iaitu Cambridge Accessible Tests (CATs).

“Program aplikasi pembelajaran dalam talian ini akan dapat mengukur kebolehan pelajar menggunakan bahasa Inggeris sama ada dengan membaca, menulis dan mendengar.

“Kerjasama ini juga akan dapat memastikan kita akan dapat satu pembelajaran bahasa Inggeris yang berkualiti dan guru bahasa Inggeris UPSI juga diiktiraf setaraf dengan guru-guru bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa kerana mereka akan diberikan ‘Common European Framework of Reference,” katanya. – BERNAMA


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/244903