Arkib Berita, Pembangunan Sekolah

Perpindahan SM Sains Miri belum diputuskan

29 Disember 2010, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_06.htm

SALAH satu bangunan kelas di SM Sains Miri, Sarawak yang sudah usang dan perlu dibina semula di Miri.


 

MIRI 28 Dis. – Keputusan sama ada pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di Bakam akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar di Lapok, Baram atau sebaliknya akan diketahui tidak lama lagi.

Berdasarkan borang tinjauan yang diedarkan pada mesyuarat khas antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Sains Miri dengan Kementerian Pelajaran; Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) serta Pejabat Pelajaran Daerah Miri (PPDM) semalam, lebih 90 peratus ibu bapa membantah keras cadangan itu.

Difahamkan, undian dan cadangan pihak ibu bapa dipertimbangkan dan dibawa ke JPN Sarawak untuk keputusan selanjutnya.

Sementara itu, mesyuarat khas yang bermula jam 2.30 petang semalam berjalan dengan lancar dan setakat ini cadangan mengenai perpindahan itu masih dalam peringkat perbincangan.

Sebelum ini, ibu bapa melahirkan kebimbangan ekoran cadangan untuk memindahkan pelajar sekolah terbabit ke sebuah sekolah luar bandar yang terletak kira-kira 120 kilometer dari sini.

Sekolah tersebut yang dibina sekitar tahun 1990-an dan menempatkan lebih 400 pelajar itu perlu dikosongkan segera kerana terdapat bangunan sekolah yang retak dan tidak selamat digunakan.

Tinjauan mendapati, sebahagian besar daripada bangunan sekolah termasuk Dewan Sri Pahlawan, tempat mesyuarat khas diadakan semalam mengalami keretakan di bahagian dinding dan lantai.

Menurut surat yang diedarkan kepada ibu bapa bertarikh 20 Disember, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju terhadap cadangan untuk mengosongkan SM Sains Miri atas faktor keselamatan.

Sehubungan itu, SM Sains Miri akan berpindah ke SMK Tinjar mulai penggal persekolahan yang akan datang.

Mengulas perkara ini, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, kerajaan negeri beri jaminan kemudahan bekalan elektrik dan air akan disediakan di SMK Tinjar jika cadangan pemindahan pelajar dilaksanakan.

”Justeru ibu bapa dan penjaga pelajar tidak perlu berasa bimbang dengan kemudahan dan asrama di sekolah tersebut.

”Tambahan pula pemindahan pelajar ke sana hanya untuk tempoh dua tahun sahaja,” katanya ketika ditemui di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini semalam.

Hong Nam berkata, pemindahan pelajar ke lokasi baru itu juga bagi membolehkan kerajaan membina semula sekolah yang berusia lebih 20 tahun itu.

Beliau bagaimanapun mahu persetujuan semua ibu bapa dan penjaga pelajar sekolah itu dipertimbangkan dan dinilai sebelum tindakan memindahkan anak-anak mereka ke sebuah sekolah lain di Baram, dilaksanakan.

”Mereka akan ditempatkan di sekolah berasrama di luar bandar selama dua tahun dan saya difahamkan yang kerajaan akan memastikan bekalan elektrik dan air kepada sekolah berkenaan.

”Jadi saya berharap ibu bapa jangan terlalu bimbang tentang kemudahan yang disediakan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau memberitahu, pemindahan pelajar itu dianggap langkah positif dalam usaha kerajaan meningkatkan lagi pendedahan dan pengalaman pelajar tentang kawasan luar bandar.

Menurutnya, pelajar sekarang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa dan penjaga mereka sehingga mereka takut untuk melakukan perkara yang mencabar fizikal.

”Justeru, saya berharap dengan adanya program pertukaran pelajar bandar ke luar bandar akan menjadikan seseorang pelajar itu mempunyai keperibadian yang kuat serta matang,” ujarnya.