Uncategorized

Guru dilatih ilmu pemakanan sihat

KUALA LUMPUR: Guru sekolah dan penyedia makanan di kantin yang terbabit dalam Program Sarapan Percuma (PSP) bermula tahun depan akan didedah dan dilatih dengan ilmu pemakanan sihat.

Menerusi program berkenaan, mereka dipertanggungjawab memberi penerangan kepada murid mengenai aspek pemakanan pada setiap hari persekolahan.

Menurut sumber, kebanyakan pengusaha kantin sekolah yang terbabit dalam program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebelum ini akan diberi latihan untuk menyediakan menu yang lebih bernutrisi.

“Akan ada pegawai terlatih yang menyelia aspek penyediaan makanan berkhasiat ini nanti,” katanya kepada BH.

BH juga difahamkan, tiada lagi menu sama dalam RMT disediakan dalam PSP kelak, sebaliknya murid dijangka menikmati juadah yang ‘dipertingkatkan’ sebelum sesi persekolahan bermula.

Menjelaskan lagi PSP, sumber berkata, konsep yang akan diterapkan ialah ‘Suku Suku Separuh’ yang ketika ini sedang ‘diuji kaji’ di beberapa sekolah perintis.

Ini katanya untuk mengetahui sejauh mana penerimaan murid dan ibu bapa serta kesan pemakanan itu kepada kumpulan sasar.

Konsep ‘Suku Suku Separuh’ ketika ini popular dalam kalangan mereka yang ingin berdiet untuk menurunkan berat badan.

Pada 2017, Kementerian Kesihatan memperkenalkan kempen ‘Pinggan Sihat’ ini kerana ia berkesan menghindar risiko penyakit seperti diebetes, darah tinggi dan kolestrol.

Konsep berkenaan mengetengahkan suku pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi atau roti; suku pinggan lagi diisi sumber protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang, manakala separuh pinggan diisi buah-buahan dan sayur.

Bagaimanapun, BH difahamkan, konsep berkenaan bukan untuk mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, sebaliknya hanya mengambil insiatif pemakanan sihat dalam setiap pinggan sarapan murid.

Menerusi konsep itu, sarapan dalam PSP juga bukan menu biasa rakyat Malaysia, sebaliknya dilengkapi sumber nutrisi, karbohidrat dan protein, ditambah dengan pengambilan sayur-sayuran serta buah-buahan.

Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan 2020.

Mengenai jenis makanan bernutrisi untuk PSP nanti, sumber berkata, ketika ini panel Kementerian Pendidikan masih meneliti jenis makanan bernutrisi yang sesuai.

“Matlamat utama PSP bukan sahaja memastikan setiap murid bersarapan, malah mereka tidak lagi dijamu dengan jenis sarapan biasa.

“Sebaliknya makanan yang dipilih harus sesuai dalam memastikan mereka terus fokus sepanjang waktu pembelajaran serta kekal sihat,” katanya.

Program Sarapan Percuma kepada murid perlu menekankan kualiti makanan supaya ia seimbang. – Foto hiasan

‘Suku Suku Separuh’ sesuai untuk kanak-kanak

Pengambilan makanan berkonsep ‘Suku Suku Separuh’ yang dijangka diterapkan dalam Program Sarapan Percuma (PSP) adalah konsep seimbang dan sesuai untuk kanak-kanak sekolah.

Timbalan Pengurus Perkhidmatan Dietetik dan Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Siti Farhath Sehu Allavudin, berkata apa yang penting dalam pelaksanaan konsep berkenaan adalah menu makanan yang disediakan.

“Meskipun konsep itu sesuai untuk kanak-kanak, pihak yang terbabit perlu melihat menu yang disediakan pada setiap hari persekolahan nanti.

“Ramai anggap pengambilan makanan ‘Suku Suku Separuh’ ini untuk diet orang dewasa menurunkan berat badan, tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu,” katanya kepada BH.

Dari segi menu, Siti Farhath menjelaskan, juadah yang disediakan untuk kanak-kanak menggunakan konsep berkenaan perlu berlainan dengan menu untuk orang dewasa.

“Contohnya bagi sarapan, disediakan mihun atau nasi goreng tetapi bagaimana penyediaannya? Adakah sayur dan sumber protein yang diletakkan dalam juadah itu bertepatan dengan konsep?

“Bagaimanapun pula dengan kanak-kanak yang tidak makan sayur? Adakah sayur itu akan dibiar tanpa dimakan. Juadah sarapan biasa juga sesuai dengan konsep ini seperti lempeng yang guna susu dan jagung.

“Apa yang penting, sarapan yang disediakan untuk kanak-kanak sekolah menerusi program ini nanti, perlu seimbang,” katanya.

Menurut Siti Farharth, kualiti makanan adalah perkara paling penting dalam pelaksanaan PSP kerana ia membabitkan tempoh dan jumlah pelajar yang ramai.

“Jika sesuatu diberikan percuma, perkara utama yang difikirkan adalah kualiti, iaitu murah atau mahal. Program sebegini harus menekankan kualiti, bukannya murah semata-mata dan ia perlu ditekankan kepada penyedia makanan yang dilantik,” katanya.

Sumber artikel diperolehi daripada Berita Harian Online

Leave a comment